Konspirasi Barat
di Somalia
Muhammad Nuruddin Bashah
Ramai yang tidak mengenali latar belakang negara Somalia yang beribu negarakan
Mogadishu[1].
Pasti perkara yang tergambar di fikiran hanyalah rakyatnya yang kebuluran,
hitam, kurus serta merempat akibat perpecahan dalaman dan politik. Disebabkan
kurangnya wacana khusus berkisar isu Somalia, ramai pengamat polisi dunia terlepas
pandang bahawa negara yang bertutur dalam bahasa Somalia dan Arab ini sebenarnya menjadi
mangsa konspirasi Barat yang berpanjangan[2].
Jarang
kita mendengar kisah perjuangan rakyat di Somalia. Baru-baru ini pada 4 Ogos
2012 di ibukota negara tersebut, 9 orang yang diduga mujahid Al Shabaab telah terbunuh
dan puluhan orang lain mengalami luka-luka dalam serangan tentera AS di Somalia selatan.
Siapakah
Al Shabaab dan mengapa kerajaan ini kelihatan tidak bertuan?
Kerajaan Somalia kini adalah
kerajaan Persekutuan Peralihan yang diterajui oleh Presiden Hassan Sheikh
Mahmoud iaitu pemerintah Federal Republic of Somalia.
Islam hadir ke Somalia.
Dalam sirah kita mempelajari bagaimana
rombongan sahabat Rasulullah pernah berhijrah dan berdakwah ke Habsyah (Etopia)
iaitu negara jiran Somalia yang kini berkrisis sesama mereka.
Kelahiran Islam berlaku pada
teluk bertentangan dengan sebelah Laut Merah Somalia dan kehadiran Islam
dijangka wujud melalui hubungan dagang Arab Muslim mereka. Dengan perpindahan
dan pelarian keluarga-keluarga Muslim dari dunia Islam ke Somalia pada awal
abad-abad Islam dan penukaran agama bagi populasi Somali oleh sarjana Muslim
pada abad-abad berikutnya, bandar-negara purba akhirnya menjadi Mogadishu,
Berbera, Zeila, Barawa dan Merka yang Islam, serta menjadi sebahagian daripada
tamadun Barbar (istilah Barat terhadap kaum Islam Iberia dan Afrika Utara).
Bandaraya Mogadishu telah menjadi semakin dikenali sebagai Bandaraya Islam.
Orang-orang Muslim yang
ditindas telah melarikan diri ke bandar pelabuhan Axumite yang sekarang
ini dikenali sebagai Zeila untuk meminta perlindungan daripada orang Quraish di
mahkamah Maharaja Axumite (Habsyah) di Ethiopia pada masa kini[3].
Sahabat Nabi telah diberi perlindungan Najasyi dikatakan telah tinggal di beberapa tempat di
beberapa bahagian Tanduk Afrika untuk berdakwah mengenai agama tersebut.
Kemenangan orang Muslim
terhadap Quraish pada abad ke-7 telah memberikan satu impak yang besar terhadap
pedagang-pedagang dan pelaut-pelaut Somalia, sebagai rakan niaga Arab kemudian
kesemuanya memeluk agama Islam, dan laluan perdagangan yang besar di
Mediterranean dan Laut Merah di bawah kekuasaan khalifah-khalifah muslim.
Menerusi perdagangan, Islam disebarkan ke seluruh populasi Somalia di
bandar-bandar pesisir pantai Somalia. Ketidakstabilan di semenanjung Arab telah
menyaksikan beberapa perpindahan keluarga-keluarga Arab ke bandar-bandar
pesisir pantai Somalia, yang mana menyumbangkan beberapa unsur penting kepada
perkembangan Islam di Semenanjung Somalia.
Dalam tahun 800 M, Al-Yaqubi
menulis bahawa umat Islam yang tinggal di sepanjang pesisir utara Somalia menunjukkan bahawa Kesultanan Adal dengan
Zeila sebagai ibu pejabatnya wujud.
