Wednesday, April 08, 2009

Gula-gula BN untuk rakyat Malaysia


Rangka kerja (framework) politik BN adalah sama setiap kali membuat re-treat atau penjenamaan semula (rebranding). Tidak seperti gerakan lain yang membuat penjenamaan semula secara besar-besaran, holistik dan melibatkan perspektif, misi dan budaya kerja, BN hanya berminat mengaburi pandangan rakyat melalui penjenamaan semula jangka pendek (short term rebranding) kerana ia telah dibudayakan dengan budaya kerja yang cukup penuh dengan rasuah, bodek-membodek, nepotisme dan monopoli kekayaan.


Lihat sahaja semasa Mahathir dianggap sangat zalim pada akhir pentadbiraannya. Mahathir yang diingati oleh majoriti rakyat sebagai penggasak politik mutlak (ultimate political will) cukup terkenal melalui fitnah paling tidak logik dalam kes Anwar Ibrahim dan penangkapan puluhan pimpinan Reformasi. Penghinaan terhadap sultan, kekejaman di Memali dan sebagainya cukup terpendam ingatan rakyat. Akibatnya Mahathir turun takhta dalam situasi tidak popular dan Mahathir terpaksa melantik Pak Lah sebagai gantinya untuk memanipulasikan imej bersih Pak Lah sebagai pembersihan tomahan terhadap UMNO dan BN. Perlantikan Pak Lah bukan suatu 'overhaul' dalam UMNO malah ia bersifat jangka pendek. Mahathir yang sebenarnya cenderung dengan kemampuan Najib terpaksa melantik Pak Lah. Selang beberapa bulan sahaja, Pak Lah dihentamnya dalam ucapan dan kenyataan akhbar.



Kini Najib tercalar imejnya akibat dikaitkan dengan kes berprofil tinggi. BN kembali cuba mengaburi rakyat terutama orang kampung, dengan menahan permit Harakah dan Suara Keadilan. Dengan harapan semasa pilihanraya kecil atau selepas perlantikan Najib sebagai PM, permit akan dikembalikan sebagai gula-gula kepada rakyat. Rakyat yang berotak pun boleh baca tindakan menghalang permit sebagai tidak berasas. Kemudian dilepaskan pengharaman tersebut semasa pilihanraya. Rakyat bukan lagi bodoh. Rakyat kini sudah membaca. Rakyat tidak lagi mudah percaya dengan sumber lisan tanpa diteliti. Rakyat juga menggunakan IT sebagai sumber sekunder informasi mereka.

Menangkap rakyat untuk 'diISAkan' bukan suatu perkara sukar. Cakap sahaja tangkap, terus tangkap. Cakap sahaja lepas, terus dilepaskan. Persoalannya, mengapa pula dilepaskan semasa peralihan kuasa Perdana Menteri berlaku? Mengapa jika benar mereka bukan lagi 'pengancam keamanan' mereka tidak dibebaskan lebih awal? Perlepasan 13 orang tahanan adalah 'gula-gula' BN untuk rakyat. Maksudnya pada BN, mangsa tahanan ISA adalah umpama hamba abdi. Jika buat suatu keramaian dan majlis kesyukuran, hamba dilepaskan sebagai tanda gembira atau untuk mendapatkan sokongan. Jika rakyat masih memilih BN, mereka akan diperhambakan. Bukankah Islam hadir untuk membebaskan perhambaan ini!

Muhammad Nuruddin Bashah
Ipoh Perak

No comments:

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Kursus Intensif Percussion-alat ketuk

Sumbangan berita atau artikel, sila hubungi:
jihadin82@yahoo.com / 017-6291368 ( Nuruddin)