Tuesday, May 04, 2010

Pemuda PAS adalah penyelamat masyarakatnya sendiri

Pemuda PAS adalah penyelamat masyarakatnya sendiri

Setuju atau tidak, Pemuda PAS adalah seorang anak muda yang memim pin bukan sekadar di dalam ruang parti dan organisasi sahaja malah ia memimpin masyarakat sekitar. Pemuda PAS adalam lambang kepimpinan anak muda walaupun bukan beragama Islam. Inilah yang ditegaskan juga oleh YB Ustaz Firdaus Jaafar dalam perasmian Muktamar Pemuda PAS Perak baru-baru ini di Air Kuning Taiping.

Allah menegaskan dalam KitabNya berkaitan dua unsur penting pembinaan kekuatan pemuda,

salah seorang di antara perempuan Yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah Dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang Yang ayah ambil bekerja ialah orang Yang Kuat, lagi amanah". (Al Qasas : 26)

Kuat bererti sihat jasmani dan kekutan emntal yang tinggi. Amanah adalah substensi yang ada pada rangka yang sihat tadi.

Untuk memacu perjuangan pemuda PAS yang suka untuk saya tulis sebagai Pemuda Islam, pemuda perlu memiliki beberapa ciri yang memastikan mereka menjadi relevan dalam dakwah dan perjuangan politik. Sesungguhya pihak musuh saban hari memikirkan cara untuk memperbesar kes moral para pejuang kebenaran walaupun kes tersebut terlalu lama berlalu. Hal inilah memerlukan persiapan awal pemuda untuk membuat satu grand design untuk diri sendiri dan rentak kerja pemuda. Malah kehendak massa, sossiopolitik hari ini menghendaki pemuda sebagai pewaris kepimpinan negara memiliki ciri kebertanggungjawaban yang tinggi. Ciri ini membawa beberapa ciri tambahan yang memberi makna kepada kepimpinan pemuda seperti karismatik, individu yang berkesan, individu yang futuristik dalam mengamat suasana serta individu sihat yang aktif dalam pelbagai aktiviti.

Massa dan sosial hari ini menghendaki perjuangan Pemuda Islam yang bervisi. Bervisi bukan bermaksud tenggelam dalam kalimah retorik dan slogan sahaja, Visi di sini bermakna pemuda memiliki iktikad, pegangan dan idealisme sama ada idealisme thabat yang kekal (iaitu perjuangan Islam) serta idealisme murunah (perjuangan yang anjal, segar dan kena dengan suasana semasa). Masyarakat hari ini tidak gemar dengan sebarang gerakan pragmatik yang tidak menampilkan idealisme sebenar kerana idealisme juga menjadi faktor konsistensi sesuatu kerja amal. Pragmatik kerana isu atau hanya memainkan isu ‘seronok sendiri’ akan menyebabkan gerakan Pemuda mati dan tidak konsisten sebagai jurubicara umat dan masyarakat dalam negara.

Apabila memikirkan hal ini, suka untuk saya ketengahkan pula permata nasihat dan pedoman yang telah diberikan oleh Al fadhil ustaz Abu Bakar Hussain iaitu Pesuruhjaya PAS Perak dalam Muktamar Pemuda PAS Perak baru-baru ini. Beliau benar-benaar berharap Pemuda PAS bukan sekadar mewakili nama parti da jamaah sebaliknya menjadi payung atas nama pemuda islam iaitu mewakili semua pemuda muslim seluruh negara.

Analogi menarik yang beliau utarakan berkaitan dengan moral dan etika pejuang Islam adalah berkenaan sirah rasulullah SAW dalam menyelesaikan kes perletakan Haajarul Aswad. Sunnah Rasul walapun sebelum mengambil tanggungjawab kerasulan, baginda telah membuktikan betapa integriti dan moral pemuda boleh menjadi satu punca penyelesaian masalah sosial. Malah moral dan kebaikan rasulullah sewaktu muda dan remaja menyebabkan beliau menjadi penyatu kepada beberapa kelompok kaum Quraisy walaupun sewaktu itu mereka bukan menganut Islam atau menjadi pengikut rasulullah.