Semasa era Ajuuraans,
kesultanan Merca, Mogadishu, Barawa,
Hobyo dan dengan pelabuhan masing-masing berkembang dan mempunyai dagang asing
yang menguntungkan, dengan kapal-kapal yang belayar dari Saudi, India, Venetia,
Parsi, Mesir, Portugal dan China. Vasco da Gama, pada abad ke-15, berkata
bahawa ia adalah sebuah bandar besar dengan rumah tingkat beberapa tinggi .
Menurut sejarah moden, Somalia
adalah negara Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Khilafah Turki
Uthmaniyah sebelum dijajah oleh Itali dan Inggeris. Panggilan rasmi mengikut
Bahasa Arab ialah Jumhuriyyat As-Sumal.
Bahagian utara Somalia,
dikenali juga sebagai British Somaliland kerana pernah dijajah oleh Inggeris
mulai tahun 1886, manakala bahagian selatan, yang dipanggil Italian Somaliland
kerana pernah dijajah oleh Itali pada tahun 1889.
Berlakunya peningkatan
serangan lanun Somalia di luar lautan luasnya banyak berkait dengan keadaan
politik yang sangat huru-hara yang juga membawa kepada kemunduran di negara
Somalia sendiri. Namun media jarang mendedahkan
siapa dalang di sebalik kegiatan lanun tersebut. Rakyat Somalia yang mendiami
di tepi pantai utara dan timur laut dituduh menjadikan kegiatan melanun sebagai
mata pencarian bermusim.
Sejarah bangsa Somalia
Somalia telah diduduki oleh
manusia semenjak zaman Paleolitik. Lukisan gua bertarikh sejauh 9000 BC telah
dijumpai di Somalia Utara. Paling masyhur adalah kompleks Laas Geel , yang
mengandungi beberapa seni batuan yang paling awal di benua Afrika.
Negara yang digelar Tanduk Afrika
dari segi bentuk petanya
Somalia merupakan satu pusat perdagangan
yang sangat penting dengan dunia purba yang lain. Pelaut dan pedagangnya
merupakan pembekal penting bagi
menyalurkan kemenyan, morhabshi dan rempah ratus, bagi masyarakat Mesir Purba, Phoenicia, Yunani Mycenaean dan
Babylon. Merujuk kepada kebanyakan sarjana, Somalia juga merupakan tempat
terletaknya Kerajaan Punt[4].
Abad ke-7 menyaksikan suku Arab mendiami kawasan Coast of Aden dan
mendirikan Kesultanan Adal yang kemudiannya berpecah kepada beberapa kerajaan
kecil lain. Pada sekitar 1875, Mesir menawan bandar-bandar di sepanjang pantai
Somalia dan diganti dengan pemerintahan British pada 1987. Pada 1889 pula penjajah beralih tangan kepada
Itali. Lebih dahsyat pada 1936, Itali menggabungkan pula wilayah Somaliland dengan Eretria dan Habsyah
untuk membentuk Itali Afrika Timur.
Sepanjang Perang Dunia II,
kuasa British beralih antara Itali dan Britain. Pada 26 Jun 1960, British
Somaliland mendapat kemerdekaan. Pada 1 Julai 1960 pula Itali Somaliland
mendapat kemerdekaan dan bergabung dengan British Somaliland untuk membentuk
Republik Somalia. Presiden Aden Abdullah Osman Daar dilantik
sebagai Presiden yang pertama. Begitulah sebahagian awal percaturan Barat
terhadap politik kerajaan Islam di Afrika.
Kerajaan Somalia dipimpin oleh
Presiden Abdirashid Ali Shermarke yang memerintah sehingga berlaku
rampasan kuasa pada tahun 1969 yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Siad Barre.
Seperti kebiasaan kerajaan
Islam yang diboneka oleh Barat, pada 21 Oktober 1969, Mejar Jeneral Muhammad
Siad Barre mula merampas kuasa. Tentera menggantung perlembagaan dan
mengharamkan 86 parti politik. Siad Barre pula menukar menjadi negara sosialis
pada 1970. Ini perkara biasa dalam sejarah negara umat Islam membangun yang
diperintah oleh diktator Tentera.
