Pengawal Tembak Pegawai Bank- Sekali Lagi Korupsi jadi Subjek
Pengalaman penulis dengan isu ‘arm guard’ yang menembak mati pertama kali ada semasa bertugas di salah sebuah kilang foundri terkenal di Ipoh. Kes mencuri besi yang menjadi-jadi sepanjang kilang beroperasi malah ramai pekerja melihat pencuri dengan selamba menceroboh kilang dan ada yang tidak berani membuat laporan kerana ada pencuri yang membawa senjata tajam bersama. Dalam kes yang berlaku sekitar 2 tahun lalu di Ipoh, ‘arm guard’ berkenaan terpaksa melepaskan tembakan kerana penceroboh berkenaan membawa senjata tajam. Pada penulis ia adalah wajar.
Dalam kes malang yang menimpa Allayarhamah Norazita Abu Talib Pengurus AM Bank USJ Sentral 2 ia berlainan. Ia isu harapkan pagar, pagar makan padi. Kekejaman pembunuh alias perompak dan penjenayah malah penipu (kerana IC palsu digunakan) mendapat kutukan jutaan rakyat Malaysia.
Isunya siapa yang memilih ‘pagar’ berkenaan. Siapa yang menggajikan ‘pagar’ berkenaan. Kenapa individu dengan IC pasu boleh diambil bekerja sebagai ‘arm guard’ yang rata-rata syarikat memilih pesara komando atau tentera yang jujur serta arif dalam hal persenjataan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, 3 ahli keluarga pembunuh pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, diberkas pada lewat hari Rabu lalu. Turut dirampas, wang tunai RM20,000 dipercayai sebahagian daripada hasil rompakan. Insya Allah doa rakyat agar pembunuh alias penipu dan perompak berkenaan dapat ditangkap sesegera mungkin tanpa ada sebarang masalah.
Lebih pantas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan kenyataan membatalkan lesen syarikat kawalan keselamatan yang menggaji pengawal keselamatan terlibat dalam kejadian berkenaan. Kata Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) KDN Datuk Alwi Ibrahim syarikat (yang dirahsiakan nama) berkenaan didapati gagal mematuhi syarat dan peraturan pengendalian serta pengurusan agensi persendirian di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.
Bagaimana ‘pagar’ yang diharapkan itu boleh diambil bekerja walaupun tanpa memiliki lesen senjata api?
Penulis tidak mahu mengheret isu ini kepada pertuduhan rawak mengaitkan Datuk itu dan Datuk ini dengan syarikat keselamatan berkenaan. Hal itu masih samar.
Cuma dalam hal sebegini, rakyat yang ‘sedar’ dan celik serta berfikiran waras rasa semakin terancam berada dalam negara sendiri.
Ya KDN sekarang sibuk mengaudit secara menyeluruh terhadap 125 buah syarikat-syarikat keselamatan yang memiliki ‘arm guard’ yang berdaftar bawah Lesen Agensi Persendirian. Namun yang pelik dan aneh adakah audit hanya dilaksanakan selepas negara kecoh dengan kes zalim ini? Atau ia memang polisi yang mantap dan tegas di bawah seliaan KDN sedangkan rata-rata rakyat faham polisi kerja ‘agensi kerajaan’ seperti KDN.
Sebenarnya pendedahan demi pendedahan Ketua Audit Negara cukup memahamkan rakyat betapa korupsi adalah punca segala petaka dalam negara. Ia bukan soal ISA dimansuhkan yang mengakibatkan jenayah meningkat seperti mana kepercayaan sesetengah pemimpin negara kita.
Dalam Laporan Ketua Audit 2012, dinyatakan 309 barangan dalam bentuk senjata api, gari dan kenderaan yang didapati hilang. Ya Pak Menteri telah beri amaran agar isu ini tidak dimanipulasi, diheret dalam media sosial atau jadi topik perbahasan awam. Kita juga tidak pasti bagaimana senjata hilang da mungkin ada kesilapan yang tidak disengajakan. Persoalannya adalah isu pemantauan.
