Monday, January 19, 2009

Implikasi bermain-main dalam isu Gaza

Implikasi bermain-main dalam isu Gaza

Benarkah rakyat Malaysia masih tidak mengambil iktibar dalam isu Gaza di Palestin? Jika kita menyelar negara Asia barat sebagai pro Amerika apa kurangnya kita? Mereka pernah membantu Palestin sekitar tahun 1960an hingga 1970an atas semangat sekular, kebangsaan dan sekadar ingin mempertahankan tanah sahaja.

Saya melihat cara pendekatan kepimpinan negara dan universiti dalam memperjuang isu ini sebagai suatu influensi dan menatijahkan suatu impak yang negatif. Jika kita ingin menyemai jiwa cintakan baitul Maqdis di kalangan pelajar dan mahasiswa janganlah ianya sekadar berprogram dan melepas batuk di tangga. Semangat sekular dan pro kepada ideologi sekular kini telah menghasilkan mahasiswa yang pro sekular dalam kerja buat mereka. Mahasiswa adalah perlambangan sesuatu tamadun dan identiti negara. Mahasiswa yang keliru dengan isu palestin adalah menujukkan kekeliruan kefahaman masyarakat kita juga malah mereka yang akan mencorak dunia pada masa akan datang. Di sini saya nyatakan kekeliruan dalam isu ini yang turut sama mengheret mahasiswa kepada konsep dalam berinteraksi dengan isu jihad di Palestin.

Pertamanya, adakah benar kerajaan Malaysia benar-benar menyesali tindakan buruk Yahudi Zionis? Mufti Johor, Dato’ Noh Gadot, telah mengeluarkan fatwa bahawa haram menggunakan barangan USA dan Israel. Seruan ini adalah seruan yang amat bernilai. Bagaimana pula dengan FTA? Adakah ia akan diharamkan? FTA adalah pintu kepada lambakan produk-produk Amerika dan Yahudi sekaligus melambakkan juga budaya universal yang bakal mencarikkan lagi budaya tempatan. Tegasnya, sehingga sekarang FTA belum diperangi malah masih dalam tempoh pertimbangan.

Kedua, adakah dengan langkah membenarkan semua mahasiswa berdemostrasi membantah Zionis tatkala hampir saat pilihanraya kampus benar-benar menampilkan keikhlasan pengurusan kampus? Mungkin ia suatu agenda politik yang memanipulasikan sentimen perasaan mahasiswa massa di kampus-kampus.

Lihat dalam kes terbaru, dinding Akademi Pengajian Islam diconteng dan dituduh sebagai pro Israel. Jika Akademi Pengajian Islam itu Israel, jika Persatuan Mahasiswa Islam itu Israel, bermakna semua mahasiswa di Universiti Malaya adalah Yahudi, kerana benteng simbol agama di kampus itu juga dianggap Israel. Jelas ini adalah suatu distorsi isu ke arah membawa kepada suatu sentimen membentuk kelompok pro Islam dan Pro Mahasiswa di kampus perdana itu.

Untuk melengkapkan lagi kempen pilihanraya yang kotor ini, rumah-rumah mahasiswa Muslimah yang menjadi pendokong PMIUM digeledah hanya kerana ada siswi yang membuat laporan salah laku rasuah di kalangan pentadbir. Isu kepala babi yang ditemui dalam Surau Akademi Pengajian Islam UM juga digembar gemburkan sekaligus menjadikan mahasiswa pro mahasiswa dan pendokong Islam sebagai kambing hitam. Adakah mahasiswa lain tiada potensi meletak babi di surau berkenaan? Bagaimana dengan pengawal keselamatan? Bagaimana dengan regim pengetua-pengetua kolej kediaman serta angkatan pro aspirasi yang memiliki wang yang banyak untuk membeli babi?

Malaysia ingin menentang pengganas, tetapi turut melabel rakyat yang mendalami ilmu agama sebagai pengganas. Malaysia ingin menyelar Yahudi dalam kerja ganas mereka, tetapi telah lama bersama-sama menjayakan kempen memerangi pengganas mengikut cara Amerika. Lihat sahaja penahanan yang dilakukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ia adalah bukti yang paling nyata.

Malaysia simpati dengan keganasan di Iraq dan Palestin tetapi hanya mengadakan konsert Aman Malaysia sebagai penyambut kematian rakyat di negara luar. Kini isu Palestin dijadikan pula mainan di kampus-kampus. Isu ini dijauhkan dengan semangat jihad dan ukhuwah Islamiyyah(ukhuwah seaqidah) mahupun ukhuwah alamiyyah (persaudaraan sedunia). Malah kini istilah label-melabel Zionis antara mahasiswa pula berlaku dan menjadi tanda kepada kepincangan mentaliti dan kegeringan intelektualan yang amat buruk di kampus-kampus Malaysia.

Muhammad Nuruddin Bashah
http://munawwarah.blogdrive.com/
http://landskapsiasah.blogspot.com/

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)