Dakwah di celahan keterlibatan antara kaum
Berjanji untuk beraya di rumah Haji Rashid adalah satu janji antara kami, pastikan ziarah kita ziarah yang berilmu. Pada saya ia telah menepati syarat apabila ziarah raya kami bertukar ke bentuk usrah dan perbincangan strategi Islam dan pemikiran. Beliau adalah naqib saya yang juga merupakan Ketua Unit Politik Jawatankuasa Pusat JIM.
Dalam beberapa hal saya menyorot kembali ingatan saya kepada konsep dakwah melalui keterlibatan. Bagaimanakah bentuk dakwah yang terhasil melalui interaksi keterlibatan. Hal ini disentuh secara menarik oleh Haji Rashid.
Keterlibatan antara kaum sememangnya memancarkan spektrum fikrah, fenomena, isu dan kadangkala konflik dan krisis. Semua bentuk alami semulajadi ini terhasil akibat interaksi bersungguh-sungguh antara kaum dan inilah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Rasul memancarkan sunnah dan perilaku khusus pada saat tertentu apabila ada sahaja pertembungan budaya, pertemuan dan komunikasi bersama kaum bukan Islam di Madinah.
Saya membawa kes YB Jeff Oii sebagai contoh untuk kami canai bersama. Pada saya, amat tepat sekali apabila JIM mengambil pendekatan pengenalan mafsadah secara holistik dan terperinci. Menilai keburukan dan ancaman secara menyeluruh dan saksama menatijahkan kesederhanaan, ketepatan dan nilai dalam strategi interaksi dakwah kita. Lantaran itu dalam kes penghinaan terhadap Islam, sistem syariah, gejala islamofobia atau skeptikal dan prejudis terhadap umat Islam yang berlaku akan dinilai oleh gerakan Islam dari segi konsentrasi mafsadahnya (keburukan atau ancamannya).
Lantaran itu reaksi PAS atau JIM terhadap isu penghinaan oleh seorang individu berbeza dengan reaksi atau layanan terhadap satu bentuk penghinaan yang strategik, berketumbukan atau kelompok yang berpengaruh. Teguran dan ‘balasan’ tetap perlu diberikan jika ada individu yang menghina Islam atau sistemnya. Namun saya amat berlapang dada apabila Haji Rashid menyatakan JIM mengambil pendekatan menegur tindakan kasar dan biadab kepada mana-mana individu. Dalam masa yang sama jika organisasinya tidak menjustifikasikan penghinaan tersebut, tiada masalah yang perlu ditimbulkan malah DAP tetap menjadi sasaran dakwah JIM selaku jamaah dakwah di Malaysia.
Lebih menarik apabila diperhati secara pandangan konstruktif, dialog dan pertemuan pemimpin JIM dengan DAP membuahkan kesempatan emas untuk JIM menerangkan apa itu syariah, apa itu Islam, menjelaskan misi dakwah JIM serta mempertahankan aktiviti JIM yang sah dari sudut undang-undang demokrasi negara ini.
Ya, pertemuan Rasulullah, konflik dan sariah-sariah Nabi, seringkali membuahkan dakwah dan komunikasi menjurus kepada pemahaman dan kefahaman terhadap kaum bukan Islam.
Justeru, adakah salah penghinaan yang dilakukan oleh individu itu dibantah oleh FORUM dan PUM? Semestinya tidak, malah ia perlu untuk menampilkan prinsip dan fikrah umat Islam berkenaan syariah agama ini.
Adakah keterbukaan dakwah JIM ini membuktikan kita umat Islam tidak perlu ada kepekaan terhadap ‘hidden agenda’ menghancurkan Islam, merosakkan sistem agama di negara umat Islam? Adakah perlu dinafikan fakta-fakta ‘against Islam’ tersebut?
Saya bagi satu contoh mudah. Di dalam Al Quran terlalu banyak ayat yang menceritakan azab kaum kafir dan sikap kaum kafir yang memusuhi Islam. Ya, kita yang berusrah wajib akan faham dan sedar adanya konspirasi menjatuhkan Islam. Akan tetapi perlukah kita jaja atau hebah kepada kaum bukan Islam di hadapan mereka bahawa kamu kafir, kamu ahli neraka dan saya selamanya tidak akan mempercayai kamu kerana telah nyata dalam Al Quran kami bahawa kamu akan tetap menjadi musuh Allah. Adakah itu metod yang ditinggalkan Nabi?
