TPPA BAHANA NEGARA; CUKUP TERDIDIKKAH ANAK MUDA MENGENAINYA
Muhammad Nuruddin Bashah
Timbalan Ketua Penerangan DPPN Kedah
Tulisan ini ditaip sepanjang penulis berada di hadapan televisen
menonton siaran langsung Persidangan UMNO 2014 yang sarat dengan
dogma Malaysia itu UMNO dan UMNO itu Malaysia. Malah mungkin kena
dengan tajuk yang penulis ingin coretkan disini iaitu apabila
Presiden UMNO tercinta menyatakan “kukuhnya negara dengan kukuhnya
UMNO”, “Negara akan makmur dan maju jika rakyat cintakan UMNO”
jika telinga penulis tidak tuli.
Cukup meluap dan lahap ucapannya namun penulis menguap dan lali
kerana tiada wacana mencabar minda yang dilontarkan melainkan amaran,
ugutan dan paranoid ilusi yang dicipta untuk membuatkan peserta
persidangan tidak senang tidur.
Penulis menantikan lontaran cabaran bagaimana bangsa etnik majoriti
Melayu menghadapi pasca kolonialimse dan neo kolonialisasi yang
dihidang dalam bentuk baru. Baik dari aspek hidangan pemikiran baru
yang mengubah landskap politik, masa depan rakyat mahupun dihidang
melalui kelicikan perjanjian dan usaha ekonomi yang mengancam masa
depan rakyat tidak kira Melayu, Cina dan India.
TPPA adalah perkara yang ingin penulis gariskan dalam tulisan ini
lantaran isu ini tidak menghasilkan amarah rakyat amhupun pemimpin
politik. Apabila isu tidak menghasilkan reaksi kerajaan melalui Akta
Hasutan sudah memadai menandakan isu TPPA belum dipanaskan dan belum
cukup menggugat keselesaan Putrajaya.
Perjanjian ini bukan sahaja bakal menguak satu lembaran baru dunia
ekonomi tanpa sempadan yang mana menyaksikan negara kita akan menjadi
‘alat remote control’ kuasa besar kapitalis, ia juga sebenarnya
bakal menyaksikan generasi muda yang hari ini masih belum memiliki
kereta, belum berkeluarga, masih kerja part-time di kedai serbaneka,
masih sambung pengajian sarjana, masih belum memiliki rumah suatu
hari nanti selepas melepas usia yang memerlukan semua kemudahan
berkenaan, sudah matang berkeluarga, mereka semua akan terperangkap
dalam perangkap ekonomi liberal yang menghancurkan status quo yang
sedang mereka nikmati sekarang ini.
Anak muda sudah tidak boleh dilayan sebagai pak pacak dan aktor
tamabahan penambah peserta sahaja dalam himpunan atau gerakan
mendesak bantahan TPPA,. Anak muda perlu dipartisipasikan dari aspek
ilmiah dan intelektual. Sekurangnya jika tidak belajar tinggi, mereka
peru difahamkan fakta asas kebejatan TPPA yang sedang merobek
lelangit sosial mereka.
Penulis menyaksikan anak muda yang amarah dalam
isu TPPA ada yang hanya bersemangat tetapi dengan minda yang separuh
penuh. Bergaya dengan T-Shirt Che Guevera ke sana ke mari, berkumpul
berarak dengan topeng muka V for Vendetta,
atau T shirt bersuara dengan tulisan maki hamun kapitalis dalam
keadaan mereka tidak difahamkan secara adil apa realiti kapitalis dan
apa altenatif terbaik kepada kapitalisme yang menjerut leher mereka
kelak.
Bagi penulis yang mengambil medan juang PAS, amat berbesar hati jika
PAS menggerakkan seluruh jentera dan lajnahnya yang memiliki
ketumbukan, kemahiran dan kepakaran tersendiri memacu isu agar rakyat
bangun menghumban TPPA jauh dari kosmos Malaysia.
Isu TPPA terlalu banyak literasinya disediakan oleh penggerak gerakan
NGO aliran kiri dan multi rasial. Namun dalam ketumbukan pasukan
Islamis ia masih belum cukup panas dan rasanya cukup masak
diwacanakan.
