Thursday, October 29, 2009

Keputusan PAS bersama Pakatan Rakyat bukan dibuat secara nafsu

Disiar dalam Harakah 6-8 November 2009

Keputusan PAS bersama Pakatan Rakyat bukan dibuat secara nafsu

Kurangnya pengetahuan berkenaan Fiqh Al Awlawiyyat menyumbang kepada faktor perpecahan dalam kesepaduan kerja Islam. Dalam banyak hal yang berlaku kini, Ibtila’ dan ujian yang melanda PAS hari ini, terlalu banyak kenyataan dan andaian yang dilakukan oleh pihak-pihak yang kurang bijak malah jahil dalam menganalisa masa depan Islam dan dakwahnya.

Kemelut antara pemimpin PAS yang dilihat secara luaran, kini kelihatannya dimanipulasi oleh pengamat luar sehingga ada yang mencadangkan PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Pandangan dangkal sesetengah pihak yang mengaku berjuang atas nama Islam bahawa PAS menggadai prinsip apabila terjun berjuang dengan PR juga menampilkan simptom jahil kefahaman berkenaan strategi prioriti yang PAS dokongi atas semangat tahalluf siasiy.

Apabila ada yang bertanya kepada saya mengenai cadangan tersebut, saya menjawab dengan tegas, adakah anda yakin masa depan Islam akan ‘kembali’ gemilang sekiranya PAS keluar PR? Jika sekarang PAS berkomplot dengan PR dikatakan merugikan perjuangan Islam, bagaimana situasi Islam sebelum PR terbentuk? Adakah tinggi seperti yang anda harapkan? Ternyata si pencadang agar PAS keluar PR tersebut tidak dapat memberi sebarang fakta menyakinkan bahawa kondisi sebelum PAS bersama PR adalah lebih baik. Jika mereka mengatakan PAS menggadai prinsip, prinsip apa yang PAS dokongi yang mereka fahami? Adakah mereka bersedia bersama PAS, mendokongi prinsip PAS jika PAS keluar PR? Malangnya si pencadang agar PAS mendokong prinsip tadi rupanya juga menolak politik Islam dengan alasan mereka dakwah tulen, anti demokrasi, tiada unsur politik! Rupanya mereka ini juga sekular….

Hakikatnya sebelum PAS bertindak bersama Barisan Alternatif lagi, Islam di Malaysia masih berada di Perkara 4 dan Perkara 10 Perlembagaan Malaysia. Jika PAS bersama PR, Islam tidak akan merombak perlembagaan sehingga menindas keharmonian, hak kaum lain serta prinsip keadilan dalam masyarakat.

Apakah maksud ‘rugi’ yang mereka andaikan, jika PAS bersama PR? Oh, kerana PAS bersama PKR dan DAP yang bukan berprinsip Islam? Jadi PAS seharusnya perlu bersendirian untuk kekalkan Islam. Siapa yang mengajar teori sebegini? Jika bersendirian, bagaimana keadaan PAS? PAS kalah kerana hilang undi bukan Islam (dalam keadaan Kelab Penyokong yang masih bertunas), PAS kehilangan Kedah dan terus tiada pengaruh di Selangor, Perak dan Terengganu. PAS kekal menjadi pembangkang dan tidak akan praktikkan konsep keadilan Islam, ketelusan mentadbir cara Islam kerana PAS telah mengikut saranan pihak juhala’ yang mengaku pejuang Islam tersebut.

Jika mereka mengatakan PAS rugi bersama PR, maksudnya PAS perlu berada seperti keadaan sebelum bertahaluf. Mereka ingin PAS hanya seperti NGO bebas, berseminar, membuat kenyataan akhbar, turun padang jumpa sasaran dakwah, beri nasihat. Apabila berhadapan dengan kezaliman, PAS akan terus diam kerana sudah tiada sokongan massa, PAS tidak mampu menegur ISA yang cukup dahsyat itu lagi, PAS tiada lagi suara untuk memastikan tiada korupsi dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana PAS hanya ada Kelantan. PAS akan jadi ‘gerakan Islam tulen’ sepertimana pandangan kaca mata mereka iaitu PAS berdakwah dan terus berdakwah dan tidak sesekali bersekongkol dengan pihak liberalis, pihak sekular seperti DAP dan PKR kata mereka. Inilah saranan dari pihak jahil yang bertopengkan pengamat kondisi Islam. Jika bekerjasama dengan PKR dan DAP dianggap meliberalkan agama, marilah bekerjasama dengan PAS. Oh, anda juga menolak politik, tidak boleh bersama PAS. Anda kata politik bukan kerja dakwah dalam Islam. Anda juga sekular!

