Baru-baru ini saya menyertai penyerahan memorendum tergempar Mahasiswa Menuntut Pilihan Raya Kampus 2006/07 Yang Bebas dan Adil. Majlis berkenaan diselitkan dengan majlis dialog di antara pelbagai proksi mahasiswa, dan dikendali Dato Siva Subramaniam, wakil Pengerusi Suhakam sendiri. Terdapat lapan proksi mahasiswa yang menyertai memorandum berkenaan antaranya adalah: 1. Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) 2. Malaysian Youth And Democratic Movement (DEMA) 3. Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA) 4. Food Not Bomb (FNB) 5. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 6. University Malaya Association Of New Youth (UMANY) 7. Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa India (JKMI) 8. Students For Pro-Democracy (Pro-DAM)
Saya selaku pemerhati dalam dialog berkenaan adalah juga merupakan salah seorang daripada aktor-aktor yang pernah mengalami dunia mahasiswa di era pilihanraya yang bebas dan telus dan juga mengalami pengalaman berada dalam dunia gelap demokrasi kampus sejak tahun 2003.
Bukan pro mana-mana parti politik
Saya tidak suka menggelar kelompok politik sebagai pro kerajaan dan pro pembangkang kerana saya memandang mahasiswa adalah merupakan sebuah entiti yang matang, bebas serta mempunyai idealisme yang tersendiri serta isolated daripada pengaruh dogma politikus luar yang semestinya menantikan ruang untuk membuat sedikit agenda recruitment.
Saya tidak menafikan sebagai manusia dan warganegara Malaysia, setiap mahasiswa akan mempunyai ideologi yang tersendiri berkenaan politik perdana serta menjadikan mana-mana tapak politik luar sebagai sumber inspirasi mereka.
Pada hari ini saya kesal apabila jenayah demokrasi semakin menjadi-jadi dan gejala mahasiswa bacul, bodoh, pak angguk, tiada idealisme, tiada halatuju, makan suap, rendah jati diri, budaya pergantungan kepada tapak-tapak tertentu serta semakin tumpul tahap intelektual mereka.
Mahasiswa diugut terus menerus
Mahasiswa kini diugut tanpa mengira apa jua latar belakang serta ada Universiti dan Kolej Universiti yang cuba menghakis terus pengaruh demokrasi apabila hanya ada calon pro HEP sahaja di dalam Kolej Universiti berkenaan.
PNGK bagi calon dinaikkan, dimana akhirnya calon yang menyertai pilihanraya hanyalah manusia malaikat yang hanya belajar 24 jam tetapi digesa oleh HEP untuk bertanding. Tidak kurang juga yang diugut oleh HEP dengan penarikan biasiswa dan pembuangan kolej (terutama di UKM, UM dan UPM).
Istilah pembuangan kolej di universiti sebegini adalah sama seperti hukuman hudud pancung kepala bagi para mahasiswa yang sejak hari pertama melangkah ke gerbang menara gading itu, dimomokkan dengan budaya patuh dan takut kepada HEP.
Saya kesal apabila terdapat biro pendidikan parti politik tertentu membuat penajaan latihan ilmiah, serta biasiswa kepada mahasiswa pointer cemerlang yang akhirnya diserapkan dengan program recruitment parti berkenaan serta digesa menjadi perwakilan pelajar.
Perlantikan pengawas sekolah lebih demokratik
SUHAKAM sendiri berpendapat bahawa kadangkala perlantikan pengawas sekolah lebih demokratik serta ada pilihanraya yang telus. Akan tetapi musibah besar menjelma di kampus-kampus Malaysia apabila usaha uni-polarisasi kuasa politik pelajar dihasilkan serta cuba memusnahkan tradisi pressure group serta budaya check and balance di kalangan mahasiswa.
Apakah yang masih tinggal? Hanya pak angguk yang berakademik tinggi menghiasi kerusi-kerusi perwakilan dan hal ini berlaku secara homogenous di seluruh negara.
Pak angguk ini tidak akan berperah akal untuk memberi idea kepada pentadbiran universiti mahupun negara kerana mereka dibela, diasuh agar jangan melawan atau mengeluarkan idea yang kritikal kerana semuanya adalah ready made. Pembunuhan besar-besaran dunia intelektual mahasiswa
Inilah tradisi yang akan membunuh pelapis pentadbiran negara.
Adakah dengan adanya perwakilan pro-student (yang lebih dikenali sebagai pro pembangkang yang radikal) akan memusnahkan agenda universiti?
Adakah negara akan hancur dengan adanya group seperti ini? Jawapannya sebaliknya apabila Universiti Malaya kini hampir tiada langsung namanya di pementasan tahap akademik sedunia sejak agenda unipolarisasi massacre berlaku. Saya namakan sebagai massacre kerana pembunuhan besar-besaran terhadap keintelektualan mahasiswa berlaku denga jelaknya serta berperancangan rapi, seterusnya dijadikan sebagai kelompok buta tuli dan pak angguk yang tegar serta amat patuh dengan arahan tertentu.
Mahasiswa berpolitik kerana cintakan negara
Kita tidak berjuang untuk menjadi radikal dan tidak mengenang budi. Semua ideologi politik cintakan negara. Semua warganegara berpolitik kerana cintakan negara. Mahasiswa berpolitik kerana cintakan kampusnya. Ideologi politik adalah normal untuk diikuti, tetapi bukan punca kepada keretakan segmen sesama mahasiswa terutama di kolej kediaman.
