Disiarkan oleh Era Pakatan 19 mac 2010
Memecah gejala politik fobia rakyat, antara obligasi Pakatan Rakyat
Rakyat Malaysia semakin takut dengan politik Malaysia yang ganas membaham sesiapa sahaja. Politik Malaysia kini dikuasai oleh golongan diktator yang tidak dapat menerima dan takut akan kekalahan. Kini sindrom politikfobia menjalar di kalangan masyarakat awam.
Rakyat kecut perut bila melihat kes kemenangan YAB Ir Nizar sebagai Menteri Besar yang sah bertukar menjadi sebaliknya selepas Zambry membuat rayuan. Rakyat sangsi apabila pembedahan awal Dr Pornthip Rojanasunand daripada Thailand terhadap mayat Teo Beng Hock menyatakan ia pernah dipukul bertukar menjadi tiada kesan pukulan selepas pembedahan oleh doktor daripada Malaysia.
Rakyat geleng kepada apabila enjin jet jutaan ringgit hanya dilarikan oleh para sarjan dan koperal yang entah bila mampu berurusan dengan orang Uruguay.
Rakyat berderau darah apabila melihat sesiapa sahaja mampu dibubuh dengan bom C-4 yang hanya boleh digunakan untuk misi khas, kerana pegawai rendah polis pun boleh sewenang-wenangnya membuka almari balai polis dan meletupkan rakyat dengan bom itu tanpa kebenaran pegawai atasan.
Rakyat tertanya-tanya arah politik negara apabila kehakiman Malaysia dikritik oleh 50 ahli Parlimen Australia sedangkan logiknya berapa sangat duit DSAI dan PKR untuk merahsuah 50 orang ahli parlimen Australia tersebut!
Rakyat menjadi serik mengundi dan berpolitik dalam gelanggang demokrasi apabila wakil rakyat mereka mudah melompat parti tanpa mengosongkan kerusi. Sedangkan mereka dipilih disebabkan nama parti tertentu yang mereka sokongi dasar dan polisi parti tersebut. Itulah demokrasi iaitu membenarkan rakyat campur tangan dengan polisi negara dengan membenarkan rakyat memilih wakil yag bakal membawa polisi negara idaman mereka.
Apa jawapan yang sesuai untuk kita berikan kepada rakyat berkenaan makna politik yang mereka lihat secara ‘live’ di bumi Malaysia ini.
Sebenarnya BN telah, ingin, sedang dan selamanya akan memperbodohkan rakyat berkenaan erti politik sejati. Rakyat Malaysia dungu sungguh dengan erti demokrasi. Lihat sahaja rakyat mudah percaya Guan Eng anti Islam bila ada ura-ura membatalkan perarakan maulidur rasul. Ramai percaya Pulau Pinang mula menghakis nilai Islam bila mereka hanya disuap dengan maklumat TV dan akhbar pro pemerintah. Tetapi rakyat diam sahaja bila akhbar I Luv Islam (terbitan Karangkraf) menyiarankan bahawa Pahang dan Johor juga tidak ada perarakan maulid. Kenapa tidak tuduh dua orang menteri besar ‘Melayu’ tersebut sebagai anti Islam? Sebab rakyat malaysia taksub dengan media yang sedia ada, gila TV dan ketagihkan Utusan Malaysia dan Berita Harian sahaja. Akhbar lain? Tak tahu pun.
Politik adalah ilmu yang perlu diajar oleh para pejuang kebenaran. Pakatan Rakyat wajib mengadakan banyak bengkel politik dan berbincang dalam skop yang luas diluar kerangka fikir label kepartian. Politik kini banyak merujuk teori barat. Sehingga akhir abad ke-19, perkembangan ilmu politik di Barat sudah mencapai tahap puncak. Bagaimanapun perkembangannya seiring dengan perkembangan ilmu sains sosial, antropologi, psikologi, sejarah dan ekonomi sehinggakan ilmu politik barat tidak ‘sekular’ dengan keilmuan tersenarai di atas.
Disebabkan terlalu banyak tafsiran politik, mendorong UNESCO di bawah PBB untuk menyeragamkan fahaman politik seluruh dunia dengan mengatur satu kajian dan soal selidik berkenaan kedudukan ilmu politik dalam 30 buah Negara yang dipimpin oleh W. Ebenstein dari Amerika Syarikat dan akhirnya telah melahirkan buku Contemporary Political Science (1948).
Pada 1952 pula UNESSCO mengumpulkan banyak laporan berkaitan fahaman politik dan dihimpun dalam Persidangan di Cambridge England dan hasilnya disusun oleh WA Robson serta diterbit oleh UNESSCO pada tahun 1954.
