17 hb Mei 2013
BOIKOT ATAS SENTIMEN PERKAUMAN TIDAK DAPAT DITERIMA
TERAS berpendirian kempen boikot yang berasaskan sentimen perkauman adalah tercetus dari emosi dan tidak berpijak kepada realiti , jauh sekali merujuk kepada kaedah syariat Islam.
Pengumuman supaya ada pemulauan terhadap perusahan suatu kaum atas asas politik perkauman bukan sahaja menunjukkan kedangkalan dalam berfikir malah menyuburkan sentimen membenci yang bukan berasaskan kebenaran dan keadilan.
Apatah lagi dalam konteks pilihanraya yang kini telah menunjukkan ada pihak yang membakar api perkauman hanya kerana tidak memilih parti yang berkuasa.
Realitinya ialah orang Melayu dan parti nasionalis sendiri harus bermuhasabah untuk menilai apakan asas perjuangan mereka bertapak kepada Islam.
Melancarkan hukuman dengan memboikot satu kaum kerana menolak kerajaan yang berkuasa menunjukkan kaum yang menggelar diri Muslim ternyata bukan sahaja tidak mahu menerima kepincangan bangsanya sendiri malah telah mengisytihar permusuhan terhadap kaum lain yang berasaskan asobiyyah qaumiyyah yang ditolak oleh Islam.
Padahal bukan semua pengundi dari kaum tersebut secara mutlak tidak mengundi BN . Menghukum secara rambang jelas akan mengundang reaksi saling membenci antara kaum yang tidak berkesudahan . Malah boleh sahaja mengheret kepada politik dendam bersifat perkauman.
Kelompok yang mengisytihar boikot ini juga pada hakikatnya berlaku sangat tidak konsisten kerana cuba menyembunyikan fakta yang selama ini berlaku. Iaitu parti nasionalis kerajaan yang berkuasa sudah lebih 55 tahun itu sendiri selama ini menerima sumbangan dari konglomerat besar kaum yang ingin dipulau itu.
Hakikat bahawa gabungan parti-parti nasionalis atas nama BN selama ini mendapat sokongan dana dari syarikat kaum yang hendak diboikot itulah juga . Maklumat parti nasionalis Melayu itu mendapat dana RM 40 juta untuk Negeri Sabah dari seorang tauke diperakui oleh Presiden parti nasionalis itu sendiri.
Kami menegaskan amat tidak manasabah melempiaskan kemarahan atas sentimen perkauman sedangkan terlalu banyak yang perlu diperbetulkan oleh perjuangan bangsa Melayu sendiri.
Apa yang wajar dilakukan ialah meningkat keazaman untuk membentaras kepincangan yang sarat bersarang pada bangsa Melayu dan bangkit untuk menjadi golongan Muslimin yang dihormati dan disegani kaum lain.
Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w ketika menggerakan kesatuan agar kaum Muslimin membeli keperluan hanya dari pedagang Muslimin berbanding kaum Yahudi . Tidak disuruh membenci mana-mana kaum melainkan mengukuhkan kesatuan Muslimin.
Inilah masanya orang Melayu belajar bagaimana mempunyai jiwa besar mendekati semua kaum untuk bernaung di bawah Islam tidak kira dari bangsa apapun. Inilah juga masanya bangsa Melayu benar-benar menghisab diri dan kembalikan landasan hidup dan perjuangan di atas dasar Islam , dan membentaras sikap assobiyyah jahilyyah.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupyaan Melayu
Sent from my iPad