Ia bukan sekadar isu lajnah ekonomi atau Lajnah Penerangan, ia juga
boleh dijadikan isu homofili yang disepakati semua segmen dalam PAS,
tidak mengira aliran pemikiran, latar belakang pendidikan. TPPA bakal
menjahanamkan kesemua sekali ala-ala Perang Amargedon. Jika ia dipacu
secara bersama, manual operasi pengurusan berdasarkan objektif boleh
disediakan agar semua Jabatan dan Lajnah memainkan isu ini. Lajnah
tarbiah dan Dewan Ulama’ boleh berwacana sehingga masak berkenaan
serangan neo-kolonial ini dari aspek fiqh Nusus dan Syariah. Ia wajar
dibuka kepada semua anak muda untuk diberi maklumat yang absah
berkenaan bercanggahnya TTPA daripada aspek syariah Islam.
Jabatan PASTI, Amal dan lajnah Profesional, boleh melarutkan intpati
anti TPPA dalam setiap program yang mereka adakan. TPPA boleh
dianggap bahana yang perlu dihadapi seara komprehensif, munazzamah
dan konsisten. Inilah idea yang cuba dilontar oleh penulis kali ini.
Permudahkan istilah
Bahasa susahnya adalah TPPA didefinasikan
sebagai perjanjian multilateral terikat yang melibatkan
negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New Zealand,
Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan
Vietnam. TPPA adalah tentang liberalisasi
pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di
pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep
globalisasi.
Bahasa mudahnya selepas ni barang-barang
kita dapat masuk pasaran negara ahli yang
dinyatakan tadi, dengan BEBAS. Bagi yang selama ni
bercita-cita untuk memasarkan produk mereka ke luar negara
akhirnya akan tercapai melalui TPPA.
Manakala barangan negara lain juga mudah masuk ke negara kita malah
dengan harga tertentu (mungkin terlalu rendah) yang menyukarkan
peniaga tempatan meletak harga.
Sifir mudah TPPA
Umumnya TPPA meliberalkan serta mengurangkan kuasa kerajaan tempatan
serta menaikkan pengaruh syarikat gergasi luar negara dalam perkara :
- perkhidmatan,
- Pelaburan dan saham tempatan,
- peraturan ke atas Korporat Kaitan Kerajaan (GLC),
- Peraturan Industri Kecil dan Sederhana (SME)
- dan Hak Milik Intelektual.
Kesannya pula secara umum untuk difahami:
- Harga ubatan meningkat
- Nilai Hartanah meningkat
- Kerajaan kurang kedaulatan -mudah disaman syarikat luar
- Petani tempatan kurang ruang ekonomi, diasak barangan luar negara
- Kesihatan terancam - makanan lambakan remeh/ sintetik.
- Industri tempatan, kecil dan sederhana diasak, dikawal peraturan kerana saham dikawal oleh pihak kapitalis luar negara.
- Rasuah boleh menjadi-jadi untuk memenuhi kehendak piawaian kapitalis luar negara.
- Peniaga kecil musnah- peluang pekerjaan mengucup dan pengangguran mungkin berlaku.
- Budaya tempatan, agama terhakis kerana arus global yang menguasai segenap sendi sosial.
Bagaimana kesan-kesan ini berlaku?
Pemimpin generasi akan datang bakal disaman?
Anak muda adalah keompok utama yang perlu diberi kesedaran. Mereka
adalah generasi yang bakal menerima impak maksima TPPA. Siapakah yang
bakal menerajui negara ini jika bukan anak muda hari ini? Jika TPPA
ditandatangani, kemungkinan mereka sebagai pemimpin masa dean
berhadapan dengan ancaman disaman oleh syarikat trans nasional
gergasi. Lihat sahaja syarikat rokok Philip Moris yang menyaman
kerajaan Australia kerana kerajaan Australia mengarahkan rokok dijual
dalam kotak kosong bermula 1 Disember 2012. Begitu juga nasib Uruguay
kerana kerajaan tersebut mebgarahkan iklan kesihatan diletak pada
kotak rokok sebanyak 80 % sehingga menenggelam hiasan kotak yang
menggiurkan selera perokok. Hal yang sama bakal berlaku di Malaysia
kerana iklan sedemikian juga dilakukan oleh kerajaan malaysia.
Pada Mei 2011 Jerman mengumumkan bakal menamatkan program nuklear
menjelang 2022. Akibatnya syarikat Sweden Vattenfall mengumumkan akan
menyaman Jerman sebanyak RM 4.6 billion!
