28 Mac 2013- Pengkalan Pegoh
Trailer PAS Negara Berkebajikan yang dijadualkan sampai sebelum jam 12
tengah hari hari ini kelihatan tiada di lokasi Petronas Stesyen 18, Pengkalan Pegoh
sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat yang telah ramai berhimpun di
sana. Sejak semalam, UPU Pengkalan Gate, Pengkalan Barat dan beberapa petugas
MTD bertungkus lumus memasang bendera dan sebagainya.
Selepas dimaklumkan Trailer telah ditahan sekitar Sekolah Cina Poi Lam, ramai petugas PAS telah membanjiri lokasi dan
berlaku pertikaman lidah dengan pihak polis.
Saudara Anuar Ibrahim selaku Pengurus Kempen Bakal Calon N43 merangkap pengarah
lawatan Trailer di Parlimen Gopeng telah mempertikai tindakan polis yang menahan
trailer tanpa sebab- musabab yang munasabah.
"JPJ kata itu urusan polis, polis kata ini urusan kerja JPJ, siapa yang
bertanggungjawab sekarang? Trailer ni buat salah apa? Lesen, permit semua ada,"
hujah Anuar sebelum beliau meminta untuk berjumpa pegawai yang bertanggungjawab.
Beberapa polis yang menahan Trailer mengatakan mereka hanya makan gaji dan tiada
kuasa untuk melakukan apa-apa melainkan menurut arahan. PAS faham dilema yang
berlaku di kalangan pegawai dan anggota polis bawahan.
Lebih pelik apabila JPJ minta untuk diperiksa isi dalam trailer sedangkan
mereka boleh melakukannya sebelum trailer bertolak dari lokasi asal.
Beberapa petugas PAS melaung ‘Kami tak bawa senjata’. Banyak trailer lalu lalang di jalan berkenaan hari ini tetapi polis atau JPJ langsung tidak menahan mereka.
Beberapa sekatan polis sebenarnya telah dilakukan sejak pukul 11 pagi di
beberapa lokasi menghala ke Pengkalan Pegoh. Antaranya di Lahat, Pengkalan Pegoh
dan jalan sekitar Taman Pinji. Namun ia tidak menghalang rakyat untuk memenuhi
lokasi yang dihebahkan.
PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa polis yang
menahan mereka kerana mengambil kad pengenalan beberapa pengiring trailer tanpa sebab. Malah lebih
pelik sekatan dilakukan di lorong kanan, trailer lalu di arah kiri dan polis
mengejar trailer menunjukkan mereka memang mensasarkan untuk menahan trailer
dan bukannya memeriksa lesen atau cukai jalan pemandu awam.
Lokasi Trailer diubah ke tapak pasar malam Pengkalan Pegoh memandangkan
ada satu sekatan lagi sebelum sampai ke Tesco Stesyen 18. Rakyat dihebahkan
untuk berpindah lokasi dan sekelip mata rakyat mengerumuni trailer tersebut.
Majlis dimulakan dengan ucapan Anuar bin Ibrahim sebelum berpindah kepada
ucapan Ustaz Radzi Zainon sebagai bakal calon N43. Selepas itu Pak Jabit yang
dinanti-nantikan mengambil tempat menyampaikan ceramah berapi beliau sambil menyanyikan
lagu anak kecil main api versi BN.
Jika sekitar tahun 1980an dahulu PAS sendiri tidak terbayang akan
menggunakan metod trailer untuk melebarkan syiar dan teknik penerangan mudah.
Kini ia menjadi bayangan maut kepada UMNO sehingga terpaksa mengerah polis dan
JPJ untuk melengahkan perjalanan trailer. Trailer ini tiada apa melainkan
sistem pentas yang kompektif. Isi ceramah hanya ringkas tetapi ia cukup untuk
menjadi mimpi buruk bagi pemimpin UMNO tempatan. Jika trailer PAS ditakuti oleh
UMNO, ternyata UMNO memang jelas bacul dan penakut.
Menurut Pak Jabit, yang ditakuti UMNO bukan sekadar lori tetapi muka
pimpinan Pakatan Rakyat yang diusung ke sana ke mari yang ditakuti oleh UMNO.
Lantaran itu Malaysia sebuah negara mengaku demokrasi tidak pernah memberi ruang
pembangkang menghebahkan aktiviti mereka di dalam kaca televisyen mahupun
radio.
Selepas Trailer singgah di lokasi baru, kelihatan trak kecil FRU dan sekatan polis di sekitar TESCO masih menanti tetapi polis menghentikan sekatan dan hanya minum sambil berbual-bual. Mereka hanya mensasarkan trailer dan terpaksa menjadi alat BN-UMNO selama mana UMNO masih memerintah negara ini.
Slogan baru mungkin sesuai digunakan, 'Optimus Prime PAS menakutkan Decepticon
UMNO'….itu baru lori.
Muhammad Nuruddin Bashah
Unit Penerangan MTD Sg Rapat