PELAJAR PASTI SUNGAI PETANI MELONJAK NAIK 7.6 PERATUS TAHUN 2015
Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
SUNGAI PETANI - 19 Jan 2015
Antara produk terulung Parti islam PAS adalah PASTI atau nama
penuhnya Pusat Asuhan Tunas Islam yang telah ditubuhkan sejak era
tahun 1980an.
PAS Sungai Petani juga tidak ketinggalan dalam menyediakan institusi
pendidikan dan tarbiah awal kanak-kanak ini malah peningkatan jumlah
pelajar yang mendaftar di PASTI kawasan Sungai Peani meningkat
sebanyak 7.6 peratus berbanding tahun 2014.
“ Pada tahun ini jumlah pelajar yang menyertai PASTI adalah seramai
1114 orang iaitu pecahan umurnya 4 tahun seramai 179 orang, 5 tahun
474 orang manakala umur 6 tahun seramai 461 orang pelajar berbanding
jumlah 1035 orang pelajar pada tahun lalu” menurut Saudara Izwan
selaku ketua Dewan pemuda PAS Sungai Petani.
“ PASTI menekankan konsep pendidikan seimbang yang menerapkan
ibadah, fardu ain, akhlak dan etika, ilmu duniawi dan sains serta
kepimpinan untuk melatik pemimpin ummah yang berkualiti kelak. Hal
ini bertepatan dengan konsep Tarbiatul Awlad yang disarankan oleh Dr
Abdullah Nasih Ulwan seorang pendakwah dan penggerak Islam
antarabangsa”, tambah Izwan.
Jumlah PASTI juga meningkat daripada 26 buah ke 29 buah apabila 3
PASTI baru telah dibuka iaitu di Taman Keladi, Bandar Puteri Jaya
HillPark dan Bandar Seri Astana.
PASTI Sungai Petani sepertimana PASTI lain di negeri Kedah kini terus
berusaha untuk menghasilkan guru yang berkarisma, berilmu dan
berkemahiran melalui Kursus Perguruan PASTI, Kursus First Touch
sehinggalah menyediakan Kursus Diploma Perguruan PASTI. PAS memang
berpengalaman dalam menyediakan sistem Diploma dalaman untuk
pemantapan ilmu ahlinya setelah bertahun berpengalaman menyediakan
Diploma ILHAM kepada para ahli.
Rata-rata guru sekolah sekitar Sungai Petani berpuas hati dengan
produk generasi keluaran PASTI kerana ketrampilan serta kepimpinan
yang ditonjolkan oleh para pelajar.