Monday, March 08, 2010

Pakatan rakyat perlu manfaatkan keilmuan Al Qaradhawi

Pakatan rakyat perlu manfaatkan keilmuan Al Qaradhawi

Saya dan rasanya sejumlah besar umat Islam malaysia, berasa bangga dan gembira apabila Mufti Besar dunia (gelaran yang saya berikan) iaitu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi mulai terlibat secara tidak langsung dalam beberapa isu agama dalaman dalam negara kita ini. Apabila seorang tokoh ulama’ antarabangsa mulai menyentuh isu tempatan, membuka mulut memberi komentar dalam isu sesebuah negara secara terperinci, itu alamatnya ulama’ tersebut seolah-olah ‘mencemar duli’, berminat terhadap situasi negara tersebut. Ini adalah rahmat kepada kita dalam masa dunia ini menghampiri zaman krisis kekurangan ulama’ yang berwibawa.

Jika kita kita berjumpa para menteri, kita paling bangga jika si menteri sudi berbincang hal kampung kita secara terperinci dengan penduduk kampung. Jika kita berjumpa para profesor, kita paling gembira apabila beliau mengaitkan teori umum beliau terhadap konteks diri kita, malah menjadikan kita sebagai contoh dalam menerangkan teori beliau. Begitu juga halnya apabila seorang ulama’ besar sudi menyentuh isu dalam negara ini secara terperinci dan khusus. Ini memperlihatkan perhatian beliau.

Hubungan baik antara DSAI dengan Dr Yusuf adalah rahmat kepada Pakatan Rakyat malah ia adalah kekuatan yang cukup unggul jika kita ingin melakukan SWOT kekuatan Pakatan rakyat. Ditambahi pula pemimpin PAS yang telah lama menjalinkan hubungan keilmuan dan mahabbah dengan alim ulama’ timur tengah, kini aura ulama’ mulai memasuki PKR dan tidak mustahil DAP juga bakal mendapat nasihat berkaitan politik yang adil daripada para ulama’ seperti Dr Yusuf. Hal ini tidak pelik apabila pemimpin DAP seperti Nga Kor Meng sudi mempelajari ilmu Islam daripada Ustaz Ahmad Awang dan Lim Guan Eng sudi meminta pandangan agama daripada Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Saya yakin Dr Yusuf adalah ulama’ yang cukup peka dan cakna dengan isu politik dan siasah di Malaysia ini memandangkan akses internet dan globalisasi yang meluas. Malah melihat kepada gaya pemikiran dan penulisan beluau cukup mencerminkan idea kontemporarinya, sikap ‘up to date’ dan maju menyebabkan kita harus meletakkan keyakinan terhadap beliau dalam pelbagai fatwa mahupun saranan dalam segala aspek.

Jika ada yang menggelar DSAI sebagai agen Yahudi, agen CIA atau yang terkini sebagai agen Cina (pengkhianat melayu) tentu Dr Yusuf juga tahu hal itu serta terlebih awal menasihati DSAI agar tidak menjadi agen-agen kuffar. Kenapa tiada isu agen-agen itersebut dalam beberapa siri pertemuan dua tokoh tersebut?

Adakah Dr Yusuf jahil sehingga tidak tahu bahawa majoriti dalam DAP adalah bukan orang muslim, malah PKR juga bukan parti Islam. Mengapa tiada fatwa Dr Yusuf agar PAS menghentikan kerjasama dengan dua parti ‘bukan islam’ tersebut sepertimana desakan NGO atau beberapa ‘pendakwah tulen’ yang ‘jaki’ terhadap hubungan erat PAS dengan pakatan rakyat.

Ternyata jika kita membaca kesemua buku-buku beliau (majoritinya telah diterjemah ke bahasa melayu) kita boleh mengambil kesimpulan bahawa Dr Yusuf adalah pakar siasah yang cukup faham keutamaan kerja dalam islam. Malah beliau mempelopori idea kefahaman keutamaan dalam menyusun strategi dan perencanaan dalam bukunya Fiqh Al Awlawiyyat demi kemenangan jangka panjang. Tidak seperti sesetengah ulama’ di negara ini yang jahil tentang masa depan Islam hingga menidakkan politik Islam, malah dengki dengan hubungan erat antara PAS dengan Pakatan Rakyat.

Ulama’ adalah antara pemangkin untuk kemenagan dalam mana-mana gerakan pembebasan rakyat. Malah banyak perubahan dan revolusi rakyat dalam negara umat Islam dan negara bukan Islam, para pemikir dan ahli spiritual dijadikan rujukan dan pemangkin semangat kepada para pejuang.

Jika diteliti peranan ulama’ sepertimana yang dinyataka oleh Ustaz Abd Ghani Shamsuddin, kita akan melihat bagaimana ulama’ sebenarnya adalah pejuang yang bersikap kontekstual, progresif dan proaktof dengan senario sekitar mereka.