Rakyat tidak akan percaya KDN mampu memantau sejumlah besar syarikat yang memiliki ‘arm guard’ dengan mudah jika melihatkan prestasi korupsi, penyelewengan dan ketirisan dalam Laporan Audit Negara 2-3 tahun kebelakangan ini.
Sistem pengadilan, penguatkuasa dan agensi kerajaan sudah dilihat berlumpur di mata rakyat malah ia menjadi buah mulut antarabangsa.
Polis memang cekap menangkap penjenayah malah kecekapan polis Malaysia boleh dianggap setanding dengan kehebatan polis Israel dan Amerika Syarikat dalam hal mengesan penjenayah. Lihat bagaimana kes Canny Ong dan Noor Suzaily Mukhtar diselesaikan. Ada titik nokhtah.
Tetapi bagaimana dengan kes skandal PKFZ? Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar berjumlah RM1.08 bilion bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Dr Ling telah dibebaskan, siapakah pula yang harus dipersalahkan di atas kehilangan wang negara sebanyak RM 12 bilion?
Begitu juga kes pembunuhan paling tragis iaitu dibom dengan bom C4 yang tidak boleh didapati melalui pasar malam. Namun kes ini buntu seolah-olah polis tidak mampu mencari bukti lagi. Atau dalam bahasa yang awam fahami, polis tidak mampu heret individu yang mengarah dua polis untuk terlibat dalam pembunuhan Altantuya malang tersebut. Jadi kesimpulannya Altantuya bunuh diri dengan mengembom diri sendiri sedangkan cara mudah bunuh diri bagi seorang wanita muda adalah menelan pil tidur, lompat ke dalam laut atau duduk di rel keretapi, lebih efisyen dan mudah. Akan tetapi itulah yang berlaku.
Statistik jenayah yang menurun bukan tiket untuk kerajaan menutup mida rakyat mengenali hakikat sebenar taraf keselamatan dan keamanan di negara kita. Jika di Amerika Syarikat kadar jenayah dan tembak rawak menjadi-jadi. Natijahnya syarikat senjata dan persatuan senjata NRA mengaut keuntungan menjual senjata besar-besaran secara online ala-ala jualan langsung. Rakyat Amerika sendiri menolak kempen Obama untuk mengharamkan atau mengawal pemilikan senjata peribadi kerana rakyat Amerika sendiri tidak yakin dengan tahap keselamatan di bawah negara polis dunia tersebut.
Kini mungkin simptom ketidakyakinan itu menular ke nagara kita. Buktinya hari ini permintaan terhadap pengawal peribadi bersenjata meningkat berikutan insiden tembakan. Kebanyakan tokoh perniagaan terkemuka, melanggan kira-kira 600 pengawal peribadi terlatih di negara ini. Bagaimana rakyat ingin yakin jika senjata polis juga tidak direkod dengan baik?
Kes pengawal keselamatan yang sedang diburu ini juga menjadi perhatian rakyat kerana isu IC palsu. Rakyat tahu IC palsulah syafaat besar yang memenangkan BN di Sabah malah di Semenanjung. Pendedahan berkenaan kerakyatan mudah kepada warga asing tidak terjawab. Penjenayah Sulu juga sukar dibenteras kerana kemampuan warga Sulu dari Filipina mendapatkan IC palsu dengan mudah.
Persoalan ang ditimbul oleh Ketua Penerangan PAS Pusat cukup baik untuk direnungi;
Apakah syarikat keselamatan berkenaan tidak tahu menyemak maklumat pekerja yang digajinya dengan Jabatan Pendaftaran Negara?
Bagaimana bayaran gaji dan KWSP dibuat?
Apakah penjenayah itu mempunyai akaun Wang Simpanan Pekerja KWSP.
.Sekiranya penjenayah tersebut dikatakan memiliki IC palsu, jadi berapa lagi yang pengawal keselamatan dapat bekerja dengan menipu IC mereka.
Muhammad Nuruddin Bashah
AJK DPPK Gopeng