Rakyat Perak akan bangkit menolak BN dalam PRU 13
Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Lajnah Penerangan PAS Perak
Rakyat negeri Perak kini menunggu masa
untuk membalas kezaliman BN mengguling kerajaan yang mereka pilih apabila
konspirasi menukar pendirian beberapa ADUN Pakatan Rakyat pada awal 2009 lalu.
Dengan peningkatan pengundi di Perak seramai 96 710
sepanjang tahun 2008 hingga 2011, ia bukan alasan untuk BN mengatakan majoriti
mereka bakal bertambah untuk menguasai Bangunan Perak secara selesa. Dalam persidangan
Dewan Negara 25 April 2012 lalu, kita juga maklum bahawa seramai 2,270,002
pengundi baru didaftarkan dari 2008 hingga 2011 dengan kaum Melayu pemilih baru
tertinggi di seluruh negara.
BN cukup gelabah dan takut dengan kebangkitan rakyat.
Dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat Negeri Perak
yang diadakan di Seri Iskandar baru-baru ini, dikatakan para HEP beberapa
kampus berdekatan Ipoh dan Seri Iskandar melarang mahasiswa mereka untuk hadir
malah ada yang diberi amaran lisan. Namun mereka gagal menyekat mata mahasiswa
menyaksikan dan menyertai himpunan secara maya kerana mereka memang gagal
menyekat media sosial daripada bertindak memberi maklumat kepada anak muda di
kampus.
Cukup meresahkan Zambry dan jenteranya apabila kehadiran
di himpunan tersebut mencecah 20 ribu
orang sejak waktu petang lagi. Walaupun hujan turun agak lebat pada sekitar
pukul 9 malam kehadiran semakin mampat dan padat!
BN takutkan rakyat yang bijak inginkan perubahan ke
arah kebaikan. Di Selangor PM kita berkempen agar membuat perubahan dan
meninggalkan Pakatan rakyat. Di Pekan Pahang lain pula bunyinya. Perdana
Menteri memberi ‘nasihat’ agar rakyat jangan terburu-buru membuat perubahan
yang dikatakan beliau belum tentu ada kebaikan.
Perdana Menteri berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang
dihoskan beliau dan isterinya yang tercinta di Taman Tasik Sultan Abu Bakar.
Kata beliau ada juga perubahan yang dilakukan membawa
kepada sesuatu yang tidak dijangka malah lebih buruk dari apa yang kita kecapi
hari ini.
Pelik apabila beliau berkata :
·
“Kita dalam Barisan Nasional bukan nak bawa
perubahan tapi nak sesuatu yang lebih baik.
·
“Justeru saya meminta rakyat supaya tidak membuat
‘perubahan’ yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada
mereka,” katanya.
Ini isyarat bahawa BN tidak akan mereformasi akhlak
pemimpin, tidak akan berkeras dengan rasuah dan korupsi dan tidak akan berusaha
memartabat agama sendiri secara kaffah kerana ia smemangnya bukan teras
persefahaman perjuangan BN sebuah kolaborasi parti komunalisme dan perkauman.
Kehadiran puluhan ribu golongan anak muda ke Himpunan
Kebangkitan Rakyat ( HKR ) pada 12 Januari lalu di Stadiuam Merdeka dan kawasan
sekitarnya telah memberi gambaran jelas dan tepat bahawa anak muda kini mahukan perubahan pentadbiran dan
pemerintahan negara ini.
Walaupun ramai beranggapan dalam beberapa kajian bahawa
terdapat penurunan sentimen kemarahan
rakyat berhubung tindakan BN merampas kerajaan negeri, namun isu rasuah, salah
guna wang dan tender tidak telus, projek membazir, isu tanah rezab tergadai,
retorik AmanJaya yang tidak memberi impak kepada anak muda menyebabkan anak
muda Perak bakal menunjukkan kuasa undi mereka yang pasti mengejutkan BN.
Kajian oleh Zentrum Future Studies mengenai
perkembangan politik di Perak mendapati menteri besar yang disingkirkan Datuk
Seri Nizar Jamaluddin sebenarnya terus
kekal sebagai tokoh pemimpin yang disegani dan diperlukan oleh seluruh rakyat
Perak malah amat disanjungi oleh anak muda. Wujudnya persefahaman kuat dalam
Pakatan untuk menobatkan Nizar sebagai MB cukup meyakinkan rakyat untuk memberi
mandat kepada Pakatan Rakyat sekali lagi.
Lebih membanggakan daripada kajian yang dijalankan oleh
Zentrum di Perak jelas menunjukkan orang-orang Cina tetap tidak berganjak
daripada terus menyokong Pakatan Rakyat. Ini sememangnya satu petunjuk yang
cukup baik kepada Pakatan Rakyat.
