Monday, March 09, 2015

KERJA BESAR KERAJAAN ADALAH KURANGKAN JURANG MISKIN DAN KAYA DI MALAYSIA


KERJA BESAR KERAJAAN ADALAH KURANGKAN JURANG MISKIN DAN KAYA DI MALAYSIA
Muhammad Nuruddin Bashah
Timbalan Ketua Penerangan DPPN Kedah

Semua insan di mana -aman negara Bangsa hari ini menginginkan kesejahteraan dalam hidup. Jika disoal kepada individu yang berakal sihat, mereka tidak akan melulu menyebut wang sebagai cita-cita utama mereka walaupun ramai yang pelahap dengan wang, sebaliknya individu yang baik minda akan menjawab keamanan, kesihatan dan kebebasan adalah matlamat hidup dalam sesebuah naungan negara.

Aspek sihat, aman dan bebas inilah yang dikenali sebagai kesejahteraan. Kesejahteraan sebenarnya kian terhakis apabila sesebuah pemerintahan membenarkan wujudnya jurang antara yang miskin dan yang kaya kerana lumrahnya dua segmen masyarakat ini diwujudkan oleh Allah sebagai hubungan interaksi yang memiliki KPI akhirat. Sedekah daripada pihak yang berada adalah bermatlamatkan akhirat bukan sekadar tagihkan resit pengelak cukai LHDN.

Sekaligus si penerima sedekah akan aman, selesa dan berkesinambungan hayatnya dengan adanya tangan yang menghulur.

Islam tidak mengiktiraf istilah BASMI MISKIN kerana Rasulullah sendiri mendoakan dirinya tergolong dalam golongan miskin kerana golongan inilah yang ramai berada di syurga kelak.
Doa Nabi;
اللّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِيناً، وَأَمِيْتِنَي مِسْكِيناً، وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ

“Ertinya : Ya Allah ! Hidupkanlah aku dalam keadaan MISKIN, dan matikanlah aku dalam keadaan MISKIN, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) di dalam rombongan orang-orang MISKIN”. (Imam Ibnu Majah No. 4126)
Islam tidak menganggap apabila semua umat kaya maka mereka telah sejahtera. Syariat zakat, sedekah, hibah dan infaq belum dinasakhkan, jadi ianya kekal relevan. Golongan miskin dan kaya akan kekal wujud hingga ke kiamat.

Namun yang disarankan Islam adalah mengurangkan jurang antara keduanya. Yang kaya jangan terlalu kaya sehingga keputusan, polisi negarapun berada di dalam poketnya. Yang miskin pula jangan sehingga melarat dan mencecah tahap kufur kepada Allah lantaran kedhaifan yang amat teruk.

Rasulullah pernah menceritakan kisah seorang wanita yang terpaksa menggadaikan maruahnya kepada sepupunya sendiri kerana kelparan dan kemiskinan ( Fiqh Ekonomi Islam, Prof, Dr. Yusuf Al Qaradhawi halaman 130)

Rasulullah pernah berdoa “ Dan aku berlindung denganMu daripada keburukan fitnah kekayaan dan keburukan fitnah kemiskinan “ ( Riwayat Imam Bukhari)

Mari kita teliti dahulu definasi sejahtera menurut fahaman sekular. Sedikit sebanyak teori berkenaan adalah praktikal harian kita. Veenhoven(2004) merumuskan bahawa kesejahteraan manusia adalah bermaksud kualiti hidup. Malah beliau berpandangan bahawa kualiti hidup ini boleh diukur melalui kaedah yang digunakan oleh United Nation for Development Program (UNDP). UNDP mengukur kualiti hidup manusia dengan melihat kepada Indeks Pembangunan Manusia yang mengukur tiga perkara iaitu:
i. Kekayaan masyarakat diukur dengan melihat kepada kuasa beli per orang
ii. Pendidikan dengan diukur kepada kadar celik huruf dan persekolahan
iii. Jangka hayat sewaktu lahir

Seterusnya UNDP juga memasukkan dua item lain dalam pengukuran pembangunan manusia iaitu:
i. Kesamaan gender yang diukur melalui Gender Empowerment Index yang melibatkan nisbah lelaki dan perempuan berkaitan kadar celik huruf, kemasukan ke sekolah dan pendapatan
ii. Kemiskinan yang diukur melalui kematian pra matang, kadar buta huruf
functional dan kekurangan pendapatan.

Dalam definisi lain dijelaskan, kesejahteraan ialah:
الحالة التي تتحقق فيها الحاجات الأسية للفرد واجملتمع من غداء وتعليم وصحة وتأمين ضد كوارث الحياة
“Kesejahteraan (welfare) adalah keadaan di mana keperluan dasar bagi individu atau kelompok dapat dipenuhi baik berupa keperluan makanan, pendidikan, kesihatan, dan jaminan kepada daripada bencana kehidupan.” (Badawi, 1986).

Menurut Laporan Pembangunan manusia PBB 2013 dan kajian Institut Penyelidikan Khazanah, isu persamaan sosial, kestabilan sosial dan pengagihan kekayaan adalah isu besar yang perlu diselesaikan. Pada penulis isu inilah antara lain yang menjerut kesejahteraan rakyat di Malaysia tanpa mengira kaum.