Dalam konteks hari ini, isu moral dalam berpolitik bukan sekadar memerlukan perhatian kepada perkara mungkar yang jelas sarih dosanya, malah melibatkan juga isu lompat parti yang mempermainkan mandat rakyat kepada para pemimpin tempatan.

Menurut Al fadhil ustaz Abu bakar, kisah penyelesaian kes Hajarul Aswad membawa beberapa feqh (kefahaman) perjuangan untuk para pemuda teliti berhati-hati.

Ketika itu, perbalahan berlaku mengenai siapa yang berhak meletakkan semula batu itu di tempat yang asalnya.

Suatu keputusan diambil, iaitu sesiapa yang ditemui hadir paling awal di masjidil haram untuk bersolat esok paginya, maka orang itulah yang berhak menjadi hakim dalam perbalahan itu. Maka Muhammad al-Amin telah terpilih. Saat itu, Nabi belum lagi diangkat sebagai nabi dan rasul.

Keputusan dibuat. Kain serban Muhammad dihamparkan ke tanah. Keempat-empat bucu serban dipegang oleh empat pemimpin kabilah yang bertelagah tadi. Mereka lalu mengiringi Hajarul Aswad yang diletakkan oleh Muhammad ke dalam serbannya sehingga tiba ke tempat sebenar batu itu. Akhirnya, baginda sendiri yang meletakkan batu itu tempat asalnya. Saat itu, baginda berusia 35 tahun menurut tahun Hijrah.

Antaranya ibrah pertama yang dapat diamati adalah, nabi telah membuktikan bahawa sejak muda lagi Baginda menjadi punca penyelesaian masalah, tempat kebergantungan masyarakat Quraisy sebagai contoh Nabi dijadikan sebagai penjaga amanah barang dan harta mereka serta nabi juga tidak menjadi bebanan kepada sosial pada zamannya.

Pemuda PAS boleh menjadi dominan dan mempamerkan kepimpinan bukan sekadar di dalam kelompok organisasi pemuda da partinya sahaja, malah menjadi pemimpin dan pemandu cara dalam aspek integriti dan moral kepada pemuda dan belia daripada parti lain, NGO, pertubuhan mahupun masyarakat awam.

Rasulullah pada peristiwa hajarul aswab, bukannya seorang pemimpin besar atau ketua satu pertubuhan yang ramai pengikutnya. Baginda adalah minoriti walaupun berasal dari kaum terhormat. Minoriti kerana beliau tidak pernah melatih anak muda lain untuk menyertai baginda sebelum kerasulannya. Jadi apakah ciri yag menyebabkan baginda diminta menyelesaikan kes perkauman tersebut? Ianya disebabkan oleh sikap Amanah. Amanah menjadikan pemuda Islam lebih terurus dan boleh dipercayai untuk menguruskan sesuatu hal. Walaupun pemuda islam di sesuatu tempat bukan majoriti, namun aspek amanah akan menonjolkan diri mereka. Sikap siddiq juga menyebabkan rasul terpilih. Sikap ini penting dalam ilmu politik pemuda islam kerana ia melibatkan perlaksanaan janji dan perancangan. Pemuda Islam akan dijadikan rujukan dalam pelbagai aspek jika mereka adalah golongan yang buat apa yang dirancang. Sikap ketiga adalah sikap hilmun iaitu sopan santun dalam percakapan baginda.

Ibrah kedua daripada sirah ini ialah bagaimana Rasulullah menampilkan pemikiran kreatif dalam penyelesaian masalah iaitu menggunakan kain serban sebagai wasilah atau medium untuk setiap kaum menunjukkan tanggungjawab terhadap batu suci tersebut. Sikap yang sama perlu diteladani oleh Pemuda Islam hari ini. Kreatif bukan sekadar dikaitkan dengan ciptaan sains sahaja, kreatif dalam penyelesaian masalah, sabar dengan sedikit kerugian untuk mendapat laba yang lebih besar juga adalah salah satu ciri kreatif. Pemuda kreatif adalah pemuda yang optimis dengan ideanya. Malah banyak isu umat Islam seperti isu penindasan mustadhafin di malaysia, peminggiran bahasa Melayu, penindasan terhadap kaum pelarian di Malaysia walaupun memiliki dokumen sah serta banyak lagi boleh dihidangkan kepada masyarakat dengan gaya kreatif atas satu matlamat iaitu masyarakat sedar dan isu diselesaikan.

