KENAIKAN HARGA MINYAK DAN PENGURANGAN SUBSIDI- APA
KATA SYARIAH?
Kali ini saf pentadbiran Perdana Menteri Malaysia sudah
check mate dengan hujah lapuk iaitu kenaikan harga petrol di Malaysia
kerana seiring dengan kenaikan harga minyak dunia.
Hal ini kerana rakyat yang tidak lulus subjek ekonomi
asas mahupun perdangan di peringat SPM juga mampu mengakses maklumat
bahawa harga minyak dunia sedang mengalami kemerosotan. Maklumat
dihujung jari.
Maklumat kasar hari ini sekitar harga
minyak mencatat AS$90.73 setong, berbanding pada bulan
Julai iaitu pada harga AS$103
setong. Malah diramalkan kejatuhan harga
minyak berlaku sejak empat tahun dan dijangka akan berterusan
lagi.
Rakyat baik yang pekak mahupun tuli telah tahu bahawa
harga minyak naik adalah kerana subsidi dihisap kembali oleh kerajaan
atas nama rasionalisasi subsidi walaupun kerja buat itu jelas tidak
rasional!
Dengan peraturan baru percukaian GST yang bakal menjadi
cek kosong kerajaan menaikkan kadar cukai ke atas mana-mana sahaja
komoditi barangan harian rakyat, ianya jelas rakyat akan kian
tertekan dengan domino kenaikan harga barang dan servis tempatan
walaupun wirid selalu kerajaan selepas menaikkan harga minyak
berbunyi begini : “peniaga dilarang menaikkan harga sesuka hati”.
Hakikatnya ramai yang sudah sedar, kenaikan harga ini
disebabkan subsidi yang ditarik keluar daripada peruntukan yang
disediakan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia. Subsidi adalah ihsan
kerajaan. Ia bukan suatu jaminan bahawa kerajaan akan terus
melaksanakan dasar ihsan walaupun istilah ihsan digandingkan dengan
keadilan dalam Al Quran (konsep adlu wal ihsan)
Begitu juga rakyat menilai barangan tertentu yang
kononnya tidak akan dikenakan GST, tidak mustahil ia akan turut
dikenakan GST kerana istilah tidak dikenakan GST adalah istilah ihsan
sahaja bukannya peruntukan yang mantap dalam mana-mana undang-undang.
Sedikit berkenaan GST, kerajaan
berhujah dalam laman-laman rasmi bahawa Dari 600 barang yang
dikenakan GST, dijangka hanya 10% yang akan mengalami kenaikan harga,
42% kekal harga dan 48% akan mengalami penurunan harga. Hakikatnya
penurunan harga 48% barang itu adalah jenis komoditi mewah yang
selama ini menerima cukai tinggi. Malah ia bukan barang harian yang
diperlukan rakyat. Sistem cukai dahulu hanya terkena kepada barangan
yang tidak menjadi penggunaan harian rakyat bawahan.
Kata kerajaan lagi, banyak
barang akan menjadi lebih murah kerana cukai GST hanya 6% berbanding
cukai 16% yang akan berakhir pada 31 Mac 2015.
Malah dirantau ini dikatakan 6% itulah yang termurah. Adakah ada
jaminan angka 6 % tidak akan menjadi 7, 8 dan seterusnya?
Dalam tempoh setahun ini sudah
40 sen harga minyak naik
kerana penarikan subsidi. Itu belum diungkit penarikan subsidi gula,
minyak masak dan lain-lain lagi tahun lepas.
Rakyat Malaysia telah dilatih untuk
menerima banyak kejutan tahun ini. Dengan keganasan di Sabah yang
semakin dramatik, tragedi misteri MH370 sehingga membabitkan
kepakaran bomoh tercabar, kemudiannya pula tragedi MH 17, rakyat
Malaysia kelihatan boleh menerima kejutan menurut pandangan
Putrajaya. Kenaikan harga minyak mendadak ala-ala kejutan ‘kinder
joy’ ini bukan sahaja menyaksikan kritikan keras pemimpin Pakatan
Rakyat, malah tindakan saf pentadbiran
Datuk Seri Najib mengurangkan kadar subsidi bahan api RON95
dan diesel sebanyak 20 sen menerima kecaman juga
daripada Barisan Nasional (BN) kerana ia dibuat ketika harga
minyak dunia turun dan rakyat Malaysia sedang menghadapi tekanan
akibat kos sara hidup yang makin meningkat.
Selain pemimpin PAS, PKR dan DAP menyuarakan
ketidakpuasan hati mereka, parti komponen BN, MIC dan seorang ahli
Majlis Tertinggi Umno juga turut mempersoalkan keputusan itu.
Apa reaksi pemimpin pro kerajaan:
Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki
menulis di dalam Facebooknya memohon kerajaan mengkaji semula
tindakan pemotongan subsidi itu ketika rakyat sedang bertarung dengan
kenaikan kos sara hidup. Katanya walaupun
idea rasionalisasi subsidi minyak ada kewajarannya, namun pemotongan
subsidi ketika ini adalah tidak sesuai melainkan kita sudah berjaya
menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.
Obligasi kerajaan memberi jaminan keamanan,
kestabilan sosial.
Mengurangkan subsidi untuk rakyat untuk menampung
ketempangan ekonomi kerajaan yang boros melambangkan betapa usaha itu
tidak menepati syariah. Hal ini kerana peranan sebuah kerajaan
walaupun bukan menerima obligasi untuk memberi subsidi dalam komoditi
tempatan, ia berperanan sebenarnya menjamin kestabilan sosial,
jenayah dan masalah sosial. Jaminan ini adalah ruang lingkup
pemerintah jika ditekuni dari perspektif siasah syariyyah. Jaminan
inilah yang menghendaki kerajaan berhemah dalam menarik subsidi
tertentu kerana ia menghasilkan suatu reaksi negatif sosial.
Konsep
keadilan distributif sering digunakan
untuk melihat polisi pemerintah terhadap rakyat. Negara harus
mengagih sumber alam
yang dikuasai kepada rakyat secara adil. Pada tahap ini prinsip
keadilan distributif perlu diterapkan.
Subsidi adalah tergolong dalam ketagori ini. Mungkin idea Aristotle
dalam aspek keadilan distributif kelihatan mendesak kerajaan untuk
semata-mata berperanan mengalir kekayaan negara kepada rakyat. Jika
dikaitkan dengan konsep keadilan dan ihsan dalam Al Quran, ia
kelihatan lebih lunak untuk memahamkan sebuah kerajaan bahawa agenda
ihsan ada;ah agenda besar selepas agenda keadilan.
Ihsan
pada asasnya digariskan melalui fiqh klasik sebagai sedekah, faraid,
hibah, derma dan sebagainya untuk meningkatkan kuasa membeli di
kalangan rakyat. Namun dalam konteks kontemporari, subsidi adalah
suatu bentuk sedekah atau infaq kerajaan untuk rakyat semata-mata
untuk melihat kestabilan ekonomi, sosial dan mencegah mudharat dan
jenayah akibat himpitan ekonomi. Inilah konsep ihsan yang sering
diabaikan oleh kerajaan.
KH.
M Shiddiq menyatakan bahawa subsidi adalah
suatu bentuk bantuan kewangan (bahasa Arab
disebut i’anah maliyah), yang biasanya dibayar oleh
pemerintah, dengan tujuan untuk menjaga kestabilan
harga-harga, atau untuk mempertahankan pengekalan
kegiatan perniagaan, atau untuk mendorong
berbagai kegiatan ekonomi pada umumnya.
Dalam
sistem Kapitalisme, subsidi merupakan salah satu instrumen
pengendalian secara tidak langsung.
Grossman dalam Sistem-Sistem Ekonomi (1995) menerangkan bahwa dalam
sistem Kapitalisme terdapat dua jenis
pengendalian ekonomi oleh pemerintah, iaitu
pengendalian langsung dan tidak langsung. Pengendalian langsung
adalah polisi mengabaikan mekanisme
pasaran, contohnya embargo perdagangan dan
penetapan harga tertinggi suatu barang. Adapun pengendalian tidak
langsung adalah kebijakan yang bekerja melalui mekanisme pasaran,
misalnya penetapan tarif serta segala macam cukai
dan subsidi.
Islam
berbeza dengan Kapitalisme. Jika Kapitalisme memandang subsidi dari
perspekstif campur tangan kerajaan atau mekanisme pasaran, Islam
memandang subsidi dari perspektif syariah, iaitu pada bila-bila
subsidi boleh dan bila-bila subsidi wajib dilakukan oleh negara
termasuk penentuan sektor yang boleh dan wajib disubsidikan.
Pastilah
menurut syariah yang terkenal dengan konsep al
adli wal ihsan menentang subsidi
bilion ringgit untuk syarikat mega seperti TPP sedangkan untuk rakyat
bawahan ditarik perlahan-lahan. Ihsan yang ditekan oleh Islam untuk
meningkatkan kuasa beli rakyat, mencegah jenayah, mencegah masalah
masyarakat disalah guna dengan mengekalkan subsidi kepada korprat
besar tanpa segan silu.
Jika
subsidi diertikan sebagai bantuan kewangan yang dibayar oleh negara
maka Islam mengakui adanya subsidi dalam pengertian ini. Subsidi
boleh dianggap salah satu cara (uslub) yang boleh dilakukan negara,
kerana termasuk pemberian harta milik negara kepada individu rakyat
(i'tha'u ad-dawlah min amwaliha li ar-ra'iyah) yang menjadi hak
pengelola negara.
Khalifah
Umar bin al-Khattab pernah memberikan harta dari Baitul Mal kepada
para petani di Iraq agar mereka dapat membangunkan
pertanian mereka
sekaligus menstabilkan sosial di sana.
Atas
dasar itu, boleh negara memberikan subsidi kepada individu rakyat
yang bertindak sebagai pengeluar, seperti subsidi baja dan benih bagi
petani, atau subsidi bahan mentah dan sebagainya.
Boleh juga negara memberikan subsidi kepada individu rakyat yang
bertindak sebagai pelanggan, seperti subsidi makanan
, atau subsidi komoditi harian seperti
minyak masak, dan sebagainya.
Subsidi
boleh juga diberikan negara untuk sektor perkhidmatan awam
(al-marafiq al-'ammah) yang dilaksanakan oleh negara, sebagai contoh:
- perkhidmatan telekomunikasi (al-khidmat al-baridiyah) seperti telefon, pos, fax, internet;
- perkhidmatan perbankan syariah (al-khidmat al-mashrifiyah) seperti pemindahan, simpanan, dan pertukaran matawang asing;
- perkhidmatan pengangkutan awam (al-muwashalat al-'ammah) seperti kereta api, kapal laut, dan pesawat terbang.
Nabi
Saw., pernah membagikan fai‘ Bani Nadhir (harta milik negara) hanya
kepada kaum Muhajirin, tidak kepada kaum Ansar, kerana
Nabi Saw., melihat ketidakseimbangan
ekonomi antara Muhajirin dan Ansar. Ia boleh
dianggap subsidi Nabi kepada satu kaum sahaja demi menstabilkan
sosial di Madinah.
Tokoh ekonomi Islam terkenal seperti
Saidina Umar Al Khattab semasa pemerintahannya dikatakan
mengistiharkan setiap tahun satu hari di mana segala dana
negara perlu dikosongkan dan diberi kepada rakyat dalam bentuk
subsidi. Amirul Mukminin mengeluarkan arahan tersebut kepada Abu Musa
Ashaari yang menjaga perbendaharaan negara pada masa itu.
Pada tahun berikutnya Saidina Umar R.A menyuruh Menteri
Kewangan pada masa itu, iaitu Abu Huzaifah Ibnu Yaman untuk melakukan
perkara yang sama.
Kembali kepada isu pembohongan kenaikan harga minyak
kerana kenaikan harga minyak dunia adalah seolah-olah kerajaan
mengajar rakyat bahawa komoditi penting bernama minyak itu harganya
bebas ditentukan mengikut pasaran bebas secara mutlak dan sebarang
impak glabal akan terus diterima rakyat tanpa sebarang ‘filtration’.
Apa pula peranan negara untuk memastikan rakyat tidak menderita
kerana menerima impak perubahan harga global? Inilah peranan subsidi
untuk mengawal harga.
Muhammad Nuruddin Bashah
Timbalan Ketua Penerangan DPP Negeri Kedah
AJK DPPK Sg Petani