Konflik dalaman bermula
Said Barre adalah diktator
walaupun berusaha keras menghalau kuasa Barat dari negara itu termasuk kuasa
Komunis seperti Rusia dan Cuba. Pada 8 April 1978 terjadi satu percubaan
menggulingkan presiden Said Barre tetapi gagal dan menyebabkan presiden itu
menguatkan lagi cengkaman ke atas pentadbiran negara dan mengagihkan kuasa di
kalangan saudara-maranya.
Pada Mei 1988, Pergerakan
Kebangsaan Somali (SNM) menentang Said Barre dan bermulanya penyuburan
penentangan secara bersenjata di Somalia.
Pada 27 Januari 1991, Siad
Barre meninggalkan Mogadishu dan kumpulan Hawiye, Kongres Kesatuan Somali
(USC) menawan bandar tersebut. Pada 28 Januari 1991, USC melantik Ali
Mahdi Muhammad sebagai presiden baru, bagaimanapun sayap tentera USC yang
diketuai oleh Jeneral Muhamad Farah Aidid menentang perlantikan berkenaan.
Pertempuran meletus di wilayah
timur laut di antara Al-Ittihad Islamic dan kumpulan militia yang setia
kepada Somali Salvation Democratic Front (SSDF) yang diketuai oleh Kolonel
Abdullahi Yusuf Ahmad.
Konflik terus berlaku dan
terjadi pertembungan antara gerakan jihad dengan kumpulan militan pro Abdullahi
Yusuf Ahmad Pemerintah Persekutuan
Sementara (PSF). Pada Ogos 2004, Parlimen sementara dirasmikan di
Kenya dan melantik Abdullah Yusuf
sebagai presiden. Keputusan ini direstui Barat. Namun pada Julai 2006 Kesatuan
Mahkamah Islam (UIC) mengambil alih pentadbiran Somalia.
Malang kita menyaksikan pada Disember
2006, tentera kerajaan Somalia Pemerintah Persekutuan Sementara (PSF) yang direstui Barat
sanggup bersekutu dengan tentera Kristian Habsyah menawan Mogadishu yang mulai
ditadbir oleh ulama’ pilihan rakyat.
Islam punca Somalia diperkotak
katik
Hakikat dari bencana kelaparan
dan konflik berpanjangan di negara Somalia adalah berlaku disebabkan oleh Amerika dan Zionis yang tidak merestui penerapan syariat Islam di
negara Somalia.
Menurut analisis William
Engdahl dari Global Research, memiliterisasi selat Mandab dan perompak Somalia
adalah merupakan usaha AS untuk menekan negara-negara OPEC agar tetap melakukan
transaksi dalam dollar Amerika. Semua
negara Arab Saudi, Mesir, Somalia,
Jibouti, Eritrea, Sudan, dan Yaman saling mengadap Selat Mandab (Bab el Mandab)
yang strategik dimana kapal dari Teluk Parsi melalui Selat Mandab, sebelum
memasuki Terusan Suez, dan menuju
Mediteranean.
Engdahl kemudian menyoroti
kes-kes lanun laut Somalia yang membuat kacau di Selat Mandab selama dua tahun
terakhir.
Persoalannya;
- Bagaimana
mungkin lanun Somalia, sebuah negara yang berada di nombor teratas dalam
senarai ‘negara gagal’ (failed state) mampu memiliki senjata dan logistik
yang canggih?
- Bagaimana
mereka mampu merompak 80 kapal dari pelbagai negara?
- Lanun Somalia pula
didakwa menggunakan gaya penjahat di negara maju seperti tindakan mereka menelefon
terus ke Akhbar Times di Britain,
memberitahu mereka sudah berjaya merompak!
Sebenarnya wujudnya watak perompak Somalia di Selat
Mandab memberi alasan kepada AS untuk meletak kapal perangnya di sana. Lebih
malang pemerintah Mesir (sebelum Revolusi), Sudan, Jibouti, Eritrea, Somalia,
Arab Saudi, sudah terpedaya oleh AS sehingga merestui agenda militerisasi AS di Selat Mandab.
Sejak jatuhnya pemerintahan
militer di bawah diktator Mohammed Siad Barre, negara Somalia tidak
pernah aman. Sejak tahun 1991, Somalia
merupakan negara yang sering sekali terjadi perang saudara. Perang yang bermula
daripada meluapnya kemarahan rakyat
kepada pemerintahan Mohammed Siad Barre berlanjutan hingga 15 tahun lamanya.