Dengan tersebar buku-buku terbitan UNESCO, buku ini semua menjadi rujukan pelajar di IPT serata dunia serta membentuk satu komuniti global dengan satu fahaman politik sekular yang sama atas nama pendidikan dan sosial ala PBB. Kesemua insiden kediktatoran di celahan demokrasi atau tirani di sebalik topeng demokrasi adalah rekod kerja UNESCO yang semestinya direstui oleh yahudi sedunia. PBB adalah hasil cetusan dua ideologi warisan yahudi iaitu komunis dan kapitalis. Tidak hairan jika PBB bakal merestui kesemua pemerintah yang zalim.
Rakyat yang buta politik di negara ini juga mulai kabur tentang erti demokrasi. Hal ini kerana tiada langsung teladan negara yang mengamalkan demokrasi 100%. Yang ada hanya negara demokrasi tetapi berkaptenkan diktator. Begitu juga negara Islam. Tiada langsung negara di dunia hari ini menuruti 100% sistem negara Islam yang dipiawaikan oleh para ulama’. Yang ada hanya mengambil Islam dalam beberapa juzuk sahaja.
Demokrasi adalah suatu bentuk kerajaan yang dicetus oleh rakyat, untuk rakyat dan diperintah oleh rakyat baik secara langsung atau tidak langsung. Secara umumnya rakyat di negara demokrasi tidak diajar untuk mengenal fungsi pemerintahan mereka secara tidak langsung. Ya, rakyat ada peranan secara tidak langsung dalam mencipta polisi negara.
Peranan pertama adalah mengundi parti tertentu yang memperjuangkan sesuatu polisi yang kena dengan kecenderungan pengundi tersebut. Dalam hal ini kerajaan tidak boleh menyekat hak rakyat untuk memilih parti mana yang bakal merealisasikan polisi idaman mereka.
Peranan kedua adalah melalui desakan oleh rakyat untuk kerajaan menilai polisi mereka iaitu rakyat berhak menghantar memorandum, menulis dalam media, berjumpa pemimpin negara serta menyuarakan idea mereka dalam semua pentas yang sah dalam undang-undang. Kerajaan wajib cakna dan mendengar suara rakyat kerana demokrasi bermakna kerajaan rakyat. Pemimpin adalah juga rakyat sebelum menjadi pemimpin, setelah dipilih mereka mesti menunaikan hasrat rakyat jelata.
Negara demokrasi selalunya memiliki perlembagaan bertulis. Perlembagaan ini selalunya ditulis oleh golongan yang pernah merasai perit diperintah secara monarki. Hal inilah yang menerbitkan perlembagaan Britain dan Perancis. Namun begitu perlembagaan selalu juga digunakan oleh pemimpin demokrasi yang bertukar menjadi diktator untuk memuaskan kehendak mereka. Untuk meneruskan kemampuan kuasa tanpa batasan Ordinan Darurat 1948, kerajaan BN telah mengusul pula ISA pada 1960 untuk melegitimasikan wewenang kuasa mereka. Sejak tahun 1957, telah banyak kali perlembagaan dipinda.
Kemudian diikuti dengan pindaan akta secara kerap oleh kerajaan Malaysia. Menurut Senator Amaluddin Darus dalam bukunya Demokrasi dan Diktator (1988) , antara ciri kerajaan diktator adalah mengubah perlembagaan secara kerap untuk menyesuaikan dengan unjuran polisi zalim negara tersebut. Malah ia melambangkan keterhakisan nilai agama dan bertuhan di kalangan pemimpin tersebut yang meletak diri lebih berkuasa daripada Tuhan sehingga gemar menukar perlembagaan negara. Situasi Malaysia yang hakimnya boleh ditentukan oleh seorang peguam, kes tuduhan liwat yang boleh dipinda-pinda (sejak kes tuduha liwat DSAI 1998), kecurian enjin jet yang dilindungi siasatannya, kes pengeboman sadis terhadap wanita Monggolia yang kesemua kes ini hanya dikatakan melibatkan staf bawahan keselamatan negara mengambarkan kerajaan Malaysia mengarah kepada sistem diktator!
Yahudi melalui UNESCO telah mengacu otak dunia untuk memahami politik dalam acuan mereka sahaja.
Sebenarnya UNESCO banyak menerbitkan fahaman tirani disebalik penakrifan demokrasi dan politik mereka. Contohnya kenyataan UNESCO pada tahun 1949 dahulu,
“ Mungkin untuk pertama kali dalam sejarah demokrasi dinyatakan sebagai nama yang paling baik dan munasabah atau wajar untuk semua sistem politik dan sosial yang diperjuang oleh pendokong-pendokong yang berpengaruh”.
