Sunday, October 27, 2013

Utamakan Syiar Bukan Politik-kempen murahan UMNO di Sungai Limau


Utamakan Syiar Bukan Politik-kempen murahan UMNO di Sungai Limau

'Syiar Islam lebih penting dari politik' demikian tajuk salah satu berita Sinar Harian yang penulis akses melalui talian. Sekaligus minda dan kefahaman penulis menolak segera tajuk berita ini kerana ia adalah bercanggah dengan kebenaran dan hakikat istilah yang digunakan.

Perkara yang ingin disentuh di sini adalah istilah Syiar Islam dan Istilah Politik atau nama lain Siasah.

Menjadi lumrah pemimpin, ketumbukan, kultus, parti atau firqah sekular untuk menjenamakan agama dengan istilah Syiar sedangkan syiar adalah sebahagian kecil daripada sistem agama Islam itu sendiri.

Majoriti ulama’ meletak istilah syiar sebagai perlambagan atau simbol yang menampilkan keizahan dan kekuatan Islam. Kubah masjid, penampilan seni islam, pakaian Islam, penampilan umat ilam, musabaqah Al Quran atau apa sahaja aktiviti yang menaikkan nama Islam dinamakan syiar.

Namun dalam kefahaman yang mendalam segala syariat yang diamal sehingga menjadi simbolik kewujudan Islam dan keutuhannya juga dianggap syiar demikian dinyatakan oleh Al Qaradhawi dalam kitabnya Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam.

Golongan sekular atau golongan yang canggung dengan kesyumulan Islam tidak gemarkan istilah syariat. Istilah syariat memerlukan komitmen. Komitmen melaksanakan Islam secara kaffah (menyeluruh), kewajipan menegakkan kekuasaan islam atas nama syariat Islam bukan atas nama ketuanan melayu atau ketuanan bangsa lain.

Hal ini menyebabkan para menteri Malaysia kekok menyebut syariat. Maka mereka menjadi penyokong syiar sahaja. Matlamat perjuangan UMNO juga untuk syiar Islam bukan memperjuangkan syariat secara menyeluruh.

Justeru   mengungkit jasa kerajaan pusat memberi bantuan kepada institusi keagamaan di negeri Kedah dijadikan bahan kempen di DUN Sungai Limau, maka jasa menaikkan syiar di Kedah menjadi topik kempen Timbalan Perdana Menteri kita.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membantu sekolah agama dan pondok yang memang memerlukan bantuan walaupun rakyat Kedah yang tidak pekak mahupun tuli cukup jelas tahu bahawa UMNO yang kini kembali menguasai Kedah sedang menjalankan dasar menindas perkembangan pengajian islam yang PAS dan Pakatan Rakyat bangunkan 5 tahun sebelum ini.

Hal ini dikuatkan hujah  dengan pengisytiharaan beberapa hujah Ulama’ Kedah Menolak BN pada April 2013 yang lalu. Nadwah yang dihadiri lebih 400 alim ulama dan 16 NGO Islam seluruh negara berlangsung di Alor Setar menyatakan bahawa ;

1. BN mempertajamkan sentimen agama dengan membiar pihak tertentu untuk menimbulkan konflik,

2. Sentimen perkauman sempit  semakin diapi-apikan oleh BN yang akan menghancurkan negara.

4. Status agama Islam tidak bertambahbaik malah semakin terjejas akibat dasar nasionalisme sempit dan faham sekular yang diamalkan oleh pemerintah.

5. Membenarkan politik lucah, politik wang dan politik mengaibkan yang semakin mengotorkan demokrasi,

8. Membenarkan penghakisan budaya hidup dan kelunturan aqidah umat Islam dan kerosakan moral masyarakat yang semakin parah, dan banyak lagi resolusi dan ketetapan Nadwah yang mengajak rakyat Kedah faham serta sedar berkenaan petaka yang sedang di bawa oleh ‘bagasi Penjajah’ bernama UMNO.

Beliau turut mengimbas pertemuannya dengan pimpinan sebuah pondok di Batu 16 Yan awal tahun ini yang mengeluh kerana diabaikan di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Kenyataan Muhyidin yang menyokong syiar dan kononnya tidak mengutamakan politik jelas suatu kenyataan yang cukup jahil bagi seorang individu berketurunan ulama’ seperti beliau.

