Tuesday, November 26, 2013

Kenyataan Media - KERAJAAN PERLU PASTIKAN BAJET SAMPAI KE SASARAN DENGAN TELUS DAN SAKSAMA


KENYATAAN MEDIA ADUN SUNGAI RAPAT
26 NOV 2013

KERAJAAN PERLU PASTIKAN BAJET SAMPAI KE SASARAN DENGAN TELUS DAN SAKSAMA

Saya menyambut baik harapan kerajaan Negeri Perak yang diterajui oleh Dato’ Seri Zambry Abd Kadir yang ingin menjadikan peruntukan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM338.98 juta dalam Bajet 2014 Negeri Perak untuk memenuhi keperluan rakyat sekaligus menepati janji kerajaan selama ini.

Daripada peruntukan RM3 juta melalui Skim Tabaruk sehinggalah bajet RM 5 juta untuk perumahan rakyat, saya melihat banyak penambahbaikan peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan khusus untuk rakyat bawahan berbanding tahun-tahun yang lalu.

Namun begitu saya suka untuk mengingatkan kerajaan agar memastikan perjalanan aliran wang berkenaan benar-benar sampai ke akar umbi dan kepada yang berhak.

Dalam hal yang sama saya juga mengingatkan kerajaan agar berhemat dalam membelanjakan Bajet mengurus iaitu sekitar  RM673.63 juta kerana bajet ini sememangnya lebih berbanding bajet untuk pembangunan yang bakal dirasai oleh rakyat.

Pembaziran adalah suatu kemungkaran. Kerajaan perlu memantau sekiranya ada sisa baki projek mewah yang membazirkan kekayaan negeri perlu dihentikan dan dikaji semula. Kesemua acara rasmi kerajaan yang hanya melibatkan kemegaha inter eksekutif dan elit perlu dikawal sebaik mungkin. Lebih telus kerajaan perlu mewar-warkan sebarang bajet untuk aktivit mega dalam sidang DUN agar kesemua wakil rakyat mampu menjadi check and balance yang baik sesuai dengan kehendak sistem demokrasi negara kita ini.

Berbanding tahun lalu, peningkatan bajet untuk pengurusan adalah sekitar 7.5 peratus manakala bajet untuk pembangunan adalah sekitar 5 peratus. Peningkatan bajet pengurusan yang lebih tinggi inilah yang perlu diambil berat oleh semua kepimpinan kerajaan mahupun pembangkang agar ia tidak disalahgunakan.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian YAB Dato’ Seri Menteri Besar untuk memperuntukkan  RM3,000 sebulan kepada 59 pusat khidmat ADUN bermula tahun hadapan termasuk kawasan yang diwakili ADUN pembangkang. Namun begitu alangkah adilnya jika peruntukan geran RM 250 ribu yang diperuntukkan kepada wakil rakyat pemerintah juga dianugerahkan kepada wakil rakyat pembangkang yang juga merupakan rakyat negeri Perak ini. Hal ini adalah kerana geran bernilai tinggi itu mampu memakmurkan kawasan-kawasan seluruh Perak jika ia disalurkan kepada yang berhak dan memerlukan. Budaya menjadikan Bajet dan peruntukan wakil rakyat yang dijadikan pesta meraikan kroni dan penyokong sahaja perlu ditamatkan.

Bersempena perbahasan bajet ini juga saya yang terpilih untuk menggangotai Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK)  Pengangkutan Awam MMK bagi Menangani Jenayah juga menggesa kerajaan negeri untuk turut sama menyertakan atau melibatkan wakil rakyat pembangkang dalam Jawatankuasa Tindakan Majlis Daerah dan juga dalam hal ehwal pengurusan GLC. Sepertimana yang diketahui umum, GLC adalah nadi kerajaan negeri dan sumber untuk memastikan bajet defisit negeri kita ini kembali pulih melalui pemerkasaan dan memaksimakan potensi GLC di negeri Perak.

Y.B Radzi Zainon
ADUN Sungai Rapat

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)