Dewan Ulamak Pas Perak mengulas kenyataan Harussani 'Pas salah guna Islam'
Dewan
Ulamak Negeri Perak ingin memberikan ulasan mengenai kenyataan Tan Sri
Dato' Seri Haji Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak yang
disiarkan dalam Berita Harian, Isnin, 14 Mei 2012H / 22 Jamadilakhir
1433H. Walaupun menyedari bahawa terdapat kemungkinan sebahagian
daripada yang disiarkan mungkin tidak sebagaimana yang diucapkan
sebagaimana kenyataan-kenyataan beliau yang terdahulu namun bagi pihak
PAS Perak amat perlu menjelaskan bebarapa perkara yang mungkin akan
mengelirukan Umat Islam yang tidak memahami hakikat yang sebenar.
Kenyataan beliau yang mengatakan bahawa Perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan Agama Islam demi kuasa dan kerusi politikadalah
merupakan tuduhan melulu jika tidak diasaskan kepada kajian dan
pembuktian yang lengkap. Adakah beliau benar-benar memahami matlamat
asal PAS dan sudut manakah yang sudah diselewengkan. Adakah beliau
merasakan PAS melakukan sesuatu sesuka hati sedangkan Pas dikawal oleh
Majlis Syura Ulama yang dianggotai oleh para ulamak yang berwibawa dan
setaraf dengan barisan para mufti di negara ini.
Saranan
agar Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan kewajaran parti itu
menggunakan perkataan Islam dalam nama parti adalah merupakan satu
saranan yang hanya akan membuktikan Majlis tersebut hanya mengikut
telunjuk UMNO. Ini kerana bukan hanya PAS sahaja yang menggunakan nama
Islam di negara ini. Apakah badan-badan lain termasuk Jabatan Kemajuan
Islam dan Jabatan Agama Islam wajar menggunakan perkataan Islam
sedangkan sebahagian daripada tindakan agensi kerajaan ini juga tidak
terlepas daripada kesilapan dan dikritik oleh cendiakawan Islam sehingga
menjejaskan nama baik Islam. Kenapa tidak beliau menyarankan agar
tindakan ini dimulakan dengan badan seperti Sister In Islam yang dengan
jelas dianggap oleh beliau selama ini sebagai memusuhi Islam.
Gesaan beliau "kepada
ahli dan penyokong PAS, khususnya yang fanatik dan taksub segera
kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras" tidak
mencerminkan keadaan yang sebenar. Apakah salah bagi seseorang individu
Muslim fanatik dan taksub kepada perjuangan menegakkan Syariat Islam
keran itulah sebenarnya ajaran Islam.Bukankah semua Muslim
diperintahkan agar menerima Islam sepenuhnya termasuk perlaksanaan
Undang-Undang Jenayah Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Islam.
Bukankah lebih wajar beliau menggesa ahli dan penyokong UMNO yang
berterusan mentaati pemimpin mereka yang berterusan mencari alasan untuk
tidak melaksanakan ajaran islam sepenuhnya.
Dewan
Ulamak PAS tidak bersetuju dengan dakwaan beliau bahawa perpecahan Umat
Islam adalah disebabkan oleh sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan
kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya
memperjuangkan Islam. Perpecahan Umat Islam sebenarnya adalah disebabkan
sebahagian daripada mereka yang mengaku sebagai Islam tetapi tidak mahu
patuh sepenuhnya dengan Syariat Islam. Mana mungkin kita mahu mengajak
para pejuang Islam meninggalkan Syariat Islam semata-mata untuk
menyatukan umat.
Keputusan
Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan Himpunan Bersih 3.0, adalah
amat jelas dibuat sebelah mata kerana tidak ada seorangpun wakil
penganjur yang diambil keterangan mengenainya. Kerosakan harta benda dan
kecederaan orang ramai boleh dielakkan jika pihak berkuasa melaksanakan
tanggungjawab mereka bagi mengawal keadaan, bukan menambahkan provokasi
sehingga menimbulkan suasana tegang. Apakah beliau yakin terdapat niat
di pihak penganjur untuk menjatuhkan kerajaan.
Dalam
Islam ulamak juga berselisih pandangan mengenai hukum menjatuhkan
kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yanmg
fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam. Apakah beliau
begitu pasti pemerintah negara ini benar-benar menjaga kebajikan Umat
Islam ataupun hanya menjaga kebajikan Umat Islam yang menjadi penyokong
tegar mereka semata-mata. Peserta Bersih 3.0 yang hanya datang
berbekalkan garam dan tuala kecil amat jauh untuk diistilahkan sebagai "
bughah atau pemberontakan melampau yang menghancurkan negara, sekaligus
membolehkan pemberontak dihukum bunuh" kerana ulamak mensyaratkan bagi
kes Bughah yang boleh di hukum bunuh mestilah pemberontakan tersebut
mempunyai kekuatan dan bersenjata.
Oleh
yang demikian, Dewan Ulamak PAS Negeri Perak menasihatkan agar Tan
Sri Dato' Seri Haji Harussani Zakaria kembali kepada fungsi dan peranan
beliau yang asal sebagai Mufti yang bertanggungjawab menasihati kerajaan
agar tunduk kepada kehendak Allah. Oleh kerana beliau tidak memahami
situasi politik semasa yang begitu mencabar, beliau perlu mengurangkan
ulasan berkaitan politik yang hanya memberi ruang kepada musuh-musuh
Islam untuk menyalahgunakan kenyataan beliau. Jika beliau terus dengan
sikap berat sebelah seperti ini maka kepercayaan Umat Islam terhadap
beliau akan beransur terhakis dan kegemilangan beliau sebagaimana dahulu
yang dihormati sebagai seorang ulamak yang berani dan bijaksana tidak
akan dapat dikembalikan buat selama-lamanya.
Ustaz Ibrahim Zakaria
( Naib Ketua Dewan Ulama' PAS Perak )
Anda mungkin juga meminati:
No comments:
Post a Comment