Saya mengalami sendiri suasana dikotomi pro-pembangkang dengan pro-aspirasi kerajaan.
Pengetua kolej kini juga bertindak sebagai ketua jentera pilihanraya serta menjadikan para penyelia sehinggalah kepada tukang masak sebagai perisik dan pemantau yang dahsyat. Secara luarannya mereka ini adalah sebagai SPR kampus yang semestinya akan bertindak berat sebelah. Pilihan raya kolej langsung tak masuk akal Pilihan raya di kolej kediaman (bermula di UKM) adalah suatu perkara yang langsung tidak masuk akal. Calon-calon pro-student yang hanya memiliki 5 pencadang pencalonan terpaksa memantau hampir berbelas-belas kolej kediaman untuk meraih undi serta menilai penyelewengan yang mungkin berlaku pada peti undinya.
Berbanding dengan pilihan raya di fakulti kerana mereka mudah meninjau semuanya kerana mereka adalah wakil fakulti mereka (fakulti mereka satu bukan berbelas-belas).
Berbanding dengan wakil daripada kelompok pak angguk, mereka mempunyai beratus-ratus pejuang berani mati yang dahagakan prepaid dan disuap dengan rokok free saban malam yang tegar meninjau serta menjaga peti undi mereka disetiap kolej walaupun si penjaga itu tidak mengenali calon yang mereka jaga itu.
Akibatnya bilik mesyuarat di kolej kediaman dijadikan sebagai markas atau pusat untuk si penyeleweng gunakan demi memenangkan calon mereka. Kepada mahasiswa UM yang masih muda, mereka menganggap situasi ini adalah rutin UM. Jawapannya tidak! UM telah berubah 180 darjah dan cukup dahsyat.
Tunas perkauman di kampus
Agenda perkauman mula ditiupkan apabila setiap parti perkauman mula membawa tunas-tunas mereka beraksi di pentas kampus. Akibatnya pertautan persaudaraan yang telah lama bertaut di kalangan etnik berbeza mulai renggang dan hancur.
Ada kolej yang ditiupkan perkauman sehingga seolah didominasi oleh satu kaum yang kononnya telah lama ditindas di muka bumi Malaysia ini.
Bagi Kolej Universiti serta Universiti yang masih baru pula, politik uni-ideologi mula diperkenalkan dan kelihatannya berjaya.
Mereka diasuh dan diwar-warkan sebagai pelajar cemerlang dan gemilang sedangkan hidup mereka hanya menjadi penghafal nota kuliah dan Majlis Perwakilan kampus mereka hanya seperti majlis mesyuarat RELA kampung semata-mata. Pada saya mesyuarat RELA lebih aktif dan berhasil tindakan mereka.
Tidak diiktiraf
Ramai sahabat saya yang pernah menjadi perwakilan pelajar UM, yang belajar sehingga mampu meraih pointer yang amat cemerlang, memegang dua jawatan besar gerakan mahasiswa Malaysia, tetapi gagal meraih apa-apa anugerah dan pengiktirafan.
Momokan pro pembangkang sebagai tak mengenang jasa, tidak akan dapat kerja, ortodoks serta tidak cemerlang akademik adalah salah, kerana kegemilangan mereka telah diselindungkan daripada pengetahuan umum.
Tidak pernah rakan-rakan saya (yang telah bekerja) menceritakan majikan bertanyakan “adakah anda pro aspirasi?" semasa temuduga.
Mereka katakan bahawa bekerja dalam jentera pilihan raya pro-HEP akan memudahkan mereka mendapat kerja dan akan mudah mengecap kemewahan.
Itu adalah mustahil dan pembohongan yang amat nyata. Saban tahun, yang menjadi mangsa doktrin murahan ini adalah pelajar freshies yang mentah tuli dengan isu sebenar.
Pada saya recruitment sesebuah parti adalah untuk mendapat pendokong pelapis yang tegar agenda politiknya mengikut laras-laras pengasuhnya.
Murahan politik kampus
Namun ironinya, kita melihat bagaimana si penyokong yang kini hanya menyertai jentera pilihanraya pro-HEP semata-mata untuk kekal di kolejnya, hanya inginkan duit kopi dan ingin melancong ke Medan dan China atau tagihkan kereta, rokok dan prepaid.
Cukup murahan pelapis politik begini. Pada saya alang-alang mengasuh, biarlah mereka faham apa itu politik yang sebenarnya. Alangkah gagalnya universiti sekarang…
Dalam dialog dengan Suhakam, SMM menggesa agar Suhakam memastikan tarikh pilihan raya dianjak ke tarikh yang lebih munasabah untuk memberi ruang melaksanakan kempen dan pemberitahuan tarikh kepada semua lapisan mahasiswa.
Saban tahun pemilihan yang berlaku hanya diketahui oleh penghuni kolej kediaman yang telah sedia didoktrin secara kotor. Mahasiswa yang tinggal di luar kampus akan ketinggalan dan tidak turun mengundi.
Ini bukan semangat pilihan raya. Ini semangat gilakan kuasa. Saya amat kesal dengan senario yang tidak sihat ini. Moga setiap pejuang demokrasi sabar dan tabah mengahadapi ketumbukan tirani yang bertopengkan intelektual ini. Bertopengkan profesor./wann |
No comments:
Post a Comment