Klausa ini cukup untuk melegitimasi sebarang sistem pemerintahan yang zalim asalkan mereka didokongi oleh golongan ‘berpengaruh’. Lantaran itu kita lihat kerajaan Komunis Korea Utara dan China juga mengambarkan mereka sebagai kerajaan demokrasi rakyat atau demoktrasi nasional untuk menutup agenda sosialis-komunis mereka.
Telah nyata kini banyak negara atas nama demokrasi telah menyalahguna terma tersebut sehingga menjadi diktator atas nama keselamatan dan keamanan misalnya polisi anti keganasan Amerika. Hal ini sama sahaja dengan Malaysia yang semberono menggunakan ISA serta OSA untuk mengangkap sesiapa sahaja tanpa alasan dan bukti.
Orang Melayu sebelum merdeka telah lama tidak menikmati apa yang dikatakan sebagai pemerintahan rakyat. Pemerintahan monarki raja-raja melayu hanya menjadi adil bergantung kepada Sultan yang memerintah. Kedatangan Portugis dan Belanda serta Inggeris juga tidak membawa sinar demokrasi kepada rakyat Melayu. Inggeris datang secara halus untuk berniaga dan meratah hasil tanah di Tanah Melayu. Mereka memerintah secara diktator kepada orang melayu sehingga memaksa Melayu menerima segala polisi England. Hanya selepas insiden Malayan Union, Malaya mula menerima tempiasan demokrasi dan belajar memilih pemerintah sendiri. Raja menjadi ketua negara manakala Perdana Menteri menjadi ketua eksekutif. Rakyat sudah ada harapan untuk mengubah polisi negara menurut kehendak majoriti.
Namun situasi diktator menjadi semula apabila parti pemerintah di Malaya tidak berani kalah malah sombong dengan kuasa yang mereka perolehi. Lantaran itu kebebasan media disekat, pidato umum diharamkan, akhbar pembangkang dirampas, ahli pembangkang secara mudah dihumban di Kem Kamunting atas alasan hasutan dan ideologi komunis sedangkan UMNO juga pernah menyimpan individu pro sosialis.
Akibatnya rakyat kembali menjadi dungu. British tidak mewariskan demokrasi mereka yang tulen kepada Malaysia. Di England masih ada sehingga kini aktiviti speaker corner baik di kampus atau di jalan raya. Malaysia jangan harap ia berlaku kerana Akta Polis Seksyen 27 akan membaham semua rakyat yang menyuarakan suara mereka. British ada pengalaman menentang monarki Engkand yang mengongkong rakyat. Tanah Melayu tidak pernah berlaku revolusi. Kita dipaksa menelan demokrasi ala British sahaja.
Akibat lebih malang apabila kini timbul banyak gerakan menentang politik secara pukal. Mereka juga menetang demokrasi yang kononnya sistem kafir yang diamalkan di negara ini. Akibat malang apabila parti Islam yang berjuang atas landasan demokrasi di Malaysia turut dimusuhi mereka. Mereka faham politik yang kaku, isolated, konseptual serta idealistik yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat. Rakyat yang mendengar ceramah mereka hanya kagum dengan senarai ayat Al Quran yang dibacakan tetapi kosong daripada tafsiran yang membina. Akibatnya rakyat kembali membenci politik dan demokrasi tanpa alasan yang kuat.
Nah, ini satu malapetaka kepada politik Islam yang ingin dibawa oleh PAS. PAS tidak beriman dengan demokrasi, tetapi PAS menggunakan medan demokrasi untuk membawa kedaulatan Islam dan keadilan sejagat. Sistem pilihanraya di Basrah dan Baghdad yang difatwakan oleh Imam Mawardi menampilkan keanjalan syariah menerbitkan sistem politik yang seiring dengan zaman. Akibat mereka membenci politik, mereka sebenarnya membenci politik Islam dan sistem syariah Islam kerana mereka menolak sebarang usaha menerbitkan syariah secara pemerintahan seperti mana yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.
Berbalik kepada kediktatoran di Malaysia, Tun Dr Ismail di Dewan Negara atau di luar Dewan Negara kerap berucap, “Saya tidak akan membenarkan sesiapa yang menggunakan demokrasi untuk menghancurkan demokrasi”. Ucapan pelik yang berbaur ancaman kepada rakyat yang berani bersuara terhadap kerajaan demokrasi menampilkan idea diktator BN oleh Tun yang pada saat itu adalah Menteri Dalam Negeri.