Ibrah ketiga seperti yang dinyatakan oleh Al fadhil Ustaz ialah politik atau siasah Islam ada di mana-mana. Sekaligus ini membantah politik sekular yang hanya menyempitkan isu politik dalam masjid, di parlimen dan sebagainya. Politik nabi pada saat itu telah menunjukkan baginda bersedia menjadi pemimpin, mengurus dan mentadbir sesiapa dalam suasana pelbagai.

Ibrah yang keempat daripada kisah itu juga adalah bagaimana Pemuda Islam perlu bertindak selaku mughayyir iaitu agen musleh (pengubah sosial) ke arah yang lebih baik. Pemuda PAS yang mewakili pemuda islam seluruh negara perlu memikirkan rencana kerja dan program tetap bulanan dan mingguan untuk menyelesaikan masalah umat. Kemiskinan tegar, masalah kesihatan, pemakanan rakyat, isu gejala sosial, jenayah remaja, alam sekitar dan hak-hak kepenggunaan perlu diperjuangkan kerana ini adalah kerja-kerja agen mughayyir. Inilah kerja Islam.

Pemuda PAS mudah sahaja untuk mendapat kepercayaan sepertimana yang diperolehi oleh baginda walaupun Pemuda itu minoriti dalam segala aspek. Islam tidak pernah mensyaratkan majoriti untuk menampikan Islam dan keindahan syariah.

Muhammad Nuruddin Bashah

AJK Dewan Pemuda PAS Gopeng Perak

Sunday, May 02, 2010

Muktamar Pemuda PAS Perak 2010

Pakai baju baru Dewan Pemuda PAS Gopeng. Macam baju seragam Pasti

Ustaz Mohd Munir Ali, Pemangku Ketua Pemuda PAS Perak memberi ucaptama
Kehadiran YB Zainuddin bos saya dalam Lajnah Perpaduan
Barisan kepimpinan Pemuda bersama PJ Perak. nantikan tulisan saya mengupas ucapan Ustaz Abu Bakar PJ Perak pada posting akan datang.

Thursday, April 22, 2010

Lawatan PM bukti mahu tunduk terhadap polisi AS

Lawatan PM bukti mahu tunduk terhadap polisi AS

Malaysia sedari awal digambarkan sebagai negara umat Islam yang membangun, produktif, antara yang paling aman serta mengalami pertumbuhan FDI, teknologi dan institusi pendidikan yang tinggi di kalangan negara umat Islam yang lain.

Malah melalui OIC, malaysia menjadi harapan kepada dunia Islam yang ingin sangat menrungkai jauh islamophobia di kalangan barat dan sekutunya, membaiki persepsi luar terhadap dunia Islam, menjadi duta untuk melobi bahawa negara Islam adalah antara blok yang boleh menjadi kuasa penentu ekonomi dunia, kestabilan keselamatan dunia dan sebagainya.

Malaysia yang juga memimpin OIC boleh berperanan dengan berkesan jika kita terus-menerus melobi agar negara lain turut cakna dan aktif bersuara lantang untuk membela umat Islam sedunia. Kini uamt Islam sedunia makin parah masa depannya akibat polisi Amerika yang semakin lama semakin terpesong daripada kempen awal counterterrorist policy mereka.

Melalui lawatan dan pertemuan PM dengan Presiden AS baru –baru ini, rakyat dan umat Islam sedunia mulai ragu peranan Malaysia sebagai duta diplomatik yang boleh menhubung jalinkan hubungan antara blok barat dengan Islam serta membuang prasangka barat terhadap umat Islam da sistem agamanya. Obama yang memiliki agenda tersirat untuk melobi sebanyak mungkin negara – negara terutama dari kalangan dunia ketiga dan negara yang mewakili Islam khususnya demi menyokong dasar washington yang ingin mneyekat hak Iran memperkayakan pengeluaran uraniumnya.