Kajian pada 2010 mendapati sokongan orang Cina terhadap
Pakatan Rakyat di Perak terus kekal sebanyak 40 peratus.
Pakatan Rakyat hanya perlu menarik sokongan 20 peratus
sahaja dari orang Melayu bagi membolehkan Pakatan Rakyat memerintah di Perak,
manakala angka sekecil itu bukanlah sesuatu yang sukar dicapai jika usaha yang
dilakukan itu berjaya menarik perhatian orang Melayu.
Rakyat Perak bukan rakyat bodoh dan tengin! Mereka juga
membaca, berdiskusi malah cakna dengan isu-isu semasa terutama yang meibatkan
suvival bangsa melayu dan agama Islam bagi kaum Melayu, manakala isu berkenaan
keadilan hak bagi kaum bukan Melayu.
Menurut Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya,
Universiti Malaya (UMCEDEL) dalam pembentangan kajian mengenai pengundi
menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 menekankan isu integriti dan salahguna
kuasa melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) antara punca utama akan
menjejaskan sokongan rakyat kepada mereka. Pendedahan ini menyebabkan media
sosial UMNO dan BN menggelarkan pengarah UMCEDEL sebagai alat kepada Pakatan
Rakyat.
Sebelum ini Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar
Hussain, juga menulis dalam blog beliau menggesa supaya semua rakyat Malaysia
melihat isu yang timbul sekarang sebagai sebab untuk menolak kerajaan yang
dipimpin BN dan menukar kepada kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat bukan statik
tanpa respon terhadap hak sendiri.
Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman
berkata hasil penemuan terkini daripada
26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013 mendapati masyarakat masih lagi peka
dan mengambil tahu tentang skandal melibatkan pemimpin BN.
Mereka juga mendapati majoriti 95% masyarakat kaum Cina
mengatakan isu integriti dan salahguna kuasa akan menyebabkan sokongan kepada
kerajaan BN akan merosot, sekaligus memberikan petanda bahawa parti komponen
MCA berdepan dengan kesukaran untuk mendapat semula kerusi mereka. Walaupun
selantang mana amanat Muhyidin Yasin kepada jentera BN serata Malaysia, soalnya
isu-isu skandal masih dituntut pejelasan oleh rakyat.
Sokongan untuk Pakatan hanya bermula dengan Pakatan
18%, BN 43% (Disember 2011),
Pakatan 21%, BN
49% (April 2012)
Pakatan 30%, BN
44% (September 2012)
Terkini Pakatan 37% dan BN turun kepada 42% manakala 21% lagi
masih atas pagar. (Januari 2013)
Golongan atas pagar
masih menjadi penentu iaitu sebanyak 21% tersebut. Siapa yang tergolong dalam
kelompok 21% ini? Jika dipecah kepada pecahan bangsa, paling tinggi adalah golongan
Tionghua iaitu 53%.
Bukti rakyat Perak akan bangkit dalam PRU 13 jelas
apabila kajian mendapati kedudukan Zambry tidak selamat kerana yang mengatakan pentadbiran
beliau buruk sebanyak 33% berbanding dengan hanya 14% yang mengatakan baik.
Di Perak 56% kaum Melayu masih menyokong BN, manakala
hanya 12% sokong PR dan 32% tidak pasti.Melayu yang masih ‘tidak pasti’ ini
akan mencetus fenomena di saat akhir pengundian.
UMNO kerap berkempen di Perak bahawa hak melayu akan
hilang jika PAS yang difitnah diperkuda DAP memerintah. Hakikatnya 54% kaum
Melayu kini percaya PAS mampu menjaga kepentingan Melayu Perak, manakala hanya 19% sahaja yang tidak percaya.
Lebih tenat, kini 45% daripada rakyat Perak sudah
hilang percaya kepada BN. Hal ini yang
tidak mampu diterima oleh BN Perak. Masih ada 38% rakyat Perak pelbagai kaum percaya
jasa BN dan selebihnya tidak pasti.
UMNO suka mendewakan calon tempatan, yang ada hubungan
adik beradik, yang kerap membantu keluarga dan kampunmg sendiri sebagai ‘advantage’
menang dalam saban pilihanraya. BN juga kerap mengkritik pembangkang yang
meletak calon bukan anak tempatan.
Ironinya kini 52% rakyat Perak ingin mengundi kerana
Parti, manakala hanya 43% sahaja yang masih mahu menilai calon. Bermakna,
rakyat Perak sudah boleh membezakan dasar perjuangan sesuatu Parti yang memberi
impak kepada pentadbiran sama ada baik atau tidak berbanding hanya melihat
siapa calon.
Lebih menarik lebih 86% rakyat Perak sudah membuat keputusan
untuk memilih parti yang diidamkan manakala selebihnya masih mennti-nanti ilham.