Tuesday, March 17, 2009

GMGBM perlu belajar siapa sebenar dalang politik dalam PPSMI

Kenyataan media ini telah disiarkan dalam akhbar harakah edisi 16-19 Mac 2009

GMGBM perlu belajar siapa sebenar dalang politik dalam PPSMI

Isu PPSMI bukan isu baru yang ingin dibahas dan diperjuangkan. Isu ini sejak tahun 2002 pernah ditentang oleh Prof Di Raja Ungku Aziz, ahli akademik dan mahasiswa-mahasiswa. Isu ini ditangguh bukan atas dasar ia tidak releven. Atas alasan mahu tunggu dan lihat implikasi akibat sistem pengajaran bahasa Inggeris dalam sains dan matematik, maka ia terpendam hampir 7 tahun lamanya.

Dato Hishamuddin berkata mengapa isu ini hanya kini dipekik terlolong. Mengapa tidak 7 atau 8 tahun dahulu diperjuangkan dan dipersoalkan dari segi perlembagaan? Jawapannya isu ini tidak pernah surut diperbahaskan. Habis ditentang oleh mahasiswa dan ahli politik, ia masih segar dibahas diperingkat ahli bahasa dan ahli akdemik kampus-kampus. Malah dalam banyak makalah dan tulisan majalah, isu ini disinggung walaupun secara tidak ketara. Namun ia masih terpendam. Jika dahulu Tun Mahathir sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab menggesa kementerian pelajaran mengubah dasar ini, dasar ini terus berjaya berjalan. Siapa berani melawan kehendak Tun Mahathir? Ahli UMNO yang turut terasa akan akibat PPSMI juga membisu kerana bahang genggaman Mahathir dalam era pemerintahan beliau.

Hari ini Ruslan Madon iaitu YDP Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) menyatakan kekesalannya bahawa isu ini didalangi oleh ahli politik dan parti politik tertentu. Sedarkah kenyataan beliau itu merendahkan lagi kehormatan majlis guru besar? Tidakkah beliau tahu bahawa keputusan mengubanh pengajaran dari bahasa ibunda kepada bahasa Inggeris bermula dari kata-kata ahli politik iaitu Tun Mahathir? Bukankah tiada suatu pun persetujuan ahli akademik dan tokoh pengajian tinggi yang didapati sebelum dasar itu dilaksanakan? Parti politik manakah yang bersetuju dengan dasar itu kalau bukan parti pemerintah? Bukankah itu didalangi oleh politik?

Beliau mungkin belum sedar di Malaysia pendidikan adalah ‘experimental field’ bagi politikus kita. Dari istilah ‘pendidikan’ diubah kepada ‘pelajaran’ ia penuh berunsur politik dan kepartian. Dari satu kementerian pendidikan dipecah kepada kementerian pelajaran dan pengajian tinggi, ia penuh dengan agenda politik serta bertujuan menghancurkan kemampuan pelajar dan mahasiswa. Pendidikan kita tidak mengikut falsafah pendidikan yang sebenar sebaliknya berkiblatkan kepada falsafah pemerintah semata-mata.

Salahkah PAS dan parti politik lain berjuang isu PPSMI? PAS bukan sehari dua dalam perjuangan bahasa. Masih ingatkah mereka peristiwa keranda 152 pada era Dato Asri?

Jika para pemikir, intelektual dan ahli akademik berbincang dalam seminar dan meja bulat untuk pertahankan PPSMI, para penyokong dan penggerak parti politik yang cintakan bahasa dan jatibangsa juga akan turut serta melalui perhimpunan, sebaran maklumat, ceramah dan desakan demi desakan. Ia adalah kerja bersepadu dan bukan suatu kerja ad hoc.

Saya berharap GMGBM berfikir semula kenyataan yang mereka keluarkan kerana ia melambangkan sikap kita sebagai alat politik dalam pendidikan bukannya penegak sistem pendidikan bermaruah dan berjatibangsa yang sejati.

Muhammad Nuruddin Bashah
Metallurgist Engineer
SU Penerangan PAS P.Pinang

Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
017 6291368
jihadin82@yahoo.com

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)