Perang saudara tersebut mengakibatkan terpecahnya Somalia, iaitu yang pertama
bernama Somaliland dan yang kedua bernama Puntland yang saling mendakwa sebagai negara yang sah dan
berdaulat.
Pemerintahan Somalia yang
diakui dunia adalah Pemerintah Persekutuan
Sementara (PSF), diketuai oleh Abdul Kassim Salat Hassan yang
kemudian, diganti dengan Abdullahi Yusuf pada 2004. Walaupun pemerintahan Abdullah Yusuf diakui oleh
masyarakat antarabangsa tetapi banyak polisi
dan keputusan strategik negara dipengaruhi oleh pihak Barat[5].
Ulama’ bertindak
Kacau bilau yang terjadi
akhirnya mendorong para ulama dan tokoh agama membentuk Kesatuan Mahkamah
Islam (UIC) tahun 2003. Kelompok ini
telah menjadi saingan pula kepada Pemerintah Persekutuan Sementara (PSF) pimpinan Presiden Abdullahi
Yusuf Ahmad yang kurang disukai rakyat[6].
UIC melalui pimpinan Sharif
Syekh Ahmed berusaha memulihkan krisis berkepanjangan di Somalia dengan menerapkan syariat Islam. UIC
percaya, hanya Islam yang mampu untuk menyatukan
Somalia. UIC, berpengkalan di utara
ibukota Mogadishu.
Kehebatan perlaksanaan syariah
terserlah apabila warga di Mogadishu, Jowhar, dan Balad mengatakan, sistem
pengangkutan kini lebih lancar, perniagaan mulai meningkat , dan senjata-senjata sudah
tidak terlihat lagi di jalan-jalan. Demikianlah pandangan Ali Mayo, seorang warga Mogadishu dalam laman
sesawang Islamonline.
UIC menguasai seluruh bahagian
ibukota pada Jun 2006 dengan mengusir para pemimpin berhaluan sekular
pro-Amerika.
Selain itu UIC juga memberikan
bantuan sosial, kesihatan, dan pendidikan kepada rakyat. Hal ini amat
mencemaskan Yahudi dan proksinya!
Kelompok ahli perniagaan lebih
gemar dengan pengaruh UIC yang memperkenalkan undang-undang syariah kerana
Mogadishu memerlukan peraturan untuk memastikan perniagaan mereka berkembang
Lantas secara pre-emptif, pada
Disember 2006, pasukan Pemerintah Persekutuan Sementara PSF dengan
didukung tentera Ethiopia (Habsyah) dan negara Barat, menyerang
pengkalan UIC[7].
Serangan ini membuat UIC tersepit sebelum kehilangan seluruh wilayah. Akibatnya
para ulama’ terpaksa memilih jalan militan.
Seperti biasa PBB mengirim pasukan perdamaian
untuk campurtangan. Namun, para pejuang Islam berikrar untuk terus melawan
pemerintah dukungan Barat, untuk mengembalikan penerapan syariat Islam di
seluruh wilayah Somalia.
Haroun Hassan, jurnalis Somalia
yang bertugas di London, memberitahu bahawa
masyarakat Somalia cenderung memilih syariat Islam kerana merasa kecewa dengan
sistem sekular.
Presiden Somalia yang dipilih
rakyat pada 2009 Syarif Sheikh Ahmad menyetujui gencatan senjata untuk mengakhiri
konflik panjang yang melanda negara itu malah Ketua Himpunan Ulama Muslim
Antarabangsa, Dr Yusuf Al Qaradhawi, melalui utusannya menyampaikan seruan terhadap
pejuang Somalia untuk melakukan pembicaraan damai.
Sebagaimana diketahui, setelah
Syarif diangkat menjadi pemimpin Somalia pada Januari 2009 lalu, gerakan pejuang rakyat Somalia terbahagi menjadi dua,
antara pendukung dan penentang[8].
