Friday, April 10, 2015

LAPORAN : AKTIVITI PEMBALAKAN YANG HAMPIR KAWASAN TADAHAN AIR EMPANGAN AHNING

Telah disiar dalam Sinar Harian 8 April 2015 dan Harakah Edisi Jumaat 10 April 2015

LAPORAN : AKTIVITI PEMBALAKAN YANG HAMPIR KAWASAN TADAHAN AIR EMPANGAN AHNING

Oleh : Mohd Nasir Zakaria, Muhd Nuruddin Bashah

Baru-baru ini Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengadakan siri lawatan dan menyiasat sendiri kes pembalakan yang dilakukan berhampiran kawasan tadahan air Empangan Ahning.

Pembongkaran isu pembalakan yang disyaki pembalakan haram ini merupakan kerjasama antara Dewan Pemuda PAS Kedah dan PAS Kawasan Padang Terap.

Antara pimpinan yang turut menyertai misi ini adalah Mohd Nasir Zakaria selaku Ketua Pemuda PAS Kedah merangkap Pengerusi Lajnah Pengguna Kedah, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman , Ketua Penerangan DPPN Kedah, Haji Zulkifli Yahya, Pengarah Penerangan PAS Kedah, Ustaz Mohd Azam Aziz, Yang Di Pertua PAS Kawasan Padang Terap, Saudara Yahya Saud, Mohd Shukor Minai ahli jawatankuasa PAS kawasan Padang Terap, Saudara Bashir Ishak, wartawan Harakah Utara Johan Ariff wakil media MAPIM bersama Saudara Fitri Ikram.


Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) mendesak kerajaan negeri menyiasat dan memberi penjelasan berkenaan operasi pembalakan sekitar kawasan Empangan Ahning yang kelihatan terlalu hampir dengan sempadan empangan dan tadahan air.


DPPNK menyedari bahawa fungsi empangan berkenaan untuk tujuan pembekalan air, kegunaan domestik, pengairan padi MADA dan industri yang menggunakan air.

DPPNK menegaskan bahawa menurut Garis Panduan Perancangan Pemuliharaan dan pembangunan KSAS yang diterbitkan oleh Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan tempatan 2010, “Aktiviti pembangunan, kemudahan infrastruktur, aktiviti pembalakan dan pertanian tidak dibenarkan. (dalam kawasan empangan)

Dalam Klaus 4.3 Zon Penampan, telah dinyatakan “Projek pembalakan / pembangunan tidak dibenarkan dalam jarak 1.5 km dari sempadan kawasan tadahan air untuk empangan.

Berdasarkan pemerhatian kami aktiviti pembalakan dilakukan benar-benar bersebelahan kawasan tadahan dan kurang 1 kilometer. Hal ini pasti akan mengakibatkan hakisan dan kerosakan struktur tanah jika tidak diberi perhatian sewajarnya.

Empangan Ahning yang terletak di Padang Terap merupakan kawasan tadahan hutan rizab Koh Moi dan Padang Terap berkapasiti 225 juta/m3 dan telah beroperasi sejak 1989 lagi. Keluasan kawasan tadahan sekitar 122km2.

Air empangan ini juga disalurkan kepada Loji pembersihan air Padang Sanai yang penuh kontroversi sebelum ini. Loji yang berkapasiti 50 juta liter itu sepatutnya berharga RM 50 juta telah melonjak ke harga RM 155 juta akibat campurtangan dari perkara yang tidak mampu dijelaskan.. Loji ini menyediakan air antaranya kepada warga UUM dan sekitarnya.

Pada Februari 2014 lalu isu Empangan Ahning yang menyalurkan air tercemar telah disiasat dalam program lawatan kerja delegasi daripada NAHRIM yang terdiri daripada 6 orang peserta ke Empangan Ahning, Kedah. Program lawatan ini diketuai oleh Pengarah Pusat Kajian Hidrogeologi NAHRIM, Dr. Saim Suratman. Lawatan ini juga disertai oleh kakitangan daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA). Tujuan siasatan berkenaan adalah untuk:
a) Menilai kepekatan ferum dan mangan yang di dalam sampel air permukaan
b) Mengkaji keadaan geologi kawasan empangan dan persekitarannya
c) Menentukan punca berlakunya ferum dan manganese yang tinggi di dalam air permukaan
Lawatan ini dibuat susulan aduan yang dibuat oleh pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) kepada LSANK mengenai kepekatan ferum dan mangan yang tinggi daripada sumber air mentah yang dipam di Sungai Ahning berpunca daripada Empangan Ahning. Rumah pam terletak kira-kira 1 km dripada di kawasan hiliran empangan tersebut.

