Friday, November 15, 2013

Lagi isu setinggan; Harga premium mahal, tanah kecil pula yang diberi


13 Nov 2013- Ipoh

Satu sesi lawatan antara YB Us Radzi dan YB Howard Lee, ADUN Pasir Pinji ke Kg Sri Keramat, Kg Sri Murni dan Kg Tok Cendang -Kampung Setinggan, Pasir Putih Ipoh diadakan pada 13 Nov bertujuan untuk meninjau penempatan semula bekas penghuni setinggan.

YB Radzi yang terkenal dengan perjuangan membela rakyat setinggan meninjau dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan penempatan semula bekas penghuni kampung-kampung setinggan, iaitu Kg Sri Murni, Kg Tok Cendang dan Kg Sri Keramat yang melebihi 300 orang. Ramai yang masih resah dan mengeluh panjang dengan nasib yang menimpa mereka kerana projek penempatan semula ini memakan masa yang terlalu lama untuk diselesaikan dan disempurnakan, kira-kira sejak zaman Pakatan Rakyat mengetuai kerajaan Perak pada 2008 lagi.  

Pada ketika itu, Dato Seri Nizar telah berkesempatan melawat kampung-kampung ini dan memberi komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Namun kerajaan PR tidak bertahan lama setelah berlaku rampasan kuasa.   Ada yang menghuni di sini telah melebihi 30 tahun, namun semasa zaman Pakatan Rakyat memerintahlah nasib mereka mula diambil peduli.

Kawasan tiga kampung berkembar berkeluasan 84 ekar ini sangat strategik di tengah-tengah kawasan pembangunan baru Station 18 dalam Bandaraya Ipoh.    Oleh itu, ia menjadi kawasan hartanah bernilai tinggi. Namun nasib bekas penghuni setinggan terus tidak menentu kerana untuk mendapatkan satu lot tanah mereka terpaksa menyediakan hampir RM10,000 untuk penyediaan tapak dan bayaran premium. Tambahan pula tapaknya jauh lebih kecil daripada yang dijanjikan iaitu hanya berkeluasan 45×70 kaki sahaja, sedangkan yang dipersetujui bersama-sama pada asalnya 50×80 kaki.    

Bagi golongan yang telah lanjut usia dan tidak berkemampuan, mereka mungkin "terpaksa" melupakan angan-angan dan cita-cita mereka untuk mendapat sekeping tanah bergeran di sini walaupun telah hidup dan turut membesarkan anak-anak mereka di kampung setinggan ini sejak sekian lama.


Tiada siapa yang mampu membela mereka. Mereka bagaikan telah terjatuh ditimpa tangga pula. Hanya kerajaan yang benar-benar berkebajikan dan prihatin akan nasib mereka mampu membela mereka. Adakah kerajaan BN mampu, kita tunggu dan lihatlah kesudahannya. Kami hanya mampu membawa kisah duka mereka.







Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)