Pertama : Kelompok Mahakim
Al Islami, yang dipimpin oleh Syeikh Abdul Qadir Ali Umar. Harakah Al Ishlah
(Ikhwan Al Muslimun), Harakah Tajammu’ Al Islami dan Jama’ah Ahlu Sunnah wa al
Jama’ah menyokong pemerintahan Syarif.
Kedua : Harakah As Shaabab
Al Mujahidin serta Al Mahakim Al Islami wilayah Asmarah, Al Jabhah Al Islamiyah
serta Mu’askar Anuli, yang bergabung dalam Hizb Al Islami.
Syeikh Syarif bagaimanapun
menolak pemikiran as-Shaabab (gerakan
militan yang masih kekal) yang menurutnya
masih jauh dari konsep Islam ideal walaupun asalnya as Shaabab adalah
sayap utama UIC semasa serangan Ethiopia 2006 [9].
Menurut harian Daily Mail,
Selasa, 26 Julai 2011, kelompok militan Al-Shabaab mengumumkan larangan memasak
samosa dengan menganggap makanan ala
barat adalah haram[10].
Begitu juga tindakan Al
Shabaab menghancurkan kuburan Sheikh Mohidin Eli dan kuburan Sheikh Ahmed Haji
atas hujah kuwatir terjadi pemujaan
terhadap kuburan atau ahli kubur.
Dengan pemahaman seperti
itu, jelaslah kelompok militan Al
Shabaab yang tergabung dalam Hizb al Islami mengikuti pemahaman Ibnu Taimiyah
(Salafi) namun jalur pemahaman yang membolehkan rakyat mengkritik atau
menentang secara bersenjata pemerintahan yang sah atau yang dikenal dengan
Salafi Jihadi. Aliran ini berbeza dengan aliran salafi biasa.
Bagi As Shaabab pula,
pemerintah Kerajaan Persekutuan Transisional (TFG) baik dari kalangan
SSDF atau pun UIC dianggap sebagai boneka Barat.
Konspirasi Amerika dan sekutu
Kemarau, bukanlah satu-satunya punca krisis kebuluran
di Somalia.
Somalia tidak mempunyai
kerajaan yang berfungsi. Sepanjang tempoh 20 tahun lalu sejak Presiden Said
Barre digulingkan, negara itu terus bergolak walaupun baru sahaja terlepas
daripada pemerintah zalim.
Semasa pertengahan 70-an,
kemarau berpanjangan berlaku di Somalia tetapi ia tidak menyebabkan kebuluran
di seluruh negara kerana masih ada kerajaan (sosialis) yang bertanggungjawab.
Kebuluran di Somalia juga
berpunca daripada campur tangan kerap kuasa asing dalam hal ehwal dalaman
negara. Bertopengkan program kemanusiaan
PBB, Amerika Syarikat (AS) cuba menentukan arah tuju politik Somalia pada 1992
dan 1993 dengan memperlagakan blok-blok militan di negara Tanduk Afrika ini.
Selain itu potensi minyak di
Somalia juga menjadi satu daripada punca
campurtangan AS dan Zionis selain kedudukan strategik Somalia yang digelar
Tanduk Afrika itu. Namun campur tangan AS itu gagal malah menyebabkan kekacauan
lebih buruk di Somalia.
Peristiwa pengeboman berkembar
kedutaan AS di Kenya dan Tanzania yang didakwa dilakukan oleh Al-Qaeda pada
1998, dan diikuti serangan 9/11 pada 2001, menjadi alasan AS masuk campur dalam urusan Somalia.
Washington memberikan sokongan
kepada Kerajaan Persekutuan Sementara (TFG) Abdullahi Yusuf
Ahmad, bagi menghalang kebangkitan Kesatuan
Pengadilan Islam (UIC) yang semakin popular.
Perang saudara yang sedang
berlangsung inilah menjadi halangan besar kepada penghantaran bekalan makanan
kepada rakyat kebuluran.
Selain itu, penghantaran
makanan juga diganggu dengan sekatan dikenakan AS-PBB sebelum ini ke atas
kawasan yng dikawal salah satu serpihan cabang kumpulan UIC, iaitu Al-Shabaab.
Kumpulan Al-Shabaab didakwa
menghalang agensi bantuan makanan antarabangsa daripada mencapai kubu kuat
mereka kerana khuatir akan kehilangan kawalan di kawasan itu.