Ahli JIM yang menyertai Pakatan Rakyat akan tetap bersama DAP dalam beberapa banyak isu bersama rakyat terutama dalam hal kezaliman (ISA, tahanan selektif, kekejaman polis), rasuah, penyelewengan, rampasan terhormat hak rakyat dan sebagainya yang menjadi isu sejagat. Akan tetapi, dalam hal penghinaan terhadap syariah Islam, tetap akan ditegur dan dibantah dan itulah yang telah dilakukan. Malah hasil teguran menyebabkan terhasilnya interaksi dan komunikasi, dan semestinyan komunikasi menghasilkan dakwah dan ‘education’ kepada kaum bukan Islam.
Kadangkala saya berfikir, benar teori Dr Mahathir dalam 'Malay Dilemma' dalam isu keharmonian kaum. Pada pandangan beliau, hubungan antara kaum di Malaysia jangan terus dikatakan harmoni. Harmoni dan tenteram adalah disebabkan tiada keterlibatan dan interaksi. Apabila ada interaksi, maka kadangkala ia menghasilkan konflik dan krisis. Pendakwah yang bijak akan mempergunakan konflik ini untuk menzahirkan apa itu Islam. Kecurigaan, kebencian atau ketidakfahaman kaum bukan Islam terhadap Islam bakal diminimakan melalui interaksi berpendidikan sebegini.
Saya juga berpengalaman kini menerangkan kepada kaum Hindu di kilang saya dalam pelbagai isu tempatan dan global yang melibatkan ketidakfahaman kaum bukan Islam terhadap syariah dan kaedah hidup Islam. Sebenarnya obses kita kepada isu konspirasi kafir terhadap Islam menyebabkan kita terus meletak mereka sebagai musuh sebelum kita menghadapi mereka melalui dakwah ‘muwajahah silmiyyah’.
Ya, betul ada konspirasi dan pakatan memusuhi Islam. Akan tetapi Nabi meletak misi interaksi semasa Ghuzwah berlainan benar dengan misi interaksi semasa Suluh(perdamaian), keperlembagaan (piagam), gencatan senjata, serta kaum ahli kitab yang bernaung di bawah negara Islam Madinah. Inilah cantiknya syariah Islam yang semestinya perlu ditafsirkan daripada tafsiran Rasulullah dan bukan menjuzuk-juzukkan dalil.
PAS mempelawa DAP bersama Barisan Alternatif semasa pilihanraya 1999. Adakah selepas itu PAS diam dalam isu hududnya yang segar pada era 1980an itu? Tidak. Malah, PAS mengenengahkan Dokumen Negara Islam pula yang menyebabkan DAP mengambil keputusan keluar BA beberapa tahun selepas itu.
Dilema antara untuk menghancurkan kezaliman kubra BN dalam masa yang sama masih berhasrat memahamkan DAP berkenaan prinsip pentadbiran politik Islam cukup mendalam. Dalam hal ini interaksi tetap akan berlaku. Penjelasan kepada sesiapa sahaja termasuk UMNO atau pembangkang berkaitan isu dan prinsip Islam tetap akan berlaku sama ada ia ditafsir secara negatif atau secara sihat. Inilah kerja jamaah dan gerakan Islam yang terus konsisten sehingga hari ini.
Hari ini agak malang juga jika ditinjau interaksi gerakan atau kelompok Islam dengan kaum bukan Islam hanya dilakukan secara ala kadar dan hanya bertujuan untuk perpaduan dan sokongan massa. Bagaimana pula kelompok ulama’ dan guru agama. Adakah terpisahnya sosial gerakan ulama’ menyebabkan ‘disengagement’ berlaku antara kelompok pemegang ilmu Islam dengan kaum bukan Islam. Sejauhmana khusus dan fokusnya gerakan ulama’ berinteraksi dalam menghasilkan dakwah komunikasi dengan kaum bukan Islam?
Rasulullah adalah bapa segala ulama’ dan bagindalah paling acapkali menyelesaikan permasalahan dan ketidakfahaman kaum bukan Islam dan Islam berkembang melalui cara interaksi dan penyelesaian konflik sebegini. Berbeza juga cara Rasul melayan kaum Islam yang enggan tunduk dengan syriah Islam dengan kaum bukan Islam yang memusuhi Islam kerana ketidak Islamnya mereka. Berbeza jaga cara Rasul melayan ketidak fahaman kaum Islam yang telah lama menganut Islam dengan kaum muallaf. Berbeza juga rasul bersiasah dengan kaum Islam tegar dengan kaum Islam opportunistis yang berkedudukan seperti Abu Sufian.
Adakah Rasulullah tidak faham prinsip dakwah Islam yang baginda sendiri wariskan? Rasulullah meninggalkan rangka kerja yang cukup bernilai untuk kita manfaatkan bersama. Itulah siasah dakwah Islam.
Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha Lajnah Perpaduan Nasional Perak
No comments:
Post a Comment