Politik adalah syariat Islam malah ia adalah syarat utama kelangsungan segala ibadat, syariat dan amal Islam umat islam.

Kata Al Qaradhawi dalam kitabnya Agama dan Politik,

“ Salah satu sasaran orang sekular adalah jangan sampai agama Islam memiliki negara yang secara terang terangan mengatasnamakan keislamannya, berani mengangkat bendera keislamannya, menerap hukum-hukum islam terhadap umat islam, menyampaikan risalah Islam dan membela tanahair di hadapan musuh-musuh Islam. Menurut mereka Islam hanya mengandungi spiritual, tidak lebih daripada ajaran yang mengatur hubungan agama dan tuhannya....”

Jika syiar Islam hebat, musabaqah menang saban tahun sekalipun tidak berguna jika urusniaga riba menjadi keutamaan, perlaburan judi dan arah menjadi sumber rezeki penjawat awam, hukum jenayah Islam tidak mahu dilaksanakan sebaliknya dihina dan seolah-olah dianggap Tuhan pencipta kanun berkenaan tidak pandai.

Mengungkit pemberian kerajaan pusat dengan mengatakan UMNO mengutamakan syiar berbanding politik hanyalah tindakan yang menampilkan hakikat perjuangan UMNO.  UMNO lah yang sebenarnya menggunakan subjek agama untuk politik. Semasa menjemput penyanyi seksi K-Pop dengan bayaran jutaan ringgit tidak pula pemimpin UMNO mengaitkan isu dosa dan pahala. Itu buktinya subjek agama bukan subjek perjuangan UMNO.

Jika bukan kerana pembubaran DUN Sungai Limau, mahukah UMNO menyalurkan bantuan kepada sekolah pondok hanya sepanjang pilihanraya kecil itu sahaja? Malah lebih malang sekolah agama yang sama dikunjungi Muhyidin semasa kempen PRU ke-13 lalu da hanya kini susulan kunjungan dilakukan. Jika tidak, mestilah UMNO hanya hadir 5 tahun akan datang untuk berlakon mengambil berat tentang sekolah dan pengajian agama.

Di Kedah mereka berkempen isu syiar. Di Kelantan disebabkan rakyat Kelantan rata-ratanya mengaji dan faham agama, mereka katakan pula Islam yang kami ingin bawa membawa kemajuan dan pembangunan. Hujah dan kempen mereka berbolak balik, pragmatik dan jelas niat sebenar hanyalah politik untuk diri sendiri.

Al-Quran mengesahkan bahawa cabaran yang dihadapi oleh para Rasul sejak Nabi Nuh AS sehinggalah Rasul akhir zaman Muhammad SAW menghadapi penyelewengan akidah dan politik.  Politik menjadikan syariat itu dinobatkan.

Kata Presiden PAS melalui Harakahdaily, “Dalam aspek agama berlakunya syirik dalam perkara akidah dan ibadah. Dalam aspek politik lahirnya ketua negara yang berlagak tuhan serta golongan al-mala’ yang berkuasa mutlak, menolak syariat Allah dan mencipta undang-undang dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah Taala”.



Atas dendam politik Mukriz dan BN Kedah sanggup tanggung pembayaran gaji pekerja KUIN seramai 268 amat mendukacitakan pengundi BN sendiri yang faham isu KUIN.

Tindakan untuk menjual atau menyewa Kampus KUIN Kuala Ketil yang tersergam indah dan kembali ke kampus lama Mergong juga adalah tidakan menyusahkan dan mengundurkan pendidikan Islam di Kedah.


Tindakan Mukhriz juga bercanggah dengan kempen indah Muhyidin apabila BN Kedah membeku projek Pusat Tahfiz Sains. Maahad Tahfiz Sains Darul Aman diperuntukan tanah seluas 30 ekar  bersama penyediaan pelan bangunan di Pulau Tuba dan ianya dijangkakan siap dan boleh memulakan sesi pengajian pada tahun 2015. Kini kita hanya menunggu para kontraktor menarik diri akibat penangguhan yang tidak munasabah sekaligus menyaksikan impian Tan Sri Ustaz Azizan membangunkan generasi sains celik Al Quran di Kedah berkubur.

Muhammad Nuruddin Bashah
Unit Media Pusat Khidmat ADUN Sungai Rapat

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)