ADUN Sungai Rapat Sokong Penuh Titah Tuanku berkenaan isu agama
Oleh : Muhammad Nuruddin Bashah
(Unit Media dan Informasi Pusat Khidmat ADUN Sg Rapat)
27 Ogos 2013- Ipoh
“Isi bernas dan saya selaku ADUN Sungai Rapat menyokong padu saranan dan pesanan daripada Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah”, komen pantas Radzi apabila ditanya berkenaan titah Tuanku.
Raja Nazrin telah merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Perak Ke-13 semalam.
Antara ungkapan pening Raja Nazrin berkaitan isu agama adalah Raja Nazrin berpesan agar semua pihak bersikap teliti dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terhadap perkara-perkara yang menyentuh isu agama. Malah disebabkan negara ini terdiri dari pelbagai kalangan penganut agama dan disebabkan itu, amatlah penting diamalkan sifat teliti dan sikap berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dan memberi reaksi terhadap perkara-perkara yang menyentuh agama.
“Saya amat bersetuju agar kita tidak mengeluarkan kenyataan provokatif atau ungkapan yang tidak rasional. Hal ini pernah dilakukan oleh ADUN Sungai Rapat sebelum ini dan saya akan memastikan ia tidak berulang kali lagi selepas PAS berjaya menduduki kerusi DUN Sungai Rapat dalam PRU-13 lalu,” jelas Radzi Zainon yang hadir dengan ditemani oleh isteri beliau.
Keadaan itu ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berbuat adil (memberikan sebahagian hartamu) kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orangorang yang berlaku adil." (Surah Al-Mumtahanah ayat 8).
Islam turut memberikan ruang yang aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain. Aktif dan sentiasa bersedia untuk mencari titik persamaan antara bermacam-macam perbezaan. Bahkan Islam bersedia bersatu dalam perbezaan tersebut.
Radzi juga menjelaskan jika kerajaan pimpinan Perdana Menteri hari ini menggagaskan Wawasan 1 Malaysia yang juga memasukkan unsur toleransi beragama dan menjaga keharmonian antara agama dan kaum, begitu juga wawasan yang dibawaoleh Islam yang didokongi oleh PAS dalam perjuangannya iaitu berusaha mengikis ketegangan dan ketidak selesaan kaum melalui agenda bersama, mencari ‘titik homofili’ dalam isu-isu sejagat, keadilan dan kemakmuran sekalian rakyat Malaysia.
Suatu ketika semangat perkongsian kemakmuran telah terpamer melalui Perlembagaan Negara Madinah oleh junjungan besar kita Muhammad Rasulullah SAW. Melalui 12 fasal dalam Piagam Madinah yang mengatur kehidupan bersama dengan umat Yahudi iaitu fasal 24 dan 25 serta fasal 27 hingga 35. Piagam tersebut dikembangkan lagi dengan peraturan hidup bersama dengan umat Nasrani iaitu fasal 25 hingga 35. Hal toleransi dan persefahaman diterapkan malah diamal dengan amanah oleh Baginda.
Radzi juga bersetuju dengan saranan Raja Nazrin agar semua isu agama perlu dibincangkan dalam suasana musyawwarah berlandaskan sifat keilmuan untuk membolehkan tercapainya titik persefahaman dan titik pertemuan.
Beliau menyatakan pentingnya rakyat dan pemimpin umat Islam mempelajari asas syariah dan ilmu islam sebelum mahu berbahas berkenaan isu kontroversi berkenaan agama Islam.
“Kenyataan akhbar dan media yang provokatif, mencela mana-mana agama dan kaum, menuduh mana-mana kaum sebagai ekstrimis, membuat demostrasi provokasi menghina agama-agama selain Islam juga perlu dikikis daripada amalan rakyat mahupun pemimpin di negara kita. Dalam menjunjung semangat keharmonian ini, semua pihak perlu fham, akur, laksanakan tekad da jangan hanya beretorik sehingga natijahnya terus mencalar wawasan murni seperti mana yang digagas oleh Raja Nazrin”, tambah Radzi selepas ditanya berkenaan tindakan menghina agama mutakhir ini.
Radzi juga menyatakan rasa kesal dan sedih melihat agama Islam dihina dan dipermainkan oleh ramaipihak baik oleh kaum islam mahupun bukan Islam. Lebih malang apabila orang Islam sendiri menghina sistem Islam atau perundangan Islam berbanding dengan kaum bukan Islam yang mungkin masih belum kenal erti Islam. Radzi berjanji akan berjuang untuk memahamkan kaum bukan Islam dan kepada kaum Islam yang belum faham erti sebenar Islam kerana amanah yang diberikan kepada beliau adalah untuk memimpin masyarakat ke arah kesejaheraan.