Tuesday, May 19, 2009

Keperluan Membina Gerakan Kewanitaan Profesional.

Artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Harakah edisi Jumaat 5-7Jun2009
Keperluan Membina Gerakan Kewanitaan Profesional.
Wanita adalah kaum yang sering menjadi salah satu sub perbincangan apabila sesuatu ketamadunan diperbincangkan dari aspek pencapaian, keadilan, keluasan pengaruh dan kuasa. Sejak zaman ketamadunan Firaun, zaman Bukhtanassar di Babylon( 605 BC- 562 BC), tamadun Sumeria (6,000 SM), Tamadun Rom (44 BC – AD 286) hinggalah kepada empayar Islam; wanita tetap menjadi topik komperatif yang signifikan terutama menilai aspek keadilan dalam pembawaan kemakmuran.

Islam menjamin maruah dan hak wanita secukup dan kena dengan fitrahnya. Tidak seperti amalan agama zoroester yang menjadikan isteri hak milik beramai-ramai. Tidak juga seperti tamadun Hammurabbi yang membolehkan wanita dicampak ke dalam air sungai hingga lemas demi membuktikan kesetiaannya kepada suami. Tidak juga seperti diskriminasi politik dan sosial ketamadunan Sparta, Athens dan Rom walaupun korpus ketamadunan ini menjadi rujukan gerakan femenisme sekular.

Tetapi hari ini umat Islam masih kelihatan bersifat defensif dalam isu kewanitaan. Umat Islam masih apologatik dan hanya bersifat reaktif kepada isu wanita tanpa menonjolkan aspek wanita sebagai aspek usul dan mabda’ (asasi) dalam Islam. Asasi ini menjadi pentas dan ruang kepada suatu perlaksanaan syariah holistik iaitu perimbangan hak wanita hingga mampu menjadi entiti penting sistem kemasyarakatan Islam. Mengapa hal ini dibangkitkan? Cuba kita mencari di internet mengenai hal wanita, hal perundangan membela wanita atau web yang menyuarakan hak wanita, kita hanya akan menjumpai web dan gerakan hak asasi femenisme yang bukan dari gerakan dakwah Islam. Malah lebih malang terdapat gerakan ini menjadikan sekular sebagai premis fikrah membela hak wanita.

Pesimis atau masih kurang mampu bersaing menyebabkan gerakan kewanitaan Islam yang sebenar masih belum mengisi ruang kosong dalam hal perundangan, pembelaan isu wanita dan sebagainya. Malah lebih besar peranan gerakan kewanitaan Islam ialah menyediakan ruang untuk wanita bergiat sebagai ‘manusia’ dan ‘rakyat’ seperti yang sewajarnya. Perjuangan pendidikan dan kepakaran wanita perlu juga dijadikan ruang penting. Saya tertarik dengan kenyataan seorang pemimpin Dewan Muslimat PAS Pusat berkenaan kekurangan ulama’ dikalangan wanita malah suara ulama’ dan ustazah PAS kurang ‘vokal’ dan dominan dalam aspek politik mahupun sosial. Maka hal ini perlu difikirkan secara serius juga.

NGO Islam perlu menjadikan isu ini suatu perenungan bijak demi membuang imej diskriminasi terhadap wanita walaupun dalam hal sebenar ia tidak berlaku di dalam Islam. Perjuangan isu wanita bukan sekadar membina rumah kebajikan bagi remaja wanita dan pemulihan akhlak malah isu umum harian dan kontemporari juga perlu diutamakan. Bukan sekadar isu wanita Islam, malah melestarikan juga agenda kewanitaan sejagat untuk semua agama dan kaum.

Penampilan gerakan kewanitaan Islam yang profesional, aktif, progresif dan praktikal adalah perlu di bina bagi setiap gerakan, NGO yang memiliki sayap kewanitaan sendiri. Malah penubuhan NGO wanita Islam amat dialukan kerana penumpuan dan fokus yang lebih serius dalam membina plan tindakan berkenaan.

Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Teras Perak
http://munawwarah.blogdrive.com
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
017 6291368

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)