Tidak cukup dengan kuasa PBB, IEA dan sebagainya, AS kini inginkan lidah-lidah umat Islam pula dijadikan ‘wasilah’ dan kini Obama berjaya bertawasul dengan lidah Perdana Menteri kita untuk mengiyakan ‘keganasan’ yang dibuat oleh Iran hanya kerana memproses nuklear.

Malah sebelum malaysia yang cukup kerdil dalam arena nuklear, AS telah berjaya melobi kuasa besar dunia seperti China, Britain, Perancis, Jerman da Russia.

PM sendiri mengakui dalam perbincangan bersama Obama, betapa pelrunya Iran mentaati arahan PBB, NPT dan IEA untuk menghentikan proses nuklearnya walaupun telah ada janji daripada Tehran bahawa nuklear mereka hanya untuk penjanaan elektrik da sumber tenaga tertier semata-mata.

Adakah Perdana Menteri kita tidak sedar bahawa tarian AS yang memalu gendang agar dunia merestui serangan mereka ke atas Iraq pada 2003 hanya atas alasan senjata pemusnah adalah ternyata palsu? Bukankah pegawai penyiasat ke Iraq sendiri mengakui tiada langsung senjata pemusnah di Iraq?

Persoalannya mengapa perlu PM kita menari megikut tarian Islamofobia AS? Kemunculan Obama dalam pentas politik White House dimulakan dengan pelbagai slogan dan retorik untuk membaik pulih hubungan antara AS dan dunia Islam demi meredakan kudis 11 September yang dicipta oleh AS sendiri.

Rasanya Perdana Menteri kita cukup arif betapa negara yang sekian lama menyalahgunakan senjata adalah AS dan sekutunya! Iran tiada rekod holocoust atau genosid etnik dilakukan oleh mereka. Iran tiada rekod silam penyalahgunaan nuklear dengan menghancurkan mana-mana negara.

Sebaliknya AS sarat dengan data dan statistik jenayah perag di Vietnam, Afghanistan, Iraq, usaha mereka membantu Israel membantai Palestin dan pernah diam membungkam melihat Serbia meratah Bosnia pada awal 1990an dahulu. Malaysia pernah menganjurkan ‘jihad’ menentang kezaliman Isral-AS melalui kempen We Want Peace serta kempen Aman malaysia, namun kini membawa masuk syarikat APCO World wide (Yahudi Zionis yang nyata pro dengan kezaliman AS) ke dalam pentadbiran negara.

Dunia Islam telah lama dicengkam oleh Barat dan kini diketuai oleh AS melalui oelbagai perjanjian yang akhirnya merugikan umat Islam. Perjanjian damai di antara Palestin dan Israel yang ditaja Amerika telah memaksa umat Islam untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah walau pun Israel didirikan di atas tanah yang dirampas daripada orang Islam, Perjanjian Pencegahan Penularan Nuklear (NPT), yang menghalang Iran dari membuat senjata nuklear sedangkan Amerika memberi teknologi nuklear kepada Israel dan India yang tidak menandatangani NPT; Perjanjian AFTA (Perjanjian Perdagangan Bebas Asia Tenggara) yang memberi peluang kepada syarikat asing mengeksport produk mereka tanpa sebarang halangan; dan Perjanjian PerdaganganBebas (Free Trade Agreement, FTA) yang telah dimeterai antara Amerika dan Malaysia serta Malaysia dan Jepun.

NPT adalah umpama paspot besar AS untuk menghalang sebarang kebangkitan teknologi dari blok Islam. Tesis Samuel Hungtington berkenaan potensi besar blok Islam mendominasi dunia barat cukup menjadi paranoid AS sejak zaman Bush dan kini Obama mewarisinya lagi. NPT juga menjadi wazan untuk AS melobi dunia ketiga membenci Iran dan mana-mana negara umat Islam yang ingin bangkit maju. Maju yang direstui oleh AS adalah negara-negara yang hanya sibuk untuk menaikkan kadar FDI, sibuk memperomosi KDNK kepada dunia, sibuk dengan ekonomi berependapatan tinggi dan sebagainya. Malah AS cukup bangga dengan negara-negara yang korup dalam institusi ketenteraannya termasuk korup dalam pembelian senjata dan instrumen perang.