Somalia dirangka untuk
berperang dengan Etopia
Sejak campur tangan Ethiopia
di Somalia oada 2006/2007, anak muda semakin bersemangat menyertai militan As
Shaabab.
Lihat pandangan Barat terhadap
gerakan jihad di Somalia[11].
•
Murah sumber manusia yang mudah menggembleng dan merekrut pengganas.
- Dikuasai oleh ideologi, Salafi-Wahabbism,
yang menekankan pelaksanaan yang
sangat ketat undang-undang syariah.
- Akses yang sangat mudah untuk senjata kecil -
bentuk mata wang
•
As Shabaabs di Somalia Selatan, dikatakan mengadakan kuiz atau
pertandingan di mana AK 47, bom tangan
dan tangki periuk api dijadikan hadiah
untuk pemenang jika mereka betul boleh menjawab soalan-soalan yang berkaitan
dengan Al-Quran.
Sebelum itu, pada Julai 1977 Somalia pernah mengisytiharkan
perang terhadap Habsyah dan menyerang Ogaden. Manakala pada 3 November 1977,
Somalia mengusir 6,000 orang rakyat Rusia, Cuba dan sekutu Kesatuan Soviet yang
lain. Tetapi ia hanya sementara kerana setahun kemudian Somalia mengundurkan
tentera dari Ogaden selepas Kesatuan Soviet dan Cuba campur tangan menyokong Habsyah.
Ethiopia kerap mengganggu
urusan politik Somalia kerana pertembungan Kristian-Islam berabad lamanya.
Malah dengan sokongan AS jugalah Ethiopia melampau memerangi Somalia pada 2006
kerana ingin menjatuhkan UIC yang sedang berkuasa ketika itu.
Kebuluran dan taraf hidup yang
masih meleset
UNHCR mengatakan bahawa disebabkan
konflik berterusan di Somalia, kini
terjadi peningkatan jumlah pelarian. Pada 2012 sahaja, kira-kira 13,000 orang telah
meninggalkan rumah mereka kerana kekurangan makanan.
Dalam laporan terbaru, Unit Analisa keselamatan Makanan dan Pemakanan
(FSNAU) memberi amaran bahawa keadaan makanan di seluruh Somalia berkemungkinan
tidak berubah sejak Januari 2012.
Besar cabaran kepada pejuang Islam yang ingin membimbing
negara ini ke arah kemajuan berteras Islam. Hingga kini Somalia dianggap antara
negara gagal.
Negara tersebut mengalami
tahap buta huruf yang amat tinggi (62%). Seramai 1.3 juta orang Somalia tidak
mempunyai tempat tinggal yang tetap dan jangka hayat penduduknya hanya 50
tahun.
Selain
Somalia, negara-negara lain bertaraf ‘Islamic state’ ialah Pakistan, Iran,
Afghanistan, Yemen, Mauritania dan Arab Saudi.
10
negara ‘top’ Failed State di dunia ialah[12]:
1. Somalia
2. Chad
3. Sudan
4. Congo
5. Haiti
6. Zimbabwe
7. Afghanistan
8. Central
African Republic
9. Iraq
10. Ivory
Coast
Daripada 10 negara ‘failed state’ dunia
yang tersenarai, lima daripada mereka
ialah negara umat Islam iaitu Somalia,
Afghanistan, Iraq, Chad dan Sudan.
Negara
Somalia mengalami kemarau panjang terburuk sejak 1960 dan sejumlah 3.2 juta
orang atau hampir sepertiga rakyat Somalia kini memerlukan bantuan hayat.
Palang
Merah Antarabangsa (ICRC) memohon bantuan tambahan AS$83 juta untuk menampung
operasi kecemasan, terutama di wilayah tengah dan selatan Somalia. PBB juga
melaporkan 30,000 kanak-kanak mati akibat kurang makanan dan 600,000
kanak-kanak masih dalam keadaan bahaya. PBB memerlukan AS$2.48 bilion untuk menangani
krisis ini. Jumlah pengidap HIV/AIDS Somalia
pula kini sebanyak 43,000 orang.
