SUNGAI PETANI - 15 Feb 2015
Perlancaran Tabung Pembangunan Pasca Banjir Kelantan anjuran PAS
Negeri Kedah telah berjaya dianjurkan di Taman Sejati Sungai Petani
malam ini dengan dirasmikan oleh YB Dato’ Amirudin Hamzah selaku
Timbalan Pesuruhjaya 1.
Program yang bermula pada 9 malam ini bertujuan mensasarkan pembinaan
rumah sebanyak 20 buah rumah di Kelantan dengan kos sekitar RM 40
ribu sebuah.
Jumlah dana setakat yang diperolehi sehingga kini adalah melebihi RM
150 000 semasa ia diumumkan oleh Saudara Muhammad Sanusi Md Nor dan PAS
Kedah ingin terus berusaha mengumpul sehingga RM 600 000 demi
merealisasikan impian rakyat Kelantan yang menginginkan hak asasi
paling penting iaitu tempat tinggal yang telah musnah.
YB. Ustaz Abd latif Abd Rahman, Timbalan Speaker DUN Kelantan dalam
ucapan penerangannya memaklumkan sekitar 25 buah rumah telah hilang
atau musnah terus, 1 surau dan sebuah masjid telah hilang kesemua
dindingnya.
“Air naik dengan amat mendadak dan ia melebihi jangkauan semua
rakyat Kelantan yang berpengalaman menghadapi banjir, kali ini ia
terlalu dahsyat dan operasi menyelamat cukup getir” kata YB Ustaz
Latif sambil menyatakan terima kasih beliau kepada beberapa kumpulan NGO yang
banyak membina rumah pasang siap di Kelantan.
YB Dato’Amirudin semasa ucapan perasmian menyatakan bahawa PAS
kedah akan membina rumah di Kelantan tanpa mengira fahaman politik,
bangsa dan agama. Ia adalah suatu amal yang merealisasikan matlamat
sebenar PAS berjuang untuk kesemua bangsa dan agama teruatama dalam
hal ‘khairat’ atau kebajikan.
Tuan Haji Muhammad Sobri Bin Haji Osman selaku bendahari Tabung Pasca
Banjir pula sempat merakamkan penghargaan atas usaha gigih pada
petugas PAS di kawasan-kawasan. Bukan mudah sebuah jentera parti yang
tidak mengharapkan dana kerajaan untuk mengumpul sejumlah besar wang
untuk saudara di negeri lain. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada
PAS Kawasan Merbok yang berjaya menyumbang sebanyak RM 28 000 dan
menjadi penyumbang terbanyak dalam majlis malam ini serta mengumumkan akuan Maybank 552170001133 iaitu akaun Majlis
Tindakan Bencana Alam BPPNK sebagai saluran dana.
Majlis ini diserikan dengan Perlancaran kempen Tambah Ahli Unit Amal
Kedah dengan dirasmikan oleh Ustaz Nasir Zakaria selaku Ketua Pemuda
PAS Kedah. Unit Amal Sungai Petani kini telah berjaya mengumpul
keahlian baru mencecah 100 orang ahli.
Majlis ini disiarkan secara langsung melalui radio internet ubah.fm
yang dikendaikan oleh DJ Fiq yang terkenal serata negeri Kedah.