Kini Kajian Semula Pendekatan A.S. Terhadap Nuklear (NPR) menjadi alat baru AS untuk melobi dunia agar setuju dengan wayang mereka memusuhi negara yang ingin juga mmeiliki nuklear. Melalui NPR Pentadbiran Obama ingin memaksa masyarakat global untuk mematuhi perjanjian NPT. Di bawah perjanjian ini, negara-negara yang ada senjata nuklear bersetuju untuk melucutkan senjata nuklear mereka, sementara negara-negara tanpa senjata nuclear pula bersetuju untuk tidak membuat senjata nuklear, dan memberi hak negara lain membina tenaga nuklear untuk tujuan keamanan.

Menurut teks Kajian Semula Pendekatan A.S. Terhadap Nuklear, "Amerika Syarikat tidak akan mengguna atau mengancam untuk menggunakan senjata nuklear ke atas negara-negara yang tidak mempunyai senjata nuklear yang menjadi ahli di dalam NPT dan mematuhi syarat-syarat perjanjian pengawalan nuklear tersebut." Namun AS ghairah melaung bahawa negara membangun yang memiliki nuklar berpotensi menjadi ganas. Objektifnya, ganas adalah subjek yang ingin dibincangkan. Bagaimana pula negara yang kononnya baik dan berdisiplin dengan NPT seperti AS tetapi ganas membunuh umat Islam serata dunia? Perdana Menteri kita perlu disedarkan hakikat ini.

Rakyat boleh menilai betapa kunjungan PM ke AS hanya untuk membina imej bukannya menjadi duta umat Islam. Malaysia yang giat mencanangkan dirinya sebagai wakil umat Islam tidak boleh menanggalkan label tersebut walau di mana sahaja lawatan kerja kerajaan serata dunia.

Sampai bila pemerintah negara ini ingin menghanyutkan rakyat dengan kalimah dongeng yang indah tetapi kosong. Umpama India yang memujuk kemiskinan rakyat melalui lambakan filem cinta yang idealis, indah dan mewah. Daripada konsep Isla Hadhari, 1 Malaysia kini pula menyusul Model Ekonomi Baru (MEB) yang mengitar semula masalah defisit negara kepada bentuk kerugian yang baru.

Jika alasan PM mengunjungi AS untuk melobi negara yang dikatakan memiliki kuasa ekonomi yang kuat, ia adalah salah dan karut. Setakat maklumat tahun daripada Monthly Budget Review yang boleh ditinjau di laman www.cbo.gov, hutang AS sendiri adalah berjumlah $12 trillion (November 2009) iaitu 83% daripada KDNK. Hasil negara pula hanya $2.106 trilion (2009) berbanding perbelanjaan negara sebanyak $3.515 trilion (2009). Malah AS adalah antara negara yang paling tinggi mengalami defesit belanjawan tahunannya serta masih samar cara untuk merawatnya secara jangka panjang melainkan menipu dunia melalui stimulus jangka pendeknya sahaja.

Jika malaysia inginkan rujukan dari aspek kemampanan ekonomi, pertubuhan FDI, pengurusan awam yang kian cemerlang, PM perlu melawat ke negara kuasa baru ekonomi dunia iaitu BRAIC (Brazil, Rusia, India dan China). Sekurang-kurangnya negara-negara tersebut tiada lagi rekos jenayah perang, parasangka buruk terhadap Isla yang sedahsyat AS da sekutunya.

Dalam hal melobi negara luar untuk memperkukuhkan negara, PM perlu sedar bahawa kemampanan hubungan seranta bukan sekadar boleh ditangani melalui lawatan dan diskusi bertema sahaja tanpa ada agenda jauh yang berperinsip. Dialog peradaban yang bersungguh untuk meruntuhkan Islamofobia barat dan AS perlu dijalankan dan bukannya mengangguk terhadap persepsi negatif AS terhadap umat Islam.

