Media Malaysia tidak berperanan dalam transformasi negara?
Saya amat teruja untuk membincang persoalan isu peranan media dalam konteks umum memandangkan PM telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ingin melihat media di negara ini memainkan peranan sebagai rakan kongsi kerajaan dan membantu membawa perubahan dan transformasi lebih besar kepada negara.
Persoalannya, di mana bagaimana perjalanan media di negara kita kini? Adakah benar media massa negara ini cenderung hanya kepada perkara sensasi, hiburan dan melupakan aspek pengujaan kejayaan negara? Bagaimana pula dengan isu kebebasan media? Dilema pengamal media yang gusar hak mereka disekat serta paranoid rakyat malaysia yang juga risau sekiranya semua media diberi kebebasan mutlak juga perlu dinilai.
PM berkata bahawa media lebih berminat dengan cerita-cerita sensasi, dan menurutnya cerita sensasi sedemikian "sedikit sebanyak memang boleh", tetapi pada masa yang sama media perlu menitikberatkan kepada berita berbentuk keilmuan supaya masyarakat dapat berfikir secara lebih intelektual dan objektif. (Bernama 20 Mei 2010)
Secara jujur ramai rakyat tertanya-tanya apakah bentuk transformasi atau perubahan besar yang diharapkan kepada negara? Dalam suasana sekarang kerajaan sibuk membahaskan kepentingan negara kita mencapa tahap negara berpendapatan tinggi, negara yang mampu memajukan industri melalui pemacuan pengetahuan (knowledge driven economy and industry) serta mencapai kemampanan ekonomi melalui MEB selepas pelaburan besar kerajaan dalam dwi-suntikan stimulus ekonomi sebelum ini.
Pokoknya, kerajaan amat berminat dalam isu ekonomi, malah menjadi alasan besar untuk lawatan PM ke Amerika Syarikat naru-baru ini walaupun semua mengetahui Amerika bukan lagi sifu ekonomi yang mapan secara ironinya.
Jika dinilai kepada status media di negara ini, kedudukan media pada pandangan dunia adalah antara yang terburuk atas beberapa alasan. Alasan yang pertama ialah pencabulan hak kewartawanan yang kian terhakis. Kedua kebebasan media memberi maklumat sekata tanpa ‘bias’ dan akibat kongkongan ini kita mendapati tabloid kepartian menjadi medan utama dan isu politik balas (counter attack) menjadi resmi tabloid ini kerana terpaksa. Ketiga, media malaysia kini menjadi takungan sampah sarap idea perkauman tinggalan British, malah semangat perkauman chauvinis inilah yang menajdi resepi aristokrat negara ini untuk melegitimasikan ‘hak peribadi’ atas nama hak bangsa dan asalan bumiputera. Keempat, media malaysia menjadi lembah jijik hedonisme yang melampau malah ikon melayu dan artis yang rata-ratanya melayu amat memalukan dengan idea sekular mereka, hiburan tanpa batasan, idea penghinaa terhadap agama sendiri malah menjatuhkan maruah mereka di kalangan kaum lain di Malaysia.
Jika empat alasan ini yang menyebabkan maruah media negara runtuh tidak dibaiki, bagaimana pula diharapkan media negara ini boleh mentransformasikan negara. Transformasi pelrulah dari buruk ke arah kebaikan malah semakin baik. Sosial kita hari ini sarat dengan rasuah, kroni, perkauman melampau malah dihiasi dengan ketaksuban tanpa ilmu. Inilah ‘assingment’ besar media, bukannya hanya membahas isu ekonomi (atas alasan ilmiah dan serius) di celahan lambakan hiburan realiti yang kian merosakkan masyarakat.