Isu yang menjadi kebimbangan adalah mekanisme penyelesaian pertikaian
pelabur (inventor state dispute settlement ) ISDS yang merestui
pelabur mencabar undang-undang dalaman sesebuah negara walaupun
diluluskan dalam parlimen dan untuk matlamat kebaikan warganegara
negara berkenaan.
Negara-negara
TPPA mesti
bersetuju untuk membenarkan syarikat luar mengambil tindakan saman di
tribunal arbitrasi antarabangsa (International Center for Settlement
of Investment Disputes yang bertapak di Washington) untuk menuntut
pampasan disebabkan eskpropriasi (expropriation). Eskpropriasi
secara
mudah untuk anak muda faham
didefinasikan sebagai
tindakan kerajaan kita yang mungkin
merampas
harta dan membatalkan kontrak atau
tindakan dan polisi kerajaan yang memberi impak pengurangan
keuntungan kepada
syarikat gergasi luar negara. Maka “Eskpropriasi” inilah musuh
kepada kapitalis walaupun tindakan ini menyelamatkan keseihatan,
keselamatan, budaya dan agama rakyat tempatan.
Industri di bawah kawalan TTPA
Pengasas bersama Badan Bertindak Bantah TPPA Anas Alam Faizli
pernah menyatakan bahawa, generasi
muda tidak boleh mengelak diri daripada wacana
bencana TTPA. Beliau menggariskan impak TPPA terhadap
dunia industri yang menjadi punca pendapatan negara kerana
rundingan ini akan akan memberi kesan kepada perolehan kerajaan,
industri kecil dan sederhana. Hal ini ini kerana
TPPA bakal memegang lebih 80
% industri di Malaysia.
Misalnya dalam hal industri juga isu SOE
(State Own Enterprise) TTPA menghakis pengaruh
kerajaan terhadap saham tempatan. Mana-mana SOE dimana
kerajaan punya saham didalamnya, TPPA menetapkan kerajaan tidak boleh
menentukan dasar yang memihak kepada pelabur tempatan.
Kesan
parah akan berlaku ke atas syarikat GLC dan SME tempatan. Mengikut
TPPA, sebarang layanan istimewa kepada syarikat tempatan untuk
mendapat sebarang kontrak kerajaan akan dianggap menyalahi TPPA
kerana tidak memberi “fair and equitable treatment”.
Anak muda hari inilah yang bakal menerajui GLC dan hak-hak yang wajar
mereka perolehi akan terhakis.
Kesihatan generasi akan datang musnah
Tahukah kita mengapa penyakit kenser boleh dikatakan amat kurang
zaman dahulu? Perlukah nenek moyang kita memakan deadoran untuk elak
bau badan? Rasanya tidak perlu kerana bahan makanan yang tiada bahan
sentetik dan bahan kimia boleh menghasilkan badan yang sihat, bau
badan yang kurang. Kini dari hujung rambut hingga kaki perlukan
pewangi dan pembasuh kerana badan kita menyahkan toksik dan
menghasilkan bau tidak menyenangkan.
Akan datang makanan sentetik akan bercambah lagi.
Generasi akan datang akan lebih tenat lagi. Dengan
termeterainya TPPA, segala bahan asas yang
berasaskan kimia akan dibawa masuk ke tanah air kita seperti
GMO (Genetically Modified Organism) yang terkandung dalam
beras, kacang soya, tumbuh-tumbuhan dan banyak lagi.
GMO adalah bahan asas atau makanan yang telah diubah secara
genetik menggunakan bahan-bahan kimia yang mampu
mendatangkan bahaya kepada sesiapa yang memakannya.
Hari ini kerajaan mungkin masih
mampu menghalang bahan- bahan berbahaya ini
dijual kepada umum. Akan datang?....
Ubat tidak bersifat ubat lagi
Ubat adalah untuk sesiapa yang perlu dan sakit.
Malah menjadi dasar sesebuah negara untuk mengagih ubat secara adil,
murah, mudah untuk rakyatnya sendiri. CAP serta banyak NGO lain telah
memberi senarai Garis merah berkenaan ancaman TPPA antara yang
popular adalah isu kenaikan harga ubat-ubatan kerana
pemanjangan tempoh paten atau hak cipta ubat berjenama.