Mohamed
Siad Barre yang merupakan diktator sosialis yang zalim di Somalia
Abdullahi
Yusuf Ahmed ahli sains politik yang cukup disayangi oleh Barat. Pada zaman
beliau, Tentera Ethoipia dan Barat bersatu cuba memusnahkan UIC yang diterima
rakyat. Pemerintahan beliau tidak berpusat di Somalia (Kenya) menyebabkan UIC berjaya menguasai Mogadishu.
Sharif
Sheikh Ahmed adalah pemimpin UIC yang cukup Islamik dan menghafaz Al Quran.
Hassan
Sheikh Mohamud ada hubungan dengan Al Ishlah iaitu cabang Ikhwanul Muslimin di
Somalia.
Parti yang didokong
- SYL – Somali Youth League
- SRSP – Somali Revolutionary
Socialist Party
- USC – United Somali Congress
- SNA – Somali National Alliance
- SSDF – Somali Salvation Democratic
Front
- RRA – Rahanweyn Resistance Army
- ARS – Alliance for the
Re-liberation of Somalia
- PDP – Peace and Development Party
- Mil – Military
- n-p – Non-party
Muhammad Nuruddin
bin Bashah
31 Laluan Permai
Puteh 8,
Taman Siputeh
Permai, 31560 Siputeh, Perak. 017 6291368
[1] Mogadishu
bermaksud "tempat duduk di Shah " adalah bandar terbesar di
Somalia dan ibu negara Somalia. Peniaga Parsi dan Arab mengasaskan Mogadishu
pada abad ke-10 yang bercampur dengan penduduk tempatan. Mogadishu terletak di
pantai Benadir, rantau Lautan Hindi. Bandar ini telah berkhidmat sebagai
pelabuhan yang penting selama berabad-abad. Dalam zaman pertengahan emas ,
pemerintah dinasti Arab Muzaffar menjadikan Mogadishu sebagai ibu negara.
Begitu juga semasa penjajahan Itali.
Ketika pengembara Maghribi,
Ibn Battuta sampai di pantai Somalia pada 1331, kota itu pada kemuncak
kemakmuran. Battuta menyifatkan Mogadishu sebagai "kota yang sangat
besar" dengan pedagang kaya yang banyak, yang terkenal dengan kain
berkualiti tinggi yang dieksport ke Mesir dan tempat-tempat lain. Mogadishu
diperintah oleh seorang Sultan Somalia berasal dari Berbera di utara Somalia
yang bercakap Somali. Battuta menyebutnya sebagai Mogadishan.
[2] Jumlah penduduk
seramai 9.133.000, Tiada rekod jumlah perbelanjaan pada
kesihatan per kapita, Tiada juga jumlah
peratusan perbelanjaan pada kesihatan
daripada KDNK Source: Kesihatan Global Observatory.
[3]
Suatu ketika dahulu Kerajaan Axumite Kristian pernah diserang oleh Dhu Nuwas,
raja Yahudi (murtad dari ajaran Nasrani) di Najran.
[4] Senarai kerajaan
yang memerintah bumi Somalia = Kesultanan Adal, Kesultanan Aussa,Negeri
Dervish, Kesultanan Geledi ,
Kesultanan Harar, Kesultanan Ifat, Kerajaan
Gomma, Kerajaan Gumma,
Kerajaan Jimma, Kerajaan Kaffa,
Kesultanan Majeerteen, Kesultanan Marehan, Dinasti Mudaito, Kesultanan Shewa,
Kesultanan Hobyo, Kesultanan Mogadishu, Dinasti Walashma, Kesultanan
Warsangali, Dinasti Zagwe. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Tanduk_Afrika)
[5]
Abdullahi juga adalah pengasas Puntland
Security Force (PSF) dan Puntland sebagai tanah kelahirannya dijadikan
pangkalan awal pemerintahan beliau sebelum menubuhkan TFG dan memerintah
Somalia. PSF telah mendapat khidmat inteligen daripada AS. Puntland adalah
negeri yang makmur dalam Somalia.