“Para alim ulama perlu meluruskan persepsi umum tentang kebenaran, keadilan dan kebaikan penyelesaian Islam dalam bidang politik dan keamanan seperti mana yang telah terbukti dalam sejarah kegemilangan peradaban Islam berkurun. Mereka perlu mendedahkan penipuan dan konspirasi jahat media tertentu oleh pihak tertentu untuk mencemarkan imej Islam, peradaban Islam, gerakan Islam dan umat Islam. Mereka perlu menampilkan asas dan dasar keadilan Islam, pembelaan terhadap hak asasi manusia dan nilai-nilai peradaban tinggi dan mulia yang boleh menjanjikan keamanan dan kedamaian serantau dan sedunia”. ( kertas kerja PERANAN ULAMA DALAM ERA GLOBALISASI Hj. Abdul Ghani Samsudin 2003)

Dalam banyak karya Dr Yusuf Al qaradhawi, terlalu banyak analisa kritikal yang beliau utarakan antaranya buku berkaitan hakikat Ijtihad, Fiqh Daulah dan kebangkitan Pemuda Islam. Pemikiran ini juga sejajar dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Ustaz Hasrizal berkenaan fungsi ulama’ dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat tanpa mengira isu dengan menggunakan teknik keutamaan amal.

“Para Ulama, pemimpin masyarakat, pendidik dan pendakwah perlu menggunakan menggunakan teori Pareto iaitu, memfokuskan daya usaha kepada subjek 20% yang menjadi punca kepada kerosakan masyarakat yang berlaku pada 80% yang berbaki. 20% yang sepatutnya menjadi tumpuan kita adalah soal penggembelengan tenaga serta kesatuan fikiran dan amal untuk merawat derita oleh racun sekularisma yang telah memutuskan hubung kait hidup mereka dengan Islam”. ( Ustaz Hasrizal jamil 4 Februari 2006, UIA Gombak)

Saya rasa Kerajaan Negeri Selangor telah menjadikan contoh kepada negeri Pakatan Rakyat apabila kunjungan ulama besar antarabangsa itu menumpu di Selangor. Malah Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor menyatakan bagaimana Kerajaan Negeri Selangor mendapat penghormatan daripada Dr Yusuf apabila bersetuju datang ke Shah Alam. Beliau menerangkan bagaimana Usrah di Kediaman Rasmi MB Selangor menggunapakai kitab Fiqh Daulah dari Perspektif al-Quran dan Sunnah yang dikarang Dr Yusuf sendiri sebagai rujukan. Buku ini sarat dengan tektikal dan teknikal seni dalam pengurusan negara serta bagaimana mengurus negeri atau negara yang mana perkongsian kuasa antara kaum bukan islam dengan kaum dominan iaitu Islam. Kepelbagaian parti politik dalam sesebuah negara dianggap sebagai seni transformasi sosial dan wahana penyatuan umat turut menjadi materi buku ini.

Jelas Dr Yusuf juga bukan hadir untuk membodek DSAI yang bukannya jutawan besar negara ini. Namun begitu dalam ucapan Dr Yusuf, beliau menyentuh bagaimana beliau mula mengenali Malaysia menerusi seorang pemimpin ABIM yang baru dibebaskan ISA. Beliau kerap ke Malaysia hinggalah pemimpin tersebut menjadi mangsa pergelutan politik UMNO. Pemimpin tersebut, yang beliau gelarkan al-muftara alaih (yang difitnah) tidak lain dan tidak bukan adalah Anwar Ibrahim.

Kata beliau “Saya mengenali Anwar Ibrahim sejak 25 tahun yang lalu. Ketika itu Anwar adalah presiden Abim. Apabila Anwar menyertai kerajaan, hubungan kami masih akrab. Setelah Anwar difitnah dan dipenjarakan, saya sering mendoakan agar beliau tabah dan tidak mengalah. Sekarang beliau adalah harapan kepada rakyat yang mencintai keadilan dan kemanan sejagat.

“Saya minta tuan-tuan dan puan-puan agar bersama-sama Anwar Ibrahim untuk mengangkat martabat kemanusian yang meletakkan keadilan dan prinsip Islam sebagai asas perjuangan.” Jelas beliau suatu ketika dahulu di Malaysia.

Bagaimana seorang yang bukan warganegara Malaysia boleh tanpa segan dan silu mengaku bahawa DSAI adalah mangsa fitnah? Sebagai ulama’ tersohor yang menjadi rujukan dunia, beliau pasti bersikap tabayyun dalam meneliti segenap isu dan fakta sebelum mengambil sebarang sikap dalam sesuatu isu.

Kesimpulannya, Pakatan Rakyat perlu meneruskan usaha menjadikan ulama’ tersohor sebagai rujukan malah menampilkan kepada dunia bahawa Pakatan Rakyat adalah satu koalasi tenaga dan kuasa untuk kesejahteraan dan keadilan manusia sejagat.



Muhammad Nuruddin Bashah

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)