Kenyataan Media TERAS
6 hb April 2013
HANYA PERJUANGAN BERDASARKAN ISLAM SAHAJA BOLEH MEWAKILI MELAYU
TERAS berpendapat hanya parti yang berdasarkan Islam sahaja yang layak dipileh sebagai parti yang mewakili kepentingan Melayu dan Islam.
Parti yang telah konsisten dalam memperjuangkan Islam berdasarkan kaedah syara' dan hujah ilmu yang kukuh boleh menjaga kepentingan orang Melayu yang hampir 100 % Muslim .
Perjuangan yang bersifat pragmatik dan berdasarkan asas dan ideologi nasionalisme sudah kehilangan wibawa untuk mewakili orang Melayu . Ia tidak boleh menunjukkan kepentingan Melayu dan Islam dapat dipertahankan dengan dasar perkauman sempit.
Ini terbukti dengan pelbagai kerugian kepada orang Melayu dari segi agama , ekonomi , budaya , bahasa , aset tanah serta penempatan orang Melayu di bandar telah dikompromikan sejak dasar beralih kepada memberi keutamaan kepada kroni politik sesama pimpinan elit .
Kami yakin dengan memberi kemenangan besar kepada parti yang memperjuangkan Islam ia boleh memperjuangkan nasib orang Melayu dalam proses pembangunan negara.
Dengan mengamalkan demokrasi yang bersih dan telus , nasib orang Melayu akan lebih terbela , terutama dikalangan kelompok orang Melayu yang terpinggir , berdasarkan keadilan yang menjadi prinsip dalam dasar Islam .
Kami berpendapat bahawa sememangnya ada aspek yang boleh diperkukuhkan dalam pelbagai dasar pembangunan seperti dalam aspek model pembangunan yang ada kaitan dengan pengurusan sumber alam .
Akan tetapi persoalan pengurusan dan uruskelola pemerintahan akan dapat dibersihkan dari penyelewengan terutama dari segi ketelusan untuk menjaga kepentingan orang Melayu.
Ia boleh membendung negara dari rasuah yang tidak terkawal dalam pengurusan yang diterajui oleh parti yang berdasarkan nasionalisme selama ini.
Kami mendapati jika parti yang memperjuangkan Islam boleh diberi peluang mewakili orang Melayu dengan majoriti yang kukuh di DUN dan Parlimen , tidak ada sebab kenapa orang Melayu harus curiga terhadap kedudukan orang Melayu dan Islam .
Kedudukannya sangat jelas , jika parti yang berdasarkan Islam mewakili Melayu dan Islam berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang disepakati oleh semua kaum , maka memileh parti itu adalah tepat dan wajar.
Kami berpendapat jika parti berdasarkan nasionalisme mendakwa ia adalah satu-satunya parti politik yang boleh mewakili kepentingan orang Melayu , ia tidak betul dan boleh ditolak.
Alasannya , dengan pelbagai kompromi yang diberi atas desakan parti komponen bukan Melayu selama ini , kepentingan orang Melayu telah banyak tergadai .
Lihat sahaja bagaimana syarikat Melayu yang sangat banyak bergantung kepada Petronas kini telah terpinggir setelah pimpinan berdasarkan nasionalisme menukar pentadbirannya . Kini Petronas hanya mengutamakan keuntungan maksima dengan memberi banyak kontrak dan konsessi kepada syarikat luar negara.
Pengundi Melayu tidak harus khuatir terhadap masa depannya jika ia memberi kepercayaannya kepada parti yang berteraskan Islam .
Sudah jelas kini perjuangan yang berteraskan Islam disokong oleh orang Melayu dikalangan para professional , ulama , ahli akademik dan guru , ahli saintis , bekas pegawai tinggi keselamatan dan anggota biasa , ahli birokrasi , ahli korporat , para teknokrat dan usahawan , ahli seniman dan budayawan , aktivis Ngo , mahasiswa , petani , nelayan , peneroka dan pekebun kecil .
Ia seharusnya diyakini perjuangan berteraskan Islam boleh membela nasib orang Melayu dengan lebih baik dan terjamin.
Dalam hal ini , kami merumuskan jika pertimbangan orang Melayu menjadi faktor penting untuk menentukan masa depan yang lebih terjamin dalam pilihanraya ke 13 ini , pengundi harus memileh Pas sebagai parti yang perlu dimenangkan.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden Teras