Ayahanda ADUN Sungai Rapat telah kembali ke Rahmatullah.
Selepas azan waktu Asar berakhir Meninggal jam 5.00 ptg, 13 Ogos 13 di rumah sendiri, Kg Pulau Kerengga Anak Bukit A. Setar Kedah setelah hampir 2 bulan bergelut dengan penyakit sesak nafas akibat paru-paru berair. Kali pertama beliau dimasukkan ke Hospital Alor Setar ialah 2 minggu sebelum Ramadhan yang lalu, kemudian dibenarkan balik ke rumah sejurus memasuki bulan Ramadhan.
Namun tiga hari sebelum Hari Raya Eidulfitri beliau dikejarkan semula ke Hospital Besar, Jalan Langgar, A.Setar kerana serangan sesak nafas yang lebih serius berbanding kali pertama. Beliau berada di zon kritikal hampir 2 hari sebelum dipindah ke wad rawatan lanjut di Hospital Alor Setar.
Hari raya ke 3, beliau dinasihati pulang berehat di rumah oleh pihak hospital. Walau bagaimanapun, semua abang dan kakak saya akur dengan nasihat pihak hospital ini kerana mereka lebih awal mengesan kelainan sikap ayahanda saya kali ini. Beliau kelihatan kurang ceria, banyak diam, tidak seperti kebiasaan suka bersembang, hilang selera makan dan terdapat tanda-tanda fizikal di jasad yang membayangkan 'tanda-tanda' akhir kehidupannya.
Allayarham semasa uzur
Beliau meninggalkan 9 orang anak hasil perkongsian hidup dengan ibu saya, Ton bt Ibrahim, berusia 75 tahun yang juga kurang sihat dan memerlukan sentuhan kasih sayang anak-anak ketika ini. Dengan hampir 40 orang cucu dan 9 cicit, 9 menantu, keluarga Pak On adalah keluarga besar di Kg. Pulau Kerengga.
Almarhum adalah orang yang sangat tegas dengan anak-anak tetapi penyayang. Beliau tidak lokek dan sanggup berkorban apa sahaja demi pendidikan anak-anak dan perjuangan Islam. Sebab itu beliau dikenali sebagai "orang kuat" PAS di kampung kami, yang terletak dalam DUN Anak Bukit.
YB Dato' Mahfuz Omar, Pesuruhjaya PAS Kedah, YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah, ADUN Anak Bukit dan YB Dr Azman Ismail, ahli parlimen Kuala Kedah antara tetamu yang turut menziarahi dan menunaikan solat jenazahnya di Masjid Kg Alor Melintang. Di samping itu, beberapa orang Tuan-tuan Guru pondok serta jamaah pondok mereka sekitar Alor Setar dan orang ramai hampir 500 orang turut menyempurnakan solat jenazah ini dengan diimamkan saya sendiri setelah mendapat amanah dan restu keluarga.
Kami anak-anak almarhum amat menyanjungi seluruh ahli keluarga lain termasuk semua ipar duai, cucu-cicit, sepupu-sepapat, sahabat handai jauh dan dekat termasuk dari PAS Kawasan Gopeng yang telah banyak membantu menguruskan kematian ayahanda kami. Hanya Allah yang dapat membalas budi kalian semua.
Radzi Zainon
Ahli Dewan Undangan Negeri
Sungai Rapat