Kuasa membeli, berbelanja, berpendidikan dan memiliki kesihatan yang baik secara realitinya mampu dimiliki rakyat sekiranya kekayaan negara diagih kepada yang berhak. Subsidi umpamnya adalah syari’y dan ianya salah satu metod Nabawi untuk menyeimbangkan kekayaan negara.

Rakyat memiliki jurang kekayaan yang besar
Perhatikan fakta di bawah:
20 % daripada penduduk terkaya Malaysia menguasai 51% kekayaan negara.
Manakala 20 % rakyat marhain bawahan memilki kurang 5% kekayaan negara.
Menurut UHHD jumlah kekayaan 40 taikun di Malaysia menyamai 22% hasil KDNK Malaysia.
Menurut CAP, gaji CEO di Malaysia purata adalah RM 11 juta sebulan dan gaji ini menyamai 21 000 keluarga yang pendapatan miskin tegar sekitar RM 540 sebulan.
Purata rakyat Malaysia berpendapatan sederhana terpaksa bekerja 8 tahun untuk memperolehi pendapatan purata CEO pada tahun 2011 iaitu RM 136 juta.

Penulis berminat untuk memetik cadangan CAP untuk menyeimbangkan pendapatan golongan super kaya di Malaysia dengan rakyat mustadhafin yang melarat.

Cukai Perwarisan.
Cukai warisan menyamai cukai harta. Antara negara yang melaksanakan sistem ini adalah Amerika, Britain, Perancis dan Jerman. Khabarnya Thailand sedang berusaha ingin melaksanakannya.

Bukankah ini lebih adil berbanding melaksanakan GST, merampas subsidi dan sebagainya. Kerajaan Malaysia nampak hal ini tetapi jika kongsi gelap pun masih ditakuti pihak berkuasa apatah lagi mendepani taikun-taikun kaya di Malaysia?

Sebelum ini Malaysia pernah melaksanakannya sebelum dimansuh pada tahun 1991. Ketika itu kerajaan mengenakan cukai ini bagi harta bersih melebihi 2 juta. Kadarnya adalah 5% bagi julat harta 2 hingga 4 juta dan 10% cukai bagi harta melebihi RM 4 juta.

Warren Buffet seorang jutawan pernah berkata jika tiada cukai harta ini, kita hanya melahirkan ratusan aristokrat kekayaan yang berbahaya bagi sebuah negara demokrasi.

Bank Dunia telah menasihati agar Malaysia menggunakan kuasa cukai untuk memindahkan harta secara terhormat daripada tangan juawan ke rakyat kebanyakan.

Ulrich Zachau Pengarah Bank Dunia Negara Malaysia menyarankan agar kerajaan kita menekannya lebih banyak cukai kepada golongan hartawan bagi mengurangkan ketidaksamarataan kekayaan negara.

Pada tahun 2015 ini cukai tertinggi yang terpaksa dibayar oleh jutawan haya 25% sedangkan di negara Barat nilainya lebih tinggi. Lihat senarai di bawah:
Australia - 45 %
China - 45 %
Jerman - 45 %
UK - 45 %
Amerika - 39.6 %

CAP juga mencadangkan jika GST dilaksanakan, silalahnaikkan cukai barangan mewah sehingga 20% misalnya untuk menunjukkan kerajaa benar-benar ikhlas menyeimbangkan kekayaan negara melalui GST yang katanya telus dan efisyen.

Kepayahan dan kesempitan hidup rakyat adalah punca kerosakan sosial dan akhlak. Abaikan iklan klip video RTM yang menggambarkan kesempitan hidup rakyat bukan kerana kos sara hidup meningkat sebaliknya gaya hidup rakyat yang mewah,. Realitinya jika lembu mampu bercakap, mereka juga akan bercakap jujur berkenaan kesengsaraan manusia di Malaysia hari ini dalam aspek kos sara hidup.

Menurut Prof. Dr Yusuf Al Qaradhawi, kemiskinan memang jelas adalah punca jenayah rompakan dan penzinaan.

Sabda Nabi “ Adapun tentang sedekah yang kamu berikan epada pencuri mudah-mudahan ia dapat mensucikan pencuri itu daripada perbuatannya dan mudah-mudahan sedekah kamu kepada seorang penzina dapat mensucikan dirinya daripada peruatan zinanya”

Tidak usah bercakap soal hudud lagi. Itu hal syariah peringkat tinggi. Lihat dahulu soal perlaksanaan syariah yang mudah. Indeks Syariah untuk menilai kejayaan perlaksanaa syariah di Malaysia hanya kerja kosong jika semangat dan falsafah syariah pun tidak mahu dilaksanakan. Misalnya semangat ekonomi Islam untuk menyeimbangkan kekayaan rakyat jelata. Sikap kerajaan yang membela taikun jelas dala hal subsidi IPP yang kekal hingga kini. Malah taikun kaya juga dilayan baik semasa kes ramapasan tanah sawah Kerpan pada tahun 1993 dahulu untuk difaraidkan kepada jutawan melaksanakan projek ladang udang.

Hebatnya Islam bukan sekadar melihat isu pengawalan jenayah melalui penguatkuasaan, hudud dan qisas. Tohmahan rambang yang kononnya Islam hanya tahu menghukum adalah salah besar, sebaliknya melalui pengurusan kekayaan negara juga Islam menggariskan aspek penting untuk kita teliti demi mengurangkan kadar jenayah dan masalah sosial negara kita. Tetapi siapa yang pandang syariah Islam hari ini?







Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)