21 Oktober 2013- Sungai Limau
Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
Sejak Pilihanraya bermula tidak termasuk pilihanraya tahun 1955, DUN Sungai Limau atau nama lamanya DUN Sala adalah DUN yang sinonim dengan PAS.
"Daripada sekian lama pilihanraya umum, PAS berjaya mengekalkan kemenangan 9 kali manakala UMNO hanya berjaya menguasainya sebanyak 4 kali sahaja. Dan kehadiran Tuan-tuan dan puan-puan daripada negeri Perak ini adalah untuk merealisasikan hasrat kami jentera PAS Kedah untuk menjadikan kejayaan PAS kali ke 10" ucap ADUN Anak Bukit Datuk Ir Amiruddin Hamzah semasa merasmikan majlis silaturahim jentera Pas UPU Simpang 3 dan Selengkoh dengan para petugas dari negeri Perak kelmarin.
Ir Amiruddin yang juga merupakan ketua pembangkan Dewan Undangan Negeri Kedah turut menyatakan bahawa para petugas perlu bersiap sedia untuk menghadapi jentera UMNO tempatan yang dibantu oleh UMNO Bahagian Padang Terap bersama UMNO Negeri Sabah yang akan menjadi perayu dan pengempen sepanjang bertugas di UPU berkenaan.
DUN Sungai Limau memiliki 19 UPU dan petugas PAS Perak akan beraksi memastikan UPU yang mengalami peningkatan undi UMNO ini kembali menjadi UPU tegar PAS.
Ir Amiruddin juga menyeru agar para petugas menjalinkan ukhuwah serta menyatakan pilihanraya kecil merupakan suatu medan tarbiah dan ukhuwah yang efisyen.
"Telah ramai yang berbesan sepertimana petugas PAS Sungai Limau dengan petugas daripada Besut suatu ketika dahulu. Malah ada yang sanggup datang memanggil kenduri dari Besut ke Kedah semata-mata jalinan silaturahim yang tercetus sepanjang bertugas di medan pilihanraya kecil.
Ustaz Nazri Din selaku wakil jentera PAS Perak pula mengucapkan terima kasih kepada pihak cawangan dan UPU yang sanggup menginfak rumah tanpa bayaran kepada jentera. Beliau turut menekankan betapa kerja yang rapi lebih baik daripada bekerja keras terutama dalam menghadapi politik pragmatis UMNO.
" UMNO memiliki barisan jentera yang paling tidak tahu malu dan jemu. Jika kita berjaya sasarkan 700 pengundi dalam culaan mereka rupanaya berjaya melebihi beberapa ratus daripada kita hanya melalui kegiatan cula dan perayu undi yang tidak kenal malu dan jemu. Di Perak ada kawasan tertentu berjaya ditamatkan saluran satu dalam masa beberapa jam selepas pengundian bermula kerana mereka pergi ke setiap rumah warga emas tanpa gagal", jelas beliau.
Ustaz Nazri juga menyatakan kerjasama erat perlu dilakukan antara petugas Perak dengan petugas tempatan untuk melicinkan kerja kempen dan ziarah. Antara kawasan yang hadir untuk gelombang pertama ke DUN Sungai Limau adalah Kawasan Lumut, Tanjung Malim, Teluk Intan, Gopeng dan Tapah.