http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/9612-rakyat-salahguna-peruntukan-atau-kerajaan-korup
Rakyat salahguna peruntukan atau kerajaan yang korup?
Isu penghapusan PTPTN dianggap tindakan buta sifir oleh pihak tertentu malah usaha menabur janji kepada mahasiswa ini dilayan dengan cukup agresif memandangkan isu ini ‘isu swing’ anak muda yang cukup efektif. PTPTN dikatakan relevan kerana gaya hidup mahasiswa yang boros dan ketidakmampuan kerajaan menyara kesemua yuran pengajian tinggi. Malah mahasiswa dikatakan menyalahgunakan pinjaman tersebut untuk urusan peribadi.
Bila berbincang isu salah guna dana, salah urus peruntukan saya segera terkenang aktiviti semasa di bangku mahasiswa, saya pernah menyertai kerja separuh masa bersama konsultan motivasi dan pernah menganjur program terhadap pelajar-pelajar daripada kalangan anak anak asnaf zakat. Mereka yang rata-rata berasal daripada keluarga miskin dan yatim menerima wang zakat yang disalur melalui akaun masing-masing.
Namun malang juga keadaannya apabila wang bantuan zakat yang diberi kepada anak susah disalah guna oleh segelintir dan bapa dan abang untuk membeli dadah malah ada juga kes hisap ganja beramai-ramai bersama anak lelaki di hadapan anak perempuan yang menerima bantuan zakat tersebut. Jelas masih banyak kes salah guna dana di kalangan masyarakat kita.
Ramai menunding jari lurus ke dahi mahasiswa apabila wang PTPTN yang dipinjam juga dikatakan menjadi wang ‘joli’ di kalangan mahasiswa. Lantas kerajaan menganggap si pelajar tidak bersyukur dengan ‘wang pinjam’ tersebut walaupun ia hanya kegiatan segelintir pelajar di kampus. Ada bagus juga kerajaan menegur sikap boros kerana itulah tanggungjawab kerajaan mengasuh generasi yang terdidik.
Petani juga pernah dimarahi kerana kegiatan menjual subsidi baja dan anak benih padi. Ya si petani memang tidak seharusnya menyalahgunakan wang peruntukan untuk bantuan baja tersebut. Petani layak dipersalah dalam satu aspek.
Bagaimana dengan salahguna atau salah salur wang peruntukan di kalangan kerajaan sendiri? Ini topik yang patut digariskan dalam dada akhbar.
Bayangkan pendedahan wang sejumlah RM2.71 bilion untuk peruntukan negeri Selangor tidak diterima oleh kerajaan negeri sebaliknya disalurkan kepada pemimpin BN negeri Selangor. Fakta yang disiar dalam Selangorkini edisi 23-30 Disember 2011 juga jelas menampilkan sikap kerajaan menyalahkan rakyat menyalahguna dana dan peruntukan adalah hipokrit dan umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
Berdegar-degar Najib dan Timbalannya mengumumkan sejumlah bantuan itu dan ini, peruntukan itu dan ini, hakikatnya ia hanya sogokan kepada akar umbi BN sahaja untuk menggerakkan jentera pilihanraya korup mereka yang berkarat dengan wang dan rasuah.
Lihat sahaja pengagihan peruntukan perkapita kepada negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat yang jauh rendah berbanding negeri tadbiran BN.
Persoalannya kenapa lima negeri Pakatan Rakyat berada dalam senarai penerima peruntukan terendah. Pulau Pinang 119, Kedah 172, Kelantan 179, Selangor 221 dan Perak 230. Sedangkan negeri-negeri yang diperintah PR juga turut sama menyumbang kepada hasil kerajaan persekutuan.
Lihat sahaja jumlah wang yang terpaksa ditabur PM dan TPM sepajang kempen penjelajahan mereka serata negara.
Paling tinggi Perak= RM220.38 juta , Johor =RM201.40 juta, Wilayah Persekutuan= RM63.25 juta, Kelantan= RM6.4 juta, Kedah = RM4.06 juta, Pulau Pinang= RM5.58 juta dan Selangor =RM17.3 juta. Adakah wang-wang ini sampai ke akar umbi? Tidak! Ia hanya disalurkan kepada penyokong BN di negeri-negeri berkenaan.
Jika anda memarahi petani dan mahasiswa, fikir dahulu penyelewengan sendiri yang jelas diperhatikan oleh rakyat yang bijak di bawah sana.
Muhammad Nuruddin Bashah
Unit Penerangan MTD Sungai Rapat
No comments:
Post a Comment