Sunday, June 22, 2008

Sang Gedembai memimpin negara

Pemimpin Malaysia ibarat Sang Gedembai…

Kerajaan akan bantu petani yang susah untuk menghadapi krisis kenaikan harga minyak, Kementerian Kesihatan menjamin bahawa kualiti perkhidmatan dan ubat tidak terjejas hanya kerana kenaikan harga minyak, Kementerian Pendidikan berkata pihak mereka tidak akan meminggirkan agenda pendidikan hanya kerana minyak. Perdana Menteri beri rebat RM 150 untuk motosikal dan RM 625 untuk pemilik kereta persendirian (lumayan kan?), Malaysia akan menggunakan tenaga nuklear sekiranya krisis minyak tidak dapat diatasi, pendidikan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris akan ditukar kembali ke bahasa asal berdasarkan indikator keputusan UPSR tahun ini, pelabur asing masih tidak lari dari Malaysia kerana hubungan majikan dan pekerja di Malaysia baik walaupun IKLIM POLITIK TERJEJAS, dan macam-macam lagi statement yang kita boleh dapati daripada pemimpin Malaysia dimana kenyataan dan ungkapan di atas kadangkala tanpa piawaian dan rujukan daripada cerdik pandai, tenaga akademik mahupun rakyat jelata.

Masih ingatkah kita dengan lagenda Sang Gedembai? Sang Gedembai boleh menghasilkan sesuatu hanya dengan kata-katanya dan ungkapan serta mertanya sahaja. Tanpa kajian. Tanpa berfikir terlebih dahulu.

Malaysia dipimpin oleh Sang Gedembai baru? Bolehlah dikatakan demikian. Jika tidak ada perangai itu dalam minda Melayu takkan orang tua kita dahulu boleh mencipta epik-metos berkenaan.

Tenaga akademik hanya dipanggil untuk diperkudakan idea mereka. Bukan untuk ditimbangtara dan diperhalusi. Jika tidak takkanlah tergadai Pulau Batu Putih hanya kerana persediaan wakil Malaysia yang tidak cukup dari segi fakta, gambar, sejarah dan sebagainya. Mungkin Perdana Menteri kita kini agak bijak melindungi pekung ini dengan meminta rakyat dan pekerja awam memberi cadangan dan idea cara untuk kerajaan berjimat dalam bil elektrik dan air dalam sektor awam. Kelihatan seperti pentadbiran yang telus serta mengamalkan pandangan terbuka sebelum membuat keputusan. Hairan juga tidak pula disentuhnya cara pak-pak Menteri kita semua berjimat cermat!

Tun Mahathir dahulu pun bersikap Gedembai juga. Lihat sahaja cara beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Beberapa bulan sebelum itu dimintanya raja-raja Melayu hapuskan perkataan Islam dalam mana-mana pertubuhan Malaysia. Hairan… Bila diungkap Malaysia negara Islam, semua menteri dan sektor kerajaan perlu menjelas kepada rakyat bahawa Malaysia negara Islam. Marahlah para sekularis dalam UMNO dan BN lainnya.

Pak Lah pula semasa mengisytiharkan kalimah Islam Hadhari tidak pernah berfikir panjang. Sebagai graduan Islamic study beliau semestinya tidak akan salah konsep dalam bahasa arab sehingga keliru antara kalimah Tamadun Islam dengan Islam Tamadun! Selepas diisytiharkan kalimah pincang tersebut, diminta pula jabatan-jabatan agama dan dakwah menjustifikasikan kalimah itu. Diambilnya buku Dr Ramadhan Al Buti bertajuk Hadharah Islamiyyah ditukar ke terjemahannya sebagai Islam Hadhari ! Memalukan sahaja.

Dahulu BTN diguna sebagai mesin doktrin untuk rakyat taksub dengan BN. Dicercanya PAS dan parti politik lain. Bila Najib menjadi TPM, PLKN pula dibina. Kerana apa? Kerana BTN dilaksanakan oleh Anwar Ibrahim. Pelik. Hingga perkataan baku pun takut digunakan kerana dipopularkan oleh Anwar. Kementerian Pendidikan ditukar kembali nama kepada Kementerian Pelajaran, sedangkan kalimah pendidikan lebih holistik daripada pelajaran. ‘Retro pun retro lah janji tak da kaitan dengan musuh politik kami’, begitulah sikap Gedembai.

Jika isu pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dibincang di sini alamatnya 10 muka surat pun tak cukup. Dasar-dasar yang diutarakan, debat antara menteri lama dan baru hanya berbaur individualistik dan keegoan dasar masing-masing. Mereka memegang tampuk pemerintahan 5 tahun. Belum tentu nasib mereka panjang untuk 5 tahun selepas itu. Jadi jaranglah dalam jiwa mereka ingin berbincang masa depan negara yang meliputi hayat perkembangan tamadun Malaysia. Tidak mahu bincang halatuju jati rakyat dalam mendokong aspirasi bahasa utama negara ini. Yang penting dasar mereka cukup untuk tempoh terdekat ( 5 atau 4 tahun). Masa depan tamadun? Orang Penang kata ‘lantak pi kat hampa lah yang pegang lepas kami’.

Rakyat takut dan semakin risau. Ahli politik Malaysia hanya bercakap untuk masa depan politik mereka sahaja. Dasar negara boleh berubah dalam masa yang terlalu singkat apabila dirasakan dasar itu sukar atau mustahil dilaksanakan. Rebat wang minyak; rakyat tunggu adakah berpanjangan sikap kerajaan untuk menyalurkan wang itu? Atau hanya tahun ini. Tahun depan strategi lain pula?

Rakyat tidak mahu Sang Gedembai berpakaian kemas berjalan berceretek terkedek-kedek ke Parlimen dan DUN. Rakyat inginkan kesepaduan idea antara pemimpin dan ilmuwan. Antara Umara’ da Ulama’. Bersama berfikir atasi masalah rakyat. Lantaran itu mahasiswa menjadi lesu kerana pelajaran di kampus hanya idealisme yang tak realiti. Realiti di tanahair ini ialah yang berkuasa berhak berkata apa sahaja dan kata-kata itu adalah hukum!


Pendeta Bitara

Bestari Tuition Centre

1 comment:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)