Delegasi telah diberi penerangan oleh pihak MADA dan dimaklumkan bahawa keadaan kualiti air merosot pada musim kemarau. Walau bagaimanapun loji rawatan yang lama tidak menghadapi masalah dalam merawat air mentah dan masih mampu mencapai piawai air minuman yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Namun begitu, selepas kerja menaik taraf loji dengan kapasiti yang lebih besar, ia menghadapi masalah untuk merawat air mentah yang mempunyai kandungan ferum dan mangan yang tinggi. Air yang memiliki mangan dan ferum tinggi inilah yang dibekalkan kepada warga UUM dan kampung sekitarnya. Jika kemarau dengan kuantiti air yang kurang boleh menghasilkan kualiti air sebegini kami menggesa pihak terbabit menyiasat juga kualiti air selepas pembalakan rakus berlaku sekitara tanah tadahan memandangkan isu kekurangan kualiti air juga boleh dikaitkan dengan aktiviti pembalakan berleluasan.

Aktiviti pembalakan sering mengakibatkan permukaan tanah terdedah kepada hujan yang menyebabkan berlakunya hakisan. Proses ini akan memindahkan partikel tanah ke tempat lain termasuk badan air. Kemasukan badan partikel tersebut akan menyebabkan badan air menjadi keruh serta berlaku pemendapan. Selain daripada partikel tanah, aktiviti pembalakan juga menyumbang bahan pencemaran dari segi bahan organan dan nutrien ke badan air. Sumber pencemaran dari kawasan ini boleh dikelaskan sebagai sumber tidak berpunca.

Mengganggu ekosistem flora di sekitar kawasan tadahan bukan sahaja merosakkan spesis fauna dan flora malah akan menyebabkan krisis kekurangan air untuk empangan kerana tanah gondol tidak akan menampung air untuk meresap ke kawasan tadahan. Hutan umpama span besar yang menyerap air ketika hujan lebat dan air berkenan sebenarnya akan kembali ke kawasan tadahan untuk disalur ke empangan, sungai dan sebagainya.

Inilah sebabnya pada musim kemarau, masalah kekurangan sumber air di negara ini menjadi bertambah kronik. Kemarau di Malaysia hari ini menyebabkan air di kawasan empangan mengering dengan cepat. Ia disebabkan banyak kawasan tadahan air khasnya kawasan hutan asli dan bukit yang menjadi sumber bekalan air bawah tanah ditarah umpamanya di Empangan Ahning hari ini.

Berdasarkan pemerhatian pihak kami juga mendapati bahawa dengan keadaan hutan yang gondol berdekatan benar dengan gigi air boleh menyebabkan tanah runtuh dan kerosakan tebing gigi air.

Kami juga menggesa MADA untuk turut sama mengambil berat isu ini memandangkan Empangan Ahning yang diselenggara oleh MADA berperanan dalam pertanian utama Kedah iaitu padi. MADA tidak boleh menandang enteng hal ini kerana kawasan tadahan MADA berkenaan perlu dikuatkuasakan undang-undang melalui kerjasama MADA.

Kami percaya pembalakan yang berlaku ini ada dalam pengetahuan pihak Kerajaan Negeri. Kami mendesak Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Dato Seri Mukhriz menjelaskan kepada rakyat adakah benar kerajaan negeri yang meluluskan pembalakan di kawasan ini. Jika ia merupakan pembalakan haram dan pihak Menteri besar belum maklum, kami gesa pihak beliau memainkan peranan penting memandangkan UMNO kononnya adalah parti yang peka dan prihatin dengan kelestarian hutan dan isu pembalakan.

Sebelum ini media BN kerap menfitnah kepimpinan almarhum Tan Sri Ustaz Azizan dan Pakatan Rakyat kononnya Empangan Pedu di Padang Terap mengalami krisis air akibat projek agro sains.

DPPNK juga percaya, berpuluh-puluh lori balak yang keluar setiap hari di jalan-jalan sekitar Padang Terap adalah daripada pembalakan di kawasan tadahan air berkenaan .

Pihak kami mendesak agar agar pihak kerajaan dengan SERTA MERTA memberhentikan serta mengambil tindakan terhadap.aktiviti ini.

Tindakan pihak kami selepas ini adalah :
Akan menyerah memo bantahan kepada
  1. Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Mukhriz Mahathir ,
  2. Exco Air, Tanah - Badrul (Adun Kuala Nerang)
  3. Timbalan Mentri Air. Mahathir Khalid (Ahli Parlimen Padang Terap)
  4. Jabatan Perhutanan
  5. Pihak MADA

Kami juga akan menyediakan bahan untuk tindakan para ADUN dan MP Pakatan Rakyat untuk dipanjangkan isu ini.










Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)