Pekerja Swasta Domain Terbanyak- Pakatan Perlu Beri Perhatian
Penulis sebagai salah seorang perwakilan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Perak cukup teruja dengan hujah perwakilan daripada Pasir Salak. Beliau berhujah berkenaan salah fokus Pakatan Rakyat dan PAS terutamanya dalam memenangi domain rakyat terbanyak.
Beliau berhujah berkenaan penumpuan manifesto kerajaan mahupun Pakatan Rakyat hanya memberi fokus manfaat kepada golongan penjawat awam dengan mengabai pelbagai aspek penting sektor swasta.
Pekerja sektor swasta adalah majoriti di kalangan pengundi Malaysia dan fakta yang beliau berikan adalah benar.
Menurut statistik September 2012 tenaga kerja Malaysia mencecah 12.96 juta. Lebih daripada 50% atau 6 juta terdiri daripada pekerja-pekerja dalam sektor swasta.
Manakala jumlah penjawat awam hanya seramai 1.42 juta sahaja. Komposisi sebegini menyebabkan penulis menyokong perwakilan tersebut yang kurang bersetuju dengan janji Pakatan rakyat untuk memberi imbuhan RM 500 kepada penjawat awam dengan tiada imbuhan atau kemudahan tambahan untuk pekerja swasta.
Ketika kerajaan pusat BN meniru tindakan bijak Tuan Guru Nik Abd Aziz di Kelantan yang mengadakan cuti bersalin sebanyak 30 hari, pihak majikan swasta masih ramai yang memperuntuk cuti bersalin hanya sebanyak 2 bulan.
Pada tahun 2010, Kementerian Sumber Manusia menyatakan bahawa tiada hasrat meminda undang-undang bagi menambah cuti bersalin pekerja swasta daripada 60 hari kepada 90 hari seperti dituntut Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).
Untuk menarik perhatian pekerja swasta mengapa tidak Pakatan Rakyat menjanjikan lebih cuti bersalin kepada pekerja swasta wanita?
Malah Satu kajian Dr Mohd Aizat Othman dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dibentangkan di Persidangan Ekonomi Kebangsaan Malaysia (PERKEM) pada tahun 2012 mendapati pekerja wanita di sektor swasta dibayar gaji lebih rendah berbanding pekerja lelaki untuk bebanan kerja dan tanggungjawab yang sama. Inilah domain kebajikan yang perlu diberi perhatian.
Cuti adalah suatu kebajikan untuk memastikan pekerja kekal hidup dalam suasana seimbang, manusiawi serta harmoni. Cuti adalah masa untuk pekerja melepas tekanan, bergaul mesra dengan kaum keluarga serta mengambil tahu hal masyarakat dan kejiranan.
Mengikut Akta Pekerjaan 1955, cuti tahunan minima bagi pekerja yang bekerja 1 tahun dan lebih dan kurang dari 2 tahun adalah 8 hari. 2 tahun lebih dan kurang dari 5 tahun cutinya adalah 12 hari dan lebih 5 tahun cutinya adalah 16 hari. Manakala cuti bagi kakitangan kerajaan pula adalah 25 hari (minimum).
Selaim jumlah domian pekerja swasta lebih besar, produktiviti dan sumbangan sektor swasta terhadap ekonomi negara amat perlu diambil perhatian. Perlaburan Swasa misalnya yang disumbang oleh swasta sebanyak 60 peratus tahun 2012 dan halini dimaklumkan dalam Dewan Rakyat. Jadi di mana peranan Pakatan Rakyat membela kaum majoriti ini?
Penulis tertarik dengan janji PSM dalam manifesto mereka antara nya menyebut janji pengiktirafan secara automatik kesatuan sekerja dan memudahkan lagi prosedur menubuhkan kesatuan sekerja (union) demi membela pekerja swasta. Malah PSM juga selama ini berjuang agar ditubuhkan satu Tabung Khas Bantuan Pekerja yang diberhentikan kerja atas alasan kerajaan mampu menyuntik dana menyelamatkan syarikat gergsi mengapa rakyat bawahan tidak.
Manifesto BN pula lebih menumpukan anak emas mereka iaitu pekerja awam. Dalam Perkara ke 17 antara janji BN adalah memperkenalkan Skim Gaji Transformatif untuk penjawat awam dan tiada apa yang dijanjikan untuk swasta.
Usaha Pakatan Rakyat untuk menjadikan ekonomi berasaskan knowledge driven economy amat dialukan. Lantaran itu manifesto Pakatan mensasarkan 1 juta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dilatih melalui Skim Perintis Rakyat yang menggabungkan peluang pekerjaan tetap dengan persijilan kemahiran berkala hingga ke peringkat Diploma Kemahiran.
Namun hakikatnya rakyat terutamanya pekerja swasta yang bekerja kilang, kerani mahupun pekerja di bawa paras eksekutif kebanyakannya tidak faham perjuangan ekonomi mapan atau tidak. Mereka tidak ambil pusing istilah bombastik ekonomi itu dan ini. Apa yang mereka lihat perkara rutin harian mereka. Bagaimana kesusahan, kepayahan dan kekurangan dalam hal pekerjaan mereka dibantu oleh kerajaan. Ya, pastilah kerajaan Pakatan Rakyat yang diharapkan membela domain swasta ini.
Muhammad Nuruddin Bashah
AJK Penerangan PAS Perak
AJK Dewan pemuda PAS Kaw Gopeng 2013