Secara akademik, keberadaan media massa dan masyarakat perlu dilihat secara bertimbal balik. Untuk itu yang sering digunakan atas pentas konseptual, setidaknya ada 2 pandangan iaitu apakah media membentuk (moulder) atau mempengaruhi masyarakat, atau sebaliknya sebagai cermin (mirror) yang memaparkan realiti negara atau dipengaruhi oleh realiti masyarakat. Dalam bahasa sederhana, apakah media massa menjadi penyebab rusaknya masyarakat, ataukah media massa hanyalah mencerminkan wajah buruk masyarakat?
Yang berlaku hari ini ialah, media dipaksa menjadi cermin dusta sosial apabila banyak iklan 1Malaysia yang memaparkan keharmonian antara kaum hanya dengan persembahan malti kaum dalam satu nyanyian. Dalam masa yang sama nyanyian perkuaman dinyanyika oleh pemimpin parti komponen perkauman yang memerintah negara. Negara ini juga menjadikan media sebagai moulder (acuan) yang cukup agresif dan kejam apabila rakyat dipaksa menganut iman kerajaan seperti Islam hadhari dan 1Malaysia walaupun jelas membazir dan tidak berasas. Moulder itu juga menutup kesemua kebenaran yang dilakukan oleh pembangkang malah diapi-apikan kenyataan antara pemimpin pembangkang. Moulder yang cukup dahsyat ini jelas memaksa rakyat menelan janji kerajaan dalam pilihanraya Sibu apabila lambakan wang dan sogokan dijanjikan jika BN menang di Sibu.
Dr Abu Hassan Hasbullah melalui Zentrum Study banyak mendedahkan kerosakan keadilan media di malaysia. Lihat sahaja kejadian penggantungan jawatan Ketua Pengarang China Press Teoh Yong Khoon hanya kerana mendedahkan isu perletakan jawatan KPN.
Penerbit TV2, Chou Z Lam pula telah membongkarkan bagaimana rancangan dokumentari, Galeri Mandarin Nasional ditarik dan dibatalkan, kerana dikatakan "tidak baik" untuk PRK Sibu dan pilihan raya negeri Sarawak yang bakal dijalankan pada waktu itu.
Rancangan dokumentari ini diterbitkan oleh Chou Z Lam, merakamkan pengalaman kira-kira 10 ribu orang asli yang dipaksa pindah ke Sungai Asap dan Sungai Koyan untuk memberi laluan kepada pembinaan Empangan Bakun pada akhir tahun 1998.Siri dokumentari ini mempunyai 10 episod keseluruhannya, mula disiarkan pada 26 April, tetapi ditarik secara tiba-tiba dan dibatalkan penyiaran seterusnya pada 28 April.
Rata-rata media massa yang dikawal kerajaan memainkan isu perkauman apabila sampai waktunya walaupun saban hari mempromosikan retorik 1Malaysia. Sebelum ini Utusan pernah menyiar tajuk besar ‘ Bangkitlah Melayu, bersatu hadapi tuntutan kaum lain yang keterlaluan’. sedangkan masih ada banya ayat yang lunak dan beralternatif untuk menyuarakan kebimbangan etnik Melayu tanpa memasukkan unsur ‘motivating’ untuk bersikap chauvinis sempit.
Saya juga ingin mengkritik keras pandangan Dr Rahmat Ghazali ( Ketua Program Pengajian Siswazah UITM) yang ternyata tulisan beliau di dalam majalah Milenia bulan Mei boleh mengelirukan rakyat berkaitan erti beza tabloid politik dengan media cetak awam seperti Utusan Malaysia.
Beliau cuba menyangkal tuduhan rakyat bahawa Utusan menjadi alat UMNO untuk mencetus keresahan antara kaum walaupun mempromosi UMNO secara jelas dan terang-terangan. Kata beliau, menurut kajiannya, hanya 1-9% sahaja bahan di dalam Utusan berasaskan politik sedangkan semua rakyat yang membaca Utusan mampu menilai secara lebih jujur!
Beliau menyalahkan tabloid seeprti Era Pakatan, harakah, Suara Keadilan dan sebagainya sebagai tabloid yang mencetus sikap taksub dan membabi buta dalam menilai isu hanya kerana tabloid itu menyiarkan 100% isu politik. Beliau mungkin keliru antara beza lesen Harakah dengan lesen Utusan Malaysia sebagai bacaan umum. Ya memang Harakah ada dijual terbuka, tetapi mengapa? Satu sahaja sebabnya iaitu rakyat ingin membaca tulisan alternatif dari pihak yang selalu dinyatakan salah dan bersalah iaitulah pembangkang. Membezakan 9% isu politik dalam Utusan dengan 100% isu politik dalam Harakah dan tabloid pembangkang lain adalah satu kajian yag amat lemah dan melulu. Beliau juag gusar da risau kerana tabloid pembangkang telah berjaya memesongkan perhatian rakyat daripada arus politik perdana kepada ketaksuban politik lain (iaitu pembangkang). Ternyata beliau selaku pensyarah universiti tidak seharusnyaa jahil apa itu politik demokrasi. Adakah menjadi salah rakyat memilih pembangkang dan media bacaan mereka sendiri?
Dalam aspek moral dan akhlak baik diteliti pandangan Larking yang menganggap televisyen telah berubah menjadi “berhala zaman moden” di rumah, malahan sudah menjadi ancaman kepada pegangan agama. Penyalahgunaan televisyen dalam erti kata menontonnya berlebihan dan tanpa kawalan itu boleh memberi kesan negatif kepada generasi muda setidak-tidaknya telah membentuk remaja menjadi hamba kepada televisyen, selain membuat mereka menyimpang daripada realiti hidup. (lihat Larking, L. 1997. Television, Popular Culture and Humiliation of Written Word. MuslimEducation Quarterly. 15(1): 38-44.)
Menurut Rick Shriver dari Ohio, media Malaysia memiliki 31% untuk hiburan barat 25% untuk berita tempatan 23.5% untuk hiburan tempatan seeprti rancangan realiti, 18% untuk hiburan import Asia, 2.5% untuk seni dan budaya. Jika berita dikongkong, malah peratusan besar diperuntukkan untuk hiburan tempatan dan barat, bagaimana media Malaysia mampu mencetus transformasi ke arah kebaikan negara?
Media malaysia juga tidak bebas walaupun dikatakanmelalui dasar penswastaan yang seharusnya bebas dan berbeza denga RTM. :ihat sahaja TV3yang dibangunkan pada 1983, diberikan lesen kepada Sistem Televisyen (M) Berhad di mana 40% saham STM dipegang oleh Fleet Group. Fleet Group pula ialah syarikat milik UMNO.
Pada 1994 lesen dikeluarkan untuk Metrovision atas milik Melewar Corp dan Utusan Melayu (M) Berhad. Melewar Corp. dikawal oleh Tunku Abdullah yang rapat dengan bekas PM Tun Mahathir dahulu.
ASTRO yang diberi lesen pada 1995 dimiliki oleh MEASAT milik Ananda Krishnan. Krishnan memang kenalan baik dengan Tun Mahathir.
Rakyat malaysia perlu sedar tahap media di negara kita baik dari isu kewartawanan, kebebsan mengulas isu serta tahap moral dan etika media serta peranannya membaiki sosial kita hari ini. Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia yang telah berlangsung pada 3 Mei 2010, Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) telah mengadakan "Kempen Ribon Kuning demi Kebebasan Media" untuk meningkatkan kesedaran para wartawan dan orang ramai mengenai kebebasan media. "Ribon Kuning" merupakan simbol kebebasan media yang sentiasa menjadi topik hangat di Malaysia, terutamanya wujudnya Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang mencengkam organisasi media dan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang mengugat para wartawan. Akan tetapi Akta Kebebasan Maklumat yang dinanti-nantikan oleh orang ramai masih tidak kelihatan.
Media boleh mentransformasikan negara. Tetapi tangan yang merosak media perlu dinyahkan daripada terus menindas media.
Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional negeri Perak (LPN)
No comments:
Post a Comment