[6] Abdullahi Yusuf Ahmed
Disember 1934-23 Mac 2012) adalah
seorang ahli politik Somalia. Beliau adalah salah seorang pengasas Barisan
Demokratik Salvation Somalia /Somali Salvation Democratic Front (SSDF),
serta Negeri Puntland Somalia, di mana beliau berkhidmat sebagai
Presiden pertama rantau autonomi dan memimpin pasukan Pemerintah
Persekutuan Sementara PSF.
Pada tahun 2004, beliau juga membantu menubuhkan Kerajaan Peralihan
Persekutuan (TFG) , dan beliau adalah Presiden Somalia daripada 2004
sehingga 2008. Beliau adalah boneka Barat.
Somali Salvation Front
Demokratik (SSDF) adalah payung politik dan organisasi separa tentera di
Somalia. Ditubuhkan pada tahun 1978 oleh beberapa pegawai-pegawai tentera,
untuk menewaskan rejim autoritarian Mohamed Siad Barre.
[7] Bekas panglima perang
PSF kemudian bergabung dalam Alliance for the Restoration of Peace and
Counter-Terrorism, ARPCT, sebuah persekutuan para panglima perang yang didukung
oleh AS. Pada awal bulan Juni 2006, UIC berhasil mematahkan kekuatan ARPCT
selepas pertempuran sengit yang menyebabkan lebih dari 350 orang terbunuh.
[8] Sharif Sheikh Ahmed
شريف شيخ أحمد; dilahirkan Julai 25,
1964 adalah seorang ahli politik Somalia. Antara tahun 2009-2012, beliau adalah
Presiden Somalia. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Komander Ketua Kesatuan
Mahkamah Islam ( UIC) , menentang Kerajaan Persekutuan Peralihan (TFG)
yang disokong oleh AS dan Barat. Presiden Somalia 2009-2012. Ahmed Sharif
dilahirkan di rantau Dhexe Shabeellaha selatan Somalia. Beliau adalah ahli puak
Abgaal. Syarif memulakan pendidikan di Institut Sheikh Sufi, yang telah
dikaitkan dengan Universiti Al-Azhar di Mesir pergi ke Sudan dan memasuki
Kordufan Universiti pada tahun 1992-an, meneruskan pengajian peringkat ijazah
sarjana muda dalam bahasa Arab (utama) dan geografi (kecil) di bandar
Aldalanj. Sheikh Sharif meninggalkan Tripoli, ibu kota Libya, selepas selesai
hanya dua daripada empat tahun yang diperlukan. Di Libya, beliau memasuki
Universiti Terbuka di mana beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam
Undang-undang dan Syariah Islam, lulus pada tahun 1998. Beliau telah
bekerja sebagai guru sekolah dan juga merupakan seorang Hafiz Al Quran..
[9] Abdul Halim Saad
pensyarah jemputan Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam BH online http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Somaliadilandakebuluranteruk/Article/index_html
menulis Siapakah Al Shabab? Pada 2006, Ethiopia dengan bantuan Amerika Syarikat
menyerang Somalia yang diperintah oleh Islamic Courts Union (ICU) atau
disebut UIC yang dituduh mengamalkan
dasar ekstremis Islam. Akibat daripada serangan Ethiopia itu, wujud Al Shabab
yang sebelumnya menjadi pasukan bersenjata bagi ICU. Anggota Al Shabab senang
dikenali dengan pakaian tentera dan kopiah merah putih serta bersenjatakan
Kalashnikov, berumur antara 19 hingga 25 tahun serta mempunyai seramai 7,000
anggota. Al Shabab menguasai 50% bumi Somalia dan diisytiharkan sebagai
kumpulan pengganas oleh Amerika. Kumpulan radikal ini bertujuan menggulingkan
regim TFG yang memerintah sekarang dan menentang tentera UNOSOM. Al Shabab
dipimpin oleh Ibrahim Jama Meeaad.
[11] Slide yang
disediakan oleh Lilla Schumicky PhD Candidate/ University of Bradford/ Peace
Studies Africa Conflict Monitoring Group Coordinator / University of Bradford
UNDP Somalia Intern ACTED Area Coordinator / North-West Kenya.
[12] Sumber: The failed
states Index 2011 @ www.foreignpolicy.com
No comments:
Post a Comment