Jika benar kaedah dakwah mereka benar, mengapa diam apabila ada kezaliman ISA? Kenapa diam apabila berlakunya rasuah? Apa efektifnya sentuhan mereka?

Pakatan Rakyat adalah satu perjuangan yang cukup kompleks dan didokongi oleh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia bukan semuanya beragama Islam malah jika Islam sekalipun berapa kerat yang faham Islam. Bersabarnya PAS dengan PR mengundang kebersamaan dalam memperjuang membongkar kezaliman dan korupsi UMNO-MCA-MIC selama ini. PAS keluar PR, BN tetap meneruskan agenda zalim dan korup mereka. PAS masuk PR, BN tetap meneruskan agenda zalim dan korup juga. Akhirnya, apa tuntasnya saranan agar PAS keluar PR atas alasan prinsip PAS tergadai? Sejauh mana si pemberi saranan faham matlamat politik Islam PAS?

Dalam isu kemelut kepimpinan PAS juga, pada pandangan peribadi saya, yang banyak menjadikan pengamat luar caca merba bukannya ahli PAS. Ahli PAS akar umbi yang kerap ditarbiah dengan usrah dan mahabbah, sabar menunggu keputusan pemimpin. Baik mana-mana Tuan Guru sekalipun, ahli PAS akan tetap bekerja seperti biasa menentang BN dan UMNO yang Maha Zalim. Ahli akar umbi tak kira siapa pemimpin yang berada di atas kerana gejala taksub pemimpin bukan amalan PAS. PAS tidak takut kehilangan pemimpin, yang merisaukan jika kehilangan ‘kepimpinan’.

Sikap munafik pada zaman Rasulullah SAW adalah taksub dengan salah seorang pemimpin untuk menimbulkan kegusaran dan ketidakharmonian dalam sosial Islam. Itu sikap asasi para munafiqun. Pernah Abdullah Bin Ubai bangun bertakbir dalam masjid sedangkan Rasulullah berkhutbah hanya kerana ingin menunjukkan ketaksubannya, akhirnya ingin dipenggal kepala oleh Umar RA. Dalam kes bermulanya perang Sifiin dan Jamal juga bermula dengan ketaksuban pemimpin. Apabila terjadinya krisis, munafik mengaturkan orang-orang untuk taksub memilih salah seorang pemimpin untuk dijadikan puak. Itulah asal berlakunya perselisihan besar sesama sahabat Nabi sendiri. Dalam kes Hadis al-Ifk (kes fitnah terhadap Aisyah RA) juga berlaku melalui konsep yang sama. Adu domba dengan menggunakan media, internet dan membuat perhimpunan sendiri untuk menimbulkan semangat atas alasan PAS sedang bangun untuk membuat ‘retreat’ adalah salah satu sikap kaum munafik yang tiada kebertanggungjawaban terhadap masa depan Islam yang PAS perjuangkan.

Ahli PAS akan kekal bekerja kuat demi agama serta menerima sebarang keputusan syura yang dilakukan atas dasar takut kepada Allah. Sahabat dari PR kini ada yang cuba diuji, disogok dan dibeli perjuangan mereka semata-mata ingin melihat keruntuhan perjuangan menghapus kezaliman. PAS yang ditarbiah akan terus cekal dan sesekali akan menghindarkan sikap ghuluw(melampau) dan isti’jal(gopoh) serta taksub pemimpin sepertimana yang diajar oleh para pendokong asobiyyah perkauman.

Muhammad Nuruddin Bashah

Ahli Parti Islam SeMalaysia

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)