Jika diintai sejak UMNO berpecah dua, kumpulan Tunku Abdul Rahman dan Team B telah lama dulu menuduh Mahathir sebagai diktator malah melabelkan Malaysia sebagai negara polis. Maka Team A pula membalas dengan menyerang balas mengungkit bahawa pentadbiran Tunku dan selepasnya juga adalah diktator. Bermakna UMNO sendiri tidak yakin bahawa Malaysia benar-benar memahami apa itu demokrasi. Apa yang nyata Tunku juga telah mewarisi kediktatoran British. Malah jika hari ini Parlimen Australia boleh menilai kediktatoran Malaysia sehingga mereka sendiri rasa tidak logik dengan tuduhan liwat terhadap DSAI yang sengaja diadakan selapas pembangkang menang besar (2008), suatu ketika dahulu Filipina juga menggelar Malaysia negara polis sewaktu konfrontasinya dengan Malaysia.
Jelasnya cakap tak serupa bikin di kalangan ahli politik menyebabkan rakyat meminggirkan politik, jahil politik, fobia dengan politik malah menganggap politik itu kotor.
Agak menyedihkan apabila generasi muda kelihatan semakin menuju ke arah ini. Lebih daripada 85% responden Cina berumur 35 tahun ke bawah daripada tinjauan lapangan sebuah akhbar berbahasa Cina pertengahan tahun lepas menganggap politik itu kotor dan tidak berminat untuk mengikutinya. 98% responden berumur 40 tahun ke bawah daripada kajian lapangan Dewan Masyarakat keluaran Mei 2008 memandang negatif kepada politik. Malah, mereka sudah tidak percaya kepada institusi politik. Menghukum pukal politik sebagai kotor adalah salah pemerintah negara ini serta salah pendakwah yang ‘ghuluw’ (melampau) dalam berfatwa.
Hari ini simptom politik sahaja dikenali oleh masyarakat, sedangkan erti politik sebenar tidak diketahui secara mendalam. Bagi yang muslim, mengenal politik haruslah dalam dimensi Islam.
Politik adalah ilmu siyasah (pentadbiran) malah ia mengandungi unsur masalih mursalah iaitu ijtihad yang serba kontekstual untuk kemakmuran syariat. Bermakna politik dalam Islam adalah anjal dan bukannya kaku dengan apa yang berlaku di zaman Nabi sahaja.
Prof Yusuf Al Qaradhawi dalam bukunya Agama dan Politik (2009) menyatakan jika kita mempelajari ilmu fiqh dan meneliti kesemua khazanah fiqh, tidak dapat tidak, kita wajib cakna dan ambil peranan dalam politik kerana syariah itu hanya terzahir selepas politik dipandu dan dipacu. Islam tidak pernah menyarankan kita kononnya untuk menjadi neutral, non partisan sehingga mengabaikan terus politik kepada golongan munafik dan fasiq menguasainya. Lebih malang apabila ada juga golongan menyokong politik Islam tetapi gopoh inginkan sinar Islam segera menjelma dan tidak memahami seni kerjasama dengan golongan bukan pro Islam.
Bagi Al Qaradhawi, bukan sekadar memahamkan rakyat tentang apa itu politik, sebaliknya perlu menerbitkan peribadi politik iaitu individu yang bersiasah atau mengambil peranan dalam politik negara. Menurut beliau lagi, malang bagi umat Islam jika memahami mungkar hanya dalam konteks zina, arak dan judi sahaja sedangkan penyelewengan pilihanraya juga adalah dosa besar, menipu dalam pemerintahan adalah dosa, membazir harta rakyat adalah dosa besar, mencerca pemimpin yang amanah adalah dosa besar, tidak mengambil peranan menjadi saksi politik islam (mengundi untuk kemenangan pro islam) adalah dosa besar serta rasuah dalam ekonomi dan politik adalah dosa besar. Semua ini perlu dijelaskan dalam proses kita mendidik rakyat agar mengambil peranan sebagai kuasa rakyat iaitu menentukan polisi negara melalui wahana politik yang sedia ada.
Jelas ketiadaan contoh pemerintahan adil di Malaysia menyebabkan gejala politikfobia terjadi. Jika ada pun kerja baik kerajaan negeri pembangkang, ia akan disembunyikan daripada pengetahuan awam. Gerakan Islam melampau yang mencerca politik Islam Malaysia dan demokrasi juga merencatkan proses pembelajaran rakyat. Yang berhasil adalah kerjabuat UNESCO mencatur otak kita kepada pemikiran pecah dan perintah. Inilah tanggungjawab Pakatan Rakyat, memecah kejahilan rakyat.
No comments:
Post a Comment