Anwar Ibrahim pernah menyatakan,

Dialog pelru berterusan dan berlandaskan kejujuran serta kesungguhan untuk memahami satu sama lain. Setiap pihak mesti keluar daripada tempurung pemikiran melampaui sempadan kebudayaan masing-masing. Persengketaan lama perlu dilupakan seperti yang diungkap oleh T.S Eliot, we must not revive old factions, restore old policies or follow an antique drum” (Gelombang Kebangkitan Asia)

AS perlu disedarkan betapa dasar zalim mereka tidak akan membantu defisit nilai, sosial dan ekonomi mereka kini. Tanpa sokongan blok Islam dan Asia, AS akan runtuh menyembah bumi seperti mana kuasa hegemoni sebelumnya. Peranan pemimpin seperti PM Malaysia adalah terletak dalam konteks sebegini dan bukannya menambahkan keangkuhan AS terhadap umat lemah serata dunia.

PM kita berkata sentimen dan sikap AS terhadap Malaysia telah berubah bukan sahaja oleh Presiden Barack Obama dan pentadbirannya tetapi juga menjangkau ke Capitol Hill dalam kalangan senator dan ahli Kongres serta sektor swasta. Selain imej Islam yang dipandang rendah oleh AS, kezaliman, penyalahgunaan mahkamah, salah laku pemimpin, dan rasuah juga memberi imej negatif terhadap Malaysia jika kita teliti sekian banyak kajian dan dokumentasi pemerhati bebas.

Muhammad Nuruddin Bashah

Setiausaha TERAS Perak

Thursday, April 15, 2010

Ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda PAS Gopeng

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam..Selawat dan salam ke atas penghulu anbiya’ dan kaum muslimin..

………………………

Yang dihormati saudara pengerusi majlis, Muhammad Nuruddin bin Bashah

Yang dikasihi ayahanda Al-Fadhil Ustaz Hj. Abu Bakar bin Husin, Pesuruhjaya PAS Perak

Yang dimuliakan Al-Fadhil Ustaz Faisol

Yang dimuliakan Tn. Hj. Abd Rahim bin Md Arif, YDP PAS kawasan Gopeng, merangkap Bendahari PAS Perak

Saf kepimpinan DPP kawasan Gopeng

Pimpinan AMK Cabang Gopeng, saudara Ramihadi bin Ros

Ketua Dewan Muslimat, Pn Nor Kamariah

Seluruh ahli Pemuda sidang muktamar Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng

Bersyukur pada Allah dengan izinNya dapat kita sama-sama hadir pada pagi ini untuk menjayakan Mesyuarat Agung DPPK Gopeng bagi kali ke-14.

Mesyuarat ini amat penting bagi kita untuk mengukur beberapa aspek yang perlu diperbaiki dan diperhalusi bagi sama-sama kita mengambil satu langkah yang lebih proaktif bagi mendukung perjuangan suci ini.

Sepenggal telah berlalu, DPPK Gopeng telah berusaha menjayakan beberapa aktiviti dan pendekatan bagi kemajuan seluruh Ummah di dalam rangka yang telah dipertanggungjawabkan. Namun sehingga kini DPPK Gopeng masih belum boleh menarik nafas lega kerana didapati banyak aspek yang masih ketinggalan.

Justeru itu, atas kesedaran ini, pihak DPPK Gopeng mengambil tema pada mesyuarat ini iaitu ‘Memperkasakan Pemuda’ sebagai satu lonjakan ataupun kata semangat untuk terus menyusun saf pejuang yang bakal menggegarkan arena perjuangan ini.

Kami sedar Pemuda yang berkualiti amat diperlukan bagi menjadi tenaga penggerak demi menuntut kemenangan yang dijanjikan Allah.

Tanpa usaha memantapkan seluruh pemuda yang menjadi sayap parti, maka akan berlakulah kepincangan dalam menuju kemenangan yang dijanjikan itu. Oleh itu, bagi penggal yang masih berbaki ini, gerak kerja akan lebih tertumpu untuk meneruskan program memperkasakan pemuda. Di samping itu, aktiviti untuk menerjah kejayaan merampas DUN Sg Rapat tetap menjadi agenda utama. Beban yang digalas pemuda amatlah berat sekali, maka amatlah rugi bagi pemuda yang tidak mahu bersama memikul amanah ini kerana kemanisan kejayaan pasti tidak dapat dirasai sama seperti pemuda yang turun berjuang ke jalan ini.

