Sunday, July 10, 2011

BERSIH 2.0 : Rakyat masih bincang isu perut?

Disiar dalam harakah 15-17 Julai 2011

BERSIH 2.0 : Rakyat masih bincang isu perut?

Rakyat Malaysia cuba dididik ala-ala haiwan ternak apabila soal untung, perut dan periuk nasi dibangkit dan digembar- gemburkan untuk menggambarkan betapa himpunan ribuan rakyat untuk BERSIH kali ini cukup merosakkan ekonomi negara.

Lebih lucu, peniaga sekitar masjid Jamek, Puduraya dan Masjid India juga menutup kedai berhari-hari sepanjang Raya Cina dan Raya Puasa tanpa rasa rugi. Inikan pula hanya menutup kedai separuh hari? Sumber kuat menyatakan, pada sebelah petang dan malam, gerai yang berani membuka jualan telah diserbu oleh para rakyat yang datang dari jauh untuk membeli barangan sebagai oleh-oleh sebelum kembali ke negeri masing-masing.

Di saat rakyat ingin dididik tentang kepincangan demokrasi, hal pilihanraya yang berlaku cukup bejat. 88 nama pengundi untuk satu alamat, IC segera diberi kepada rakyat asing dan di saat itu, media pro zalim mencanang isu betapa terjejasnya periuk nasi peniaga di KL.

Kelakar apabila para penjual tiket di Hentian Bas Puduraya yang ditemubual oleh TV3 menyatakan bahawa tiket mereka tidak laku, sedangkan semua mengetahui tiket keluar dari KL 'sold out' sehari sebelum perhimpunan kerana gertakan dan ugutan polis dan media BN terhadap penduduk KL sendiri.

Para peniaga diserbu pada sebelah pagi 9 Julai, peniaga hotel diserbu ala-ala tentera Ramses II memburu Nabi Musa dan tentera Herodes yang Agung memburu bayi bernama Nabi Isa suatu ketika dahulu. Pintu hotel dihentak dan ditendang. Yang selamat adalah rakyat yang terus tidur tanpa melayan polis yang datang untuk membuka pintu bilik mereka. Rakyat ditakutkan dengan kereta meriam air FRU, digertak dengan kehadiran ramai anggota beruniform. Adakah peniaga berani membuka kedai jika begitu cara BN menakutkan rakyat?

Dahulu semasa BERSIH 1 diadakan, peniaga kitab di masjid India menyatakan bahawa mereka untung besar kerana rata-rata peserta BERSIH 1 adalah daripada golongan ustaz, pelajar agama yang datang dari pantai timur dan utara tanahair. Ramai juga peniaga mengakui tudung dan jubah wanita laris kerana golongan perempuan dan remaja wanita turut menyertai himpunan tersebut. Kenapa tiada isu peniaga rugi?

Jawapannya ialah BERSIH 1, BN dan polis tidak menjangkakan sokongan BERSIH mencapai puluhan ribu. Malah BN tidak tergambar bahawa semua kaum akan bersatu atas nama BERSIHkan pilihanraya yang kotor tajaan mereka. Jadi para peniaga mebuka premis seperti biasa dan si peserta perhimpunan mengambil peluang ‘bershopping’ sambil berhimpun.

Jika dibuat soal selidik secara adil, rakyat akan memberi komentar berlawanan dengan soal selidik ala provokatif media picisan seperti TV3. Tiada siapa yang nampak para peserta perhimpunan yang membuat kacau, memecahkan kedai, merosak harta benda awam melainkan ketakutan itu berpunca daripada tindakan PDRM!

Cukup jelek apabila menonton berita TV3 yang memaparkan fakta-fakta kononnya fakta sahih berkenaan perhimpunan BERSIH 2. Dikatakan polis menjalankan kerja tanpa menitiskan darah. Saya rasa rakyat sekejap sahaja akan mengetahui berita jelas betapa beberapa orang peserta termasuk Yang Berhormat dicederakan oleh polis sehingga terpaksa menerima jahitan di kepala.

Jika rakyat Malaysia masih berfikir soal premis tidak laris, isu tiket bas tidak laku dalam setengah hari, soal perut tidak diisi, rakyat Malaysia tidak layak membuang kertas undi kerana masih berminda TADIKA!

Muhammad Nuruddin Bashah

Ketua Penerangan DPPK Gopeng

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)