TPPA bersifat melindungi harta intelak dan ia berlaku secara melampau
sehingga sesuatu penemuan, kajian itu kelihatan tidak lagi memberi
harapan atau manfaat kepada masyarakat dunia sebaliknya tujuan
penemuan dan kajian lebih kepada mengumpul kekayaan, laba akibat
pemanjangan paten sesuatu penemuan dan kajian. Bukankah tujuan
sainstis membuat kajian untuk manfaat masyarakat? Kapitalis telah
memesong tujuan asal budaya saintis kepada budaya membolot keyaan
peribadi. Anak muda yang sihat wal afiat hari ini suatu hari mungkin
akan bergantung dengan ubat kolesterol, buah pinggang, jantung dan
sebagainya. Mereka akan berhadapan dengan kos harga ubat yang begitu
mahal sehingga kerajaan sendiri tidak mampu menampungnya dengan
subsidi.
Satu kajian yang dilakukan oleh Oxfam pada
2007. Dalam tempoh 5 tahun sejak Jordan menguatkuasakan TRIPS-Plus
hasil perjanjian US-Jordan Free Trade Agreement (FTA), harga
ubat-ubatan dalam pasaran meningkat 20 peratus, tanpa sebarang
pembaharuan pun di dalam inovasi ubatan seperti yang didakwa oleh
golongan pro-TPPA.
PAS dan gerakan islam perlu sedarkan anak muda apa itu ubat generic
(yang murah) yang sedang membantu hayat ibu dan bapa mereka. Suatu
hari nanti ubat generic kian sukar diperolehi dan mereka (anak muda)
akan terima habuannya.
Harga hartanah akan meningkat
Antara cita-cita besar anak muda tentunya ingin memiliki tanah
sendiri, kenderaan sendiri. Hari ini FOMCA melaporkan sejumlah 47
peratus pekerja muda di negara ini ibebani jumlah
hutang yang begitu serius. Malah
lebih 53% rakyat Malaysia tidak mempunyai apa-apa aset kewangan
kerana tidak mampu dan dibebani hutang berpanjangan. Bagaimana dengan
keadaan akan datag dengan adanya TPPA?
Pengarah Penyelidikan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Azlan Awang
berkata, apabila kerajaan menyertai TPPA, Bank Negara Malaysia (BNM)
tidak boleh lagi mengawal aliran keluar masuk wang dari luar negara
untuk pelaburan di negara ini kerana antara klausa dalam perjanjian
itu ialah aliran modal yang bebas.
Hari ini rralitinya ramai anak muda tidak
mampu membeli rumah sekarang kerana rumah dijadikan satu barangan
komoditi untuk dispekulasi oleh spekulator
tempatan kerana kelemahan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT),
kurangnya pengawalan penggunaan duit pasaran gelap dan kelonggaran
pinjaman oleh institusi perbankan. Hal ini
dianggap serius walaupun baru penangan daripada spekulator tempatan.
Akan datang selepas Malaysia tandatangani
TPPA, wang yang besar akan datang dari luar negara. Pelabur asing
boleh melabur dalam industri sebenar, pasaran saham dan hartanah.
Harga hartanah akan dimanipulasi oleh pelabur asing. Hal ini tidak
boleh disangkal lagi.
Ancaman budaya dan agama
Generasi anak muda telah berhadapan dengan
suatu perubahan sosial dan penjajahan budaya selepas proses
globalisasi berlaku sejak era awal milenium.
TPPA adalah bentuk baru
kehadiran globalisasi yang bejat tetapi secara terhormat, rasmi dan
berkuasa kerana ia adalah perjanjian. Perjanjian ini adalah janji
setia kita untuk menerima tanpa sekatan sebarang lambakan nilai,
budaya dan agenda kapitalis antarabangsa. TPPA adalah bentuk batu
globalisasi. J A Scholte (2002) dalam bukunya menyimpulkan
globalisasi sebagai internasionalisasi, liberasi, universalisasi,
westernisasi atau modernisasi (lebih banyak dalam bentuk
Americanised) dan globalisasi sebagai penghapusan batas-batas
kewilayahan (atau sebagai persebaran
supra-teritotorialitas).
Filem tanpa tapisan adalah antara ombak besar yang bakal merosakan
generasi muda. Seperti yang dinyatakan diatas, harta intelak dan
copyright pengeluar filem dipertahan sehingga sebarang tindakan
menapis dan mengurangkan babak yang merosakkan filem asal boleh
disaman oleh pengeluar filem berkenaan.
Ternyata daripada sedikit hujah di atas, anak muda adalah antara
generasi yang bakal terancam dari segala aspek.
Di sinilah peranan PAS mencelikkan anak muda berkenaan penangan bejat
TPPA. Ia isu kita bersama. Ia isu Islam!