Sidang mesyuarat yang dihormati sekalian,

Demi mencapai hasrat ‘Memperkasakan Pemuda‘ ini pelbagai pihak mesti sanggup bersama-sama berkongsi idea dan pendapat. Ia bukan hanya dibiarkan digalas oleh AJK DPP sahaja tetapi ia adalah tanggungjawab semua. Kami barisan AJK hanyalah memikul amanah yang telah diberi untuk menyusun beberapa strategi, namum ahli di semua peringkat tidak lepas untuk menjayakan semua yang telah dirancang.

Tidak adil meninggalkan seluruh AJK DPP sahaka yang mendayung perjuangan ini, sedangkan pemuda di peringkat cawangan hanya bertindak sebagai penonton sahaja.

Marilah kita bersama-sama memuhasabahkan diri masing-masing, mengoreksi diri, adakah berbaloi penglibatan kita selama ini.

Tuan-tuan yang dihormati,

Saya ingin berkongsi satu pepatah Cina, yang berbunyi,

Jikalau kamu merancang untuk satu tahun, maka tanamlah gandum,

Jikalau kamu merancang untuk 10 tahun, maka tanamlah pokok,

Jikalau kamu merancang untuk 1000 tahun, maka tanamlah manusia.

Maksudnya ialah kita mesti berusaha melahirkan pendokong yang berkualiti sebagai satu usaha untuk menjamin kemenangan yang diperolehi terus kekal. Usaha ini pula haruslah benar-benar teliti. Jika dipandang pepatah ini ada persamaannya dengan sirah Rasulullah SAW. Baginda benar-benar teliti menyusun pendokong sehingga akhirnya Islam telah berjaya menguasai dunia ini. Lihatlah apa yang berlaku sekarang, seorang demi seorang dahulunya rakan kita kini telah lari akibat sikap tamak haloba. Silapnya mungkin kerana kita tidak benar-benar merancang untuk memilih yang terbaik.

Pelan strategic telah siap dibina untuk mengambil satu tindakan perlaksanaan. Harapannya, semoga selepas kita bermesyuarat ini, kita membina keyakinan baru untuk sama-sama memajukan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng dan kemajuan Parti Islam Semalaysia (PAS) khususnya. Seterusnya kita terus istiqamah mendepani perjuangan ini kerana jalannya masih panjang.

Saya ingin berkongsi satu lagi kata-kata perangsang yang boleh kita ambil pengajaran daripadanya, berbunyi

‘You can’t win unless you know how to lose’- Kareem Abdul Jabbar

Iaitu kita tidak akan berjaya kecuali jika kita tahu bagaimana kita akan kalah. Maksudnya di sini ialah tanpa usaha sudah pasti kita tidak akan berjaya kerana pokok kejayaan adalah usaha yang berterusan.

Analoginya begini, saya ingin menduduki peperiksaan, saya tahu kalau saya tidak baca buku, saya akan gagal. Oleh itu, untuk berjaya saya mesti membaca buku.

Para hadirin yang dihirmati sekalian,

Tidak lupa juga akan rakan seperjuangan kita dalam Pakatan Rakyat (dari Parti Keadilan Rakyat). Terima kasih atas sikap saling bantu membantu dalam beberapa siri gerakan yang telah dijalankan. Semoga persefahaman ini akan tetap terpelihara dan dihindarkan dari sikap buruk sangka. Kita mesti sedar untuk menghapuskan musuh durjana, persefahaman dalam rakan seperjuangan amatlah penting sekali. Jangan sesekali merendahkan rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat ini. Kita umpama aur dengan tebing, saling memerlukan antara satu sama lain.

Akhir sekali dengan peluang yang diberikan ini, penuhilah masa mesyuarat agung ini untuk kita sama-sama memuhasabah diri. Juga jangan lupa, muda kita hanyalah sekali, amat rugi masa muda ini dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa ada rasa sama-sama mendayung perjuangan suci ini kerana perjuangan ini adalah satu jihad. Berazamlah kita untuk terus istiqamah berada di dalamnya.

Sekian, terima kasih.

Takbir (Allahuakbar!)

26 Rabiul Akhir 1431H/11 April 2010

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)