Wednesday, July 23, 2014

UMAT ISLAM PERLU POSITIF DENGAN TEGURAN MUHASABAH

UMAT ISLAM PERLU POSITIF DENGAN TEGURAN MUHASABAH
Muhammad Nuruddin Bashah
Aktivis Gerakan Sokong Syariah (GESA)

Penulis mengikuti isu teguran sajian arak dan isu aurat bukan bermula hari ini malah sejak tahun 1990an lagi apabila teguran demi teguran isu arak dalam pesawat MAS diabaikan dengan alasan komersial. Isu ini bukan sahaja ditegur oleh Dr Asri, malah Dr Ridwan Tee, NGO-NGO Islam serta para ulama' berdekad lamanya.

Malah penulis cukup berbangga dengan kewujudan susuk hebat seperti Allayarham Ketua Pramugara MAS Haji Ghaffar Abu Bakar yang telah melakukan pelbagai tindakan untuk mengislamisasikan suasana kerja dan perniagaan dalam MAS.

Antara usaha murni beliau adalah:
  1. Ghafar pernah menulis kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para mufti agar mengeluarkan arak dari sajian dalam pesawat MAS.
  2. pernah meminta pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein agar membenarkan para pramugari beragama Islam untuk memakai tudung semasa bertugas.


Saya agak terkejut dengan reaksi ADUN PKR Seri Setia Nik Nazmi Ahmad yang menyatakan rasa kesal beliau dengan kenyataan Pemuda PAS Kedah baru baru ini yang cuba membawa isu muhasabah ke arah bersyariat dalam MAS sejurus selepas nahas MH 17.

Malah usaha pemuda PAS mengajak pihak kerajaan Malaysia dan pihak MAS menilai semula teguran ramai pihak berkenaan penyediaan arak dalam pesawat serta isu aurat pramugarinya dianggap seperti bercakap di masa yang salah serta di tempat yang salah sedangkan rakyat kita yang bermain dengan media sosial tidak seterkilan beliau kerana isu ini juga dibahas meriah di dalam media sosial.

Ia bukan suatu kenyataan bernilai pukulan yang meresahkan keluarga mangsa kerana tiada unsur penghinaan atau isu mengabaikan perasaan keluarga mangsa dalam kenyataan Pemuda PAS Kedah yang disiar penuh dalam Malaysiakini dan Malaysia Insider. Kenyataan itu dimulakan dengan simpati terhadap keluarga mangsa dan haraapan agar usaha menyelamat berjalan dengan lancar. Cumanya diselitkan muhasabah kepada pihak MAS dan kerajaan agar melihat aspek agama dalam perlaksanaan industri berkenaan memandangkan MAS berada di dalam sebuah negara beragama rasmi Islam berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan muhasabah sebegitu sama sahaja dengan amalan umat Islam berkata , ‘bersabarlah dan takziah, ia adalah ujian atau kifarah kepada kesilapan lampau kita’. Umat Islam diajar selain mengucapkan takziah, kita juga diajar mengingatkan muhasabah kepada sesiapa yang ditimpa malapetaka dan musibah kerana itulah antara cara Allah menaikkan taraf umat islam atau menghapuskan dosa lampau. Itulah maksud muhasabah.

Cuma pada pandangan penulis, Nik Nazmi yang juga calon Ketua AMK itu hanya membaca ulasan ringkas Malaysiakini tanpa membaca tulisan penuh pemuda PAS dalam bahagian rencana. Sebelum beliau menilai sesuatu kenyataan itu sebagai kenyataan tak kena tempat, perhatikan nilai ungkapan dalam kenyataan tersebut, kepada siapa ditujukan, kesannya benarkah ia mengguris hati keluarga mangsa atau hanya memanaskan hati pihak yang pesemis dengan perlaksanaan syariah dalam perkhidmatan MAS.



Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)