Kenyataan ini disiar dalam bentuk temubual oleh Sinar Harian (sisipan Perak) 30 Sep 09 Dan Harakah Edisi Isnin 12-15 Oktober 2009 serta disiar oleh Sura Keadilan 13-20 Oktober 2009
Antara OSA dengan memerangi korupsi wang rakyat, yang mana keutamaan kerajaan?
Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) cawangan Negeri Perak menganggap tindakan kerajaan dan PDRM berusaha menyiasat siapa dalang yang membocorkan kertas dokumen PKFZ sebagai tindakan yang bercanggah untuk membela rakyat.
Kerajaan yang sewajarnya membela rakyat perlu mengutamakan kes amaun pembangunan PKFZ yang melonjak daripada RM 2.5 billion kepada RM 4.6 billion berbanding bersungguh-sungguh berusaha mencari siapa dalang yang membongkar dokumen tersebut.
Penggunaan OSA Akta Rahsia rasmi yang digunakan secara melulu tanpa mengambilkira implikasi jika perkara tersebut tidak dihebahkan adalah suatu tindakan membelakangkan hasrat dan kepentingan rakyat.
Sebarang peningkatan kos penyelenggaraan dan pembinaan sesuatu projek awam yang melibatkan wang rakyat perlu ditangani secara terbuka,telus dan saksama disampingkomited membongkar dan menghalang sebarang kemungkinan rasuah yang merugikan.
TERAS berpendapat, di sinilah ruang bagi YAB Perdana Menteri menyatakan kepada rakyat komitmen kerajaan hari ini memerangi rasuah melalui SPRM yang baru dinaik taraf tersebut.
Imej SPRM yang tercalar akibat beberapa insiden dan kejadian baru-baaru ini perlu dibersihkan melalui komitemen kerajaan untuk menyelesaikan sebarang kes rasuah dan penyelewengan nepotisme secara terbuka dan adil. Kritikan terbuka Tun Dr Mahathir terhadap polisin kerajaan yang jelas membelakangkan hasrat dan kehendak rakyat menyebabkan populariti kerajaan mulai luntur di kalangan rakyat. Sewajarnya isu penyelewengan diberi keutamaan untuk diselesaikan sebelum usaha memburu pembongkar dokumen tersebut menggunakan OSA. Malah TERAS berpendapat, OSA adalah akta yang digunakan secara ‘selektif’ kini menjadi imunisasi kepada sebarang dalang penyelewengan wang rakyat.
Sebuah badan pelabur Amerika Syarikat, Morgan Stanley pernah mendakwa Malaysia kehilangan RM330 billion akibat barah rasuah dalam jangka masa 20 tahun yang lalu. Malah, ‘Pemudah’ yang ditubuhkan dalam zaman pemerintahan Abdullah Badawi, pernah menganggarkan kehilangan sebanyak RM10 billion kerana rasuah dalam tempoh setahun. Bukankah angka ini suatu yang serius untuk ditangani bersama.
Sepertimana kerajaan bekerja keras mengembleng tenaga untuk mencegah H1N1, begitu juga usaha yang sama untuk memerangi wabak rasuah dan korupsi yang cukup menakutkan di negara ini.
TERAS sebagai satu NGO yang memperjuang nasib dan masadepan rakyat marhain amat berharap kes PKFZ dapat diselesaikan sehingga menampilkan keputusan yang menyebelahi keperluan rakyat berbanding segelintir aristokrat tertentu semata-mata.
Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha TERAS cawangan